Tafakkur Satu Ibadat Nurani dan Pelayaran Imani
14 Jan 2022Insan Rabbani Insan Berkualiti
27 Jan 2022Begitu indah dunia fatamorgana, siapapun akan tergoda. Harta, pangkat dan wanita bisa melemahkan jiwa jika tanpa iman dalam hati kita. Nafsu dalam diri merupakan musuh syaitan yang tersembunyi jika tidak dikawal. Keimanan, ketakwaan kepadaNya senjata utama.
Firman Allah SWT dalam Surah al Imran ayat 14 :
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَـٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ وَٱلْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔابِ
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
Imam Ibn Katsir dalam tafsirnya menyatakan bahawa fitrah manusia untuk menyukai kesenangan-kesenangan, iaitu anak-pinak, harta benda, kenderaan dan binatang ternakan. Namun, Allah SWT juga memberi peringatan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan kita semua akan dikembalikan kepada-Nya kelak dan sebaik-baik tempat kembali itu ialah syurga-Nya.
Dua Golongan Manusia
Manusia yang cinta kepada dunia ini terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama menjadikan dunia ini sebagai matlamat utamanya. Fikiran, hati dan perbuatan mereka tertumpu kepada kesenangan duniawi sehingga mereka lupa bahawa tujuan mereka diciptakan di dunia ini ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Mereka tidak memperdulikan sumbernya, dan bagaimana membelanjakannya dan semua ini akan menjadi beban di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Tidak akan bergeser kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya, untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya, iaitu apa yang telah dia lakukan dan tentang hartanya, dari mana dia mendapatkannya dan ke mana dia belanjakannya serta berkaitan anggota badannya yang telah digunakan”.
(Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)
Golongan kedua pula ialah menjadikan dunia sebagai jambatan akhirat. Dunia dikejar, akhirat dicari. Bagi mereka, semua kesenangan dunia sebagai wasilah (jalan) menuju akhirat dan mencapai keredhaan Allah SWT. Mereka inilah memahami dan menghayati firman Allah dalam surah Az-Zariyat, ayat 56 :
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Waspada dari Menjadi Mangsa Penipuan
Alangkah sedihnya, kerana cintakan dunia secara berlebihan, manusia rakus mengejarnya tanpa menghiraukan halal, haram termasuklah melakukan penipuan. Mutakhir ini, terlalu banyak berita tentang jenayah penipuan dalam talian terutamanya di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, Telegram, WeChat dan sebagainya. Terlalu ramai yang telah menjadi mangsa penipuan dalam talian dan ia telah melibatkan banyak kerugian malahan juga menyebabkan masalah sampingan seperti masalah mental dan tekanan perasaan.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, bagi tempoh tiga tahun iaitu dari Januari 2019 hingga Oktober 2021, sebanyak 48 ribu kertas siasatan telah dibuka melibatkan jumlah kerugian melebihi RM1.43 billion.
Jumlah kes tersebut sebagaimana berikut :
- Penipuan Pembelian Atas Talian sebanyak 17 ribu kes,
- Pinjaman Tidak Wujud 14 ribu kes,
- Macau Scam 7 ribu kes,
- Love Scam/Parcel Scam 4 ribu kes,
- Pelaburan Tak wujud 3 ribu kes,
- Dan lain-lain 3 ribu kes.
Kesemua kes di atas bukan terkesan kepada orang awam sahaja, bahkan melibatkan golongan cerdik pandai, professional dan juga para pesara. Justeru berwaspadalah supaya kita tidak menjadi mangsa penipuan tersebut. Salah satunya dengan menyemak no akaun, no telefon atau no kad pengenalan orang yang kita berurusan atau curiga melalui portal CCID PDRM.
Ajaran Islam sendiri telah memberi peringatan kepada umatnya agar sentiasa berhati-hati. Rasulullah SAW juga memberi peringatan melalui hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA yang bermaksud :
“Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama)”.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Janganlah kita terlibat melakukan jenayah sebegini atau membantu jenayah dalam talian ini seperti menjadi keldai akaun. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab membantu pihak berkuasa membanteras jenayah siber demi keselamatan bersama.
Kesimpulan
Berwaspadalah dengan pesona dunia yang penuh fatamorgana serta sering melekakan manusia. Janganlah kesenangan dunia ini mengheret kita ke lembah penipuan dan kebinasaan. Sesungguhnya dunia ini bukanlah matlamat utama kehidupan tetapi wasilah untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT. Kita perlu menjadi masyarakat yang bijak bagi mengelakkan kita dari menjadi mangsa kepada jenayah siber.
[15] مَن كَانَ يُرِيدُ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَـٰلَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ
[16] أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِلَّا ٱلنَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا۟ فِيهَا وَبَـٰطِلٌ مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. [15] Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan. [16]”