PKR Sabah muktamadkan senarai calon, kerusi minggu depan : Pena Hijau - Hijaukan Bumi Allah ♡ Alkhudhri.com

PKR Sabah muktamadkan senarai calon, kerusi minggu depan

73 kerusi dipertandingkan pada PRN Sabah: SPR
1 Aug 2020
Muafakat Nasional mampu rampas kerusi bandar di Selangor
1 Aug 2020

KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan membincangkan dan menentukan calon serta kerusi ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dalam mesyuarat parti itu yang dijadualkan minggu depan.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, senarai nama calon dan kawasan kerusi ditandingi dalam pilihan raya berkenaan akan diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas dimuktamadkan.

“Kita akan ada mesyuarat biro pilihan raya (PKR) Sabah terlebih dahulu… Selepas itu, kita membuat keputusan mengenai pembahagian kerusi sebelum kita menghantar nama-nama (calon) kepada Ketua Menteri.

“Bagi pihak PKR, kita akan berunding dengan pemimpin-pemimpin kami, lihat siapa dan di kawasan mana (bertanding). Kita akan muktamadkan, seawal minggu hadapan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama penyokong akar umbi PKR di sini hari ini.

Semasa ditanya sama ada PKR akan meletakkan calon muka baharu, Christina berkata, PKR Sabah akan melihat semua aspek dalam memilih dan menentukan calon bertanding pada PRN, dan beliau percaya dalam beberapa hari ini pihaknya akan menerima cadangan calon dari seluruh negeri.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14, PKR bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan menang dua kerusi iaitu DUN Inanam dan Api-Api.

Beliau berharap PKR boleh memperoleh kemenangan di lebih tiga kerusi pada PRN ini.

Christina berkata, selain kerjasama antara parti gabungan dalam Pakatan Harapan, PKR Sabah juga akan terus bekerja sebagai satu pasukan dengan Warisan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada pilihan raya ini, yang disifatkannya sebagai mencabar.

Pada 30 Julai, Mohd Shafie ketika mengumumkan pembubaran DUN Sabah berkata, ia dibuat selepas mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengenai penyandang kerusi DUN Inanam, Kenny Chua yang menyertai dan menyokong bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, Christina berkata, beliau amat kecewa dengan tindakan bekas Naib Presiden PKR Sabah itu, namun beliau tidak melihat ia memberi impak kepada parti.

Kenny merupakan antara Ahli DUN blok kerajaan Sabah yang dilihat menyertai dan memberi sokongan kepada Musa untuk membentuk kerajaan negeri baharu menerusi beberapa gabungan parti di negeri itu, Rabu lepas.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Mustapha Sakmud mengingatkan semua ahli parti supaya tidak lagi bekerjasama dengan Chua, sebaliknya memberi tumpuan untuk memenangkan parti pada pilihan raya kali ini.- Bernama

Sumber : Sinar Harian

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply