Masjid Menjana Ekonomi Ummah : Pena Hijau

Masjid Menjana Ekonomi Ummah

20241129 musibah banjir
Musibah Banjir dan Kesabaran Dalam Menghadapinya
29 Nov 2024
20241129 musibah banjir
Musibah Banjir dan Kesabaran Dalam Menghadapinya
29 Nov 2024
20241206 masjid menjana ekonomi ummah koperasi
icon follow us

Masjid Menjana Ekonomi Ummah | Islam merupakan agama atau sistem hidup yang lengkap dan menyeluruh, sama ada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Islam tidak hanya tertumpu kepada aspek keagamaan semata-mata tetapi peranannya meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةًۭ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ ٢٠٨

“Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”

Agama Islam yang bersifat sempurna ini bukan sahaja membantu dalam pembinaan tamadun malah memandu dalam memperkasakan diri serta ummah seluruhnya. Justeru, umat Islam sepatutnya terkedepan dalam semua hal kerana mereka merupakan pewaris generasi kelas pertama yang pernah dibentuk oleh Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sebagai generasi yang cemerlang dan gemilang.

Mutakhir ini, umat Islam dilihat lemah, hilang keyakinan dan bergantung harap kepada orang lain dalam setiap bidang. Kita sering tertanya, apakah punca kelemahan umat Islam hari ini? Adakah disebabkan oleh kelebihan dan kekuatan orang lain atau berpunca daripada kelemahan dalaman umat Islam?

Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi sebenarnya umat Islam bukannya lemah tetapi mereka kurang kesedaran, lupa diri dan tidak menggunakan seluruh kekuatan dan potensi diri, bahkan kehidupan mereka banyak bergantung kepada bukan Islam.

Wajar kita fahami bahawa kelemahan dunia Islam hari ini bukanlah disebabkan hebat dan cekapnya perancangan bukan Islam, tetapi bijaknya mereka mengambil kesempatan ke atas umat Islam, terutamanya dalam penguasaan bidang ekonomi.

Sebagai contoh, kita dapat lihat akhir-akhir ini banyaknya pasaraya atau hypermarket di mana-mana sahaja. Sambutan yang begitu menggalakkan daripada umat Islam yang menjadi pelanggan tetap sudah tentu akan mendorong lebih ramai lagi syarikat atau pelabur asing untuk membina empayar dan penguasaan ekonomi di negara ini.

Jika kita umat Islam tidak bertindak membantu sesama sendiri, bererti kita membiarkan peniaga dan pengusaha muslim gagal dalam usaha pengukuhan ekonomi.

Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda yang bermaksud :

“Orang muslim itu adalah saudara kepada orang muslim. Dia (muslim) tidak menzalimi saudara muslimnya dan tidak membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah menunaikan hajatnya”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, setiap ahli kariah disyorkan bersama-sama membantu membina gagasan ekonomi ummah yang boleh diperkasakan melalui penubuhan koperasi kariah masjid yang boleh menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi setempat. Jika kita andaikan setiap rumah muslim membeli barangan keperluan dapur sahaja dari kedai koperasi kariah masjid, maka ekonomi umat Islam dapat dijana. Dengan itu, institusi masjid akan dapat melakukan pelbagai agenda dan perancangan termasuk membantu golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal dan lain-lain.

Ini selaras dengan sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud :

“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat menguatkan antara satu sama lain”

(Hadis Riwayat alBukhari dan Muslim)

Ketika Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam memimpin Madinah, Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam telah mewujudkan sistem ekonomi Islam bagi menggantikan sistem ekonomi Yahudi dan jahiliah. Pasar-pasar perniagaan orang-orang Islam telah dibina sebagai usaha pengukuhan ekonomi masyarakat Islam.

Sistem ekonomi di Madinah ini dibina atas dokongan dan sokongan para Sahabat dalam perniagaan sehingga ramai yang telah berjaya. Antara kejayaan yang telah dicapai oleh ekonomi Islam ialah :-

  1. Pasar kaum Yahudi telah ditutup kerana kerugian dan masyarakat Islam Madinah lebih mengutamakan pasar milik peniaga Islam.
  2. Sistem wakaf telah berkembang di mana para Sahabat telah mewakafkan sebahagian besar harta untuk keperluan penduduk seperti sumber air, tanah untuk pembinaan institusi masjid yang menjadi pusat pemerintahan dan perkembangan dakwah serta pendidikan pada masa itu.
  3. Zakat yang termaktub dalam sistem ekonomi Islam berjaya membela nasib golongan miskin, anak yatim dan golongan asnaf.

Pencapaian Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dalam membina sistem ekonomi Islam sebenar sangat banyak dan merangkumi segala aspek. Dengan adanya sistem ekonomi Islam yang saksama dan dokongan daripada seluruh umat Islam pada masa itu telah membawa kepada kejayaan, bahkan tekanan ekonomi yang dilakukan oleh orang yahudi sebelum itu dapat diselesaikan.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama berusaha memartabatkan ekonomi ummah kerana ia adalah kewajipan kepada setiap orang Islam. Marilah sama-sama kita menyokong semua usaha memartabatkan ekonomi umat Islam dengan penubuhan koperasi masjid kariah masing-masing. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Semoga usaha murni ini diberkati oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Masjid Menjana Ekonomi Ummah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more