Bahaya Dan Kesan Penyalahgunaan Dadah : Pena Hijau

Bahaya Dan Kesan Penyalahgunaan Dadah

persediaan ramadhan
Istiqamah Selepas Ramadhan
6 May 2022
makanan yang halal
Makanan Yang Halal, Haram dan Syubhah
3 Jun 2022
penyalahgunaan dadah

Saban hari kita sering diperdengarkan dengan kes jenayah khususnya penyalahgunaan dadah. Sehingga September 2021, data telah merekodkan seramai lebih daripada 114,000 orang yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Malangnya, 79% daripada jumlah tersebut adalah bangsa Melayu beragama Islam. Ingatlah amaran Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 195 :

وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Dalam mencapai hasrat keluarga yang sejahtera, benteng kepada gejala yang merosakkan generasi akan datang perlu diperkukuhkan secara bersungguh-sungguh melalui usaha pencegahan seperti berikut :

Pertama : Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa mendokong amanah dan tanggungjawab besar daripada Allah SWT untuk membimbing anak-anak agar berpegang teguh dengan aqidah Islam, melazimi ibadah secara berjemaah serta berakhlak mulia di samping memastikan persekitaran keluarganya sihat dan sejahtera. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang imam (ketua negara) adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan seorang lelaki dalam keluarga adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya (ahli keluarganya)”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ibu bapa mestilah prihatin dan cakna ke atas setiap perkembangan atau perubahan anak-anak serta menjadi sahabat kepada mereka. Perkara ini amat penting kerana Islam mengajar kaedah dalam mendidik anak-anak supaya mereka terpelihara daripada anasir yang tidak baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Andainya ada dalam ahli keluarga kita yang tersasar, usahalah untuk merawat pulih mereka dan janganlah cepat menghukum. Teruskan memberi sokongan agar mereka dapat bangkit dan berusaha untuk kembali ke pangkal jalan.

Kedua : Menolak dan Mencegah Perkara-Perkara Memudaratkan Tubuh Badan

Allah telah memberi batasan tertentu kepada hawa nafsu kita agar tidak memilih sesuatu yang diharamkan lagi memudharatkan. Pengambilan alkohol, menghisap vape, merokok dan perbuatan-perbuatan lain yang haram, lebih-lebih lagi penyalahgunaan dadah akan mengakibatkan kesan buruk dan mudharat yang amat besar kepada individu penagih itu. Bahkan kerosakan ini mencakupi kerosakan kepada agama Islam, bangsa dan negara memandangkan mereka adalah aset berharga kepada masyarakat. Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 90 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Sewajarnya juga kita ambil tahu bahawa pada masa ini terdapat pelbagai jenis dadah yang menyebabkan manusia menjadi khayal dan tidak waras dalam bentuk serbuk, cecair dan pil seperti heroin, morfin, opium, ganja, pil kuda, syabu dan lain-lain yang terdapat di pasaran gelap negara kita.

Ketiga : Keprihatinan dan Kebersamaan Dalam Masyarakat

Setiap ahli masyarakat mestilah mewujudkan hubungan yang baik dan jalinan yang erat. Sikap ambil peduli terhadap persekitaran perlu sentiasa dipertingkatkan agar permasalahan sosial seperti penagihan dadah dapat dicegah lebih awal. Sebagai anggota masyarakat yang perihatin, hendaklah berganding bahu dan mengambil langkah-langkah yang proaktif bagi membendung gejala sosial daripada terus membarah. Bertegaslah dengan mengambil tindakan yang sewajarnya seperti menegur, menasihati atau melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman”

(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, masyarakat perlu peka dengan perkara yang berlaku disekelilingnya. Jika terdapat kegiatan yang mencurigakan, sila segera laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang berhampiran. Selain itu, masyarakat juga berperanan membantu dan membimbing penyalahguna dadah yang telah dirawat pulih dengan melibatkan mereka dalam aktiviti-aktiviti komuniti dan kerohanian seperti gotong-royong dan bacaan al-Quran di masjid dan surau bagi melahirkan kebersihan jiwa serta ketenangan untuk memastikan kepulihan dapat dicapai seterusnya memberi manfaat kepada ummah dan negara.

Sebagai kesimpulannya, intitusi kekeluargaan yang harmoni akan menghindarkan masyarakat daripada terjebak ke dalam gejala penyalahgunaan dadah. Masyarakat hendaklah bertanggungjawab dan saling bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat agar terpelihara daripada anasir negatif. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjauhi perkara-perkara yang memudharatkan kesihatan tubuh badan kita dan sentiasa berdoa dan berusaha membimbing anak-anak dan anggota masyarakat agar terhindar daripada segala aktiviti yang tidak sihat.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

Surah At-Tahrim : 6

Share, Follow & Like :
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Login

Lost your password?

Create an account?

close

Enjoy this blog? Please spread the word :) TQ