Wakaf Sebagai Amalan Jariah
21 Nov 2024Masjid Menjana Ekonomi Ummah
6 Dec 2024Musibah Banjir dan Kesabaran Dalam Menghadapinya | Ketika ini beberapa negeri terutamanya di sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia sudah memasuki musim tengkujuh, maka beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mengalami bencana seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya yang mengakibatkan kerosakan dan kehilangan beberapa aset rumah, kenderaan dan harta benda lain. Ini adalah kerugian harta benda bagi sesetengah daripada kita yang mengalaminya.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mengingatkan kita semua bahawa kita akan diuji oleh Allah dengan pelbagai jenis ujian dalam kehidupan di dunia. Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155, Allah berfirman :
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٥٥
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”
Ayat ini menjelaskan bahawa salah satu bentuk ujian dari Allah kepada manusia adalah berupa kehilangan harta. Menurut sahabat Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, Anas ibn Malik, ayat ini diturunkan oleh Allah kepada para sahabat Nabi Muhammad selepas zaman Hijrah ke kota Madinah. Mereka secara sukarela kehilangan (menyerahkan) harta benda mereka sebagai persediaan berperang dan mempertahankan kota Madinah daripada serangan kumpulan Mekah. Ini berbeza dengan sebahagian daripada kita yang kini sedang diuji oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan banjir yang mengakibatkan kehilangan harta benda juga.
Ini semua adalah ujian dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk menguji keimanan mereka dengan mengukur tahap kesabaran yang menjadi salah satu penunjuk keimanan seseorang. Ini selari dengan sabda Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang dipetik oleh Imam al-Baihaqi dalam kitab Shu’ab al-Iman :
الْإِيمَانُ نِصْفَانِ نِصْفٌ فِي الصَبْرِ وَنِصْفٌ فِي الشُكْرِ
“Iman itu ada dua bahagian, satu bahagian dalam sabar dan satu bahagian dalam syukur.”
Kandungan hadis ini selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Sahih Muslim yang berbunyi :
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Sebenarnya, keadaan itu sentiasa dalam kebaikan, dan ini hanya boleh didapati pada orang yang beriman. Jika kebahagiaan datang kepadanya, maka dia bersyukur dan itu adalah kebaikan. Jika ditimpa kesusahan, dia bersabar, dan itulah kebaikan.”
Sabar merupakan akhlak mulia dalam ajaran Islam, sehingga manusia diciptakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan kehidupan yang penuh ujian sehingga dapat mencapai tingkat kemuliaan dengan kesabaran. Oleh itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin menjelaskan bahawa sabar adalah salah satu perbezaan antara manusia dengan makhluk lain yang diciptakan oleh Allah. Malaikat dengan kesempurnaannya tidak memiliki kesabaran, sedangkan binatang dengan keterbatasannya juga tidak memiliki kesabaran.
فَإِنَّ الصَبْرَ خَاصِّيَةُ الإِنْسِ وَلَا يَتَصَوَّرُ ذَلِكَ فِي البَهَائِمِ وَالمَلَائِكَةِ. أَمَّا فِي البَهَائِمِ فَلِنُقْصَانِهَا. وَأَمَّا فِي المَلَائِكَةِ فَلِكَمَالِهَا
“Sesungguhnya sabar itu adalah keistimewaan manusia yang tidak terdapat pada haiwan dan malaikat. Binatang tidak sabar kerana keterbatasannya, sedang malaikat tidak sabar kerana kesempurnaannya.”
Manusia memang mempunyai kelemahan dalam mengawal diri dan emosi sehingga sering lupa akan fadhilat sabar ketika ditimpa musibah, lebih-lebih lagi jika musibah yang menimpanya cukup berat. Tidak hairanlah ada ungkapan “Sabar juga ada batasnya” yang dikatakan oleh segelintir masyarakat kita.
Jika kita memahami ajaran Islam secara mendalam, maka kita akan mengetahui satu konsep yang menarik berkenaan kesabaran : “Semakin besar ujian yang dihadapi oleh manusia, semakin besar peluang seseorang itu untuk mendapat kemuliaan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala“. Hal ini dapat kita fahami daripada sabda Nabi Muhammad yang dinukilkan oleh Imam al-Tirmidzi dalam Kitab Sunan al-Tirmizi :
إِنَّ عِظَمَ الجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ البَلَاءِ، وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ، فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا، وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ
“Sesungguhnya besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian. Sesungguhnya jika Allah mencintai sekelompok manusia, maka Allah akan memberikan ujian kepada mereka. Barang siapa yang menerima ujian tersebut dengan kesabaran, maka ia mendapatkan redha Allah. Barang siapa yang tidak terima ujian tersebut dengan kemarahan, maka ia akan mendapatkan murka Allah”
Semoga sebahagian dari kita yang ditimpa musibah banjir ini senantiasa diberi kesabaran oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala, agar dalam kesulitan yang sedang dihadapi, Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberikan pertolongan dan pengganti yang lebih baik di dunia khususnya di akhirat. Amin, Ya Rabb al-‘Alamin.