Haji Adalah Rehlah Keimanan : Pena Hijau

Haji Adalah Rehlah Keimanan

ANE 20230525 kukuhkan perpaduan
Kukuhkan Perpaduan Berpandukan Al-Quran Dan As-Sunnah
25 May 2023
ANE 20230608 menjaga haiwan
Menjaga Haiwan – Hak Dan Tanggungjawab
8 Jun 2023
ANE 20230525 kukuhkan perpaduan
Kukuhkan Perpaduan Berpandukan Al-Quran Dan As-Sunnah
25 May 2023
ANE 20230608 menjaga haiwan
Menjaga Haiwan – Hak Dan Tanggungjawab
8 Jun 2023
ANE 20230601 haji rehlah keimanan mekah
icon follow us

Haji Adalah Rehlah Keimanan | Tahniah diucapkan kepada mereka yang terpilih sebagai dhuyuf ar-Rahman untuk menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kelima di Tanah Suci Makkah al Mukarramah pada tahun ini. Kita doakan mudah-mudahan perjalanan dhuyuf ar-Rahman diberikan keselamatan dan mendapat haji yang mabrur.

Rehlah Haji bermaksud satu perjalanan yang memerlukan pengorbanan jiwa, emosi, harta, keluarga dan kesihatan demi pengabdian diri kepada Allah. Ibadat ini sebagai menyahut seruan Baginda Nabi Ibrahim ‘alaihi salam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 27 :

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍۢ ٢٧

Maksudnya : Dan serulah umat manusia untuk Haji, mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta, yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh.

Perlaksanaan ibadah Haji antaranya mengandungi wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina, melontar Jamrah, tawaf dan Saie, serta tahallul. Kesemua amalan itu adalah suatu rehlah keimanan bagi setiap individu yang melaksanakannya.

Perjalanan ibadah haji juga merupakan medan pendidikan diri dan motivasi jiwa yang berpaksikan kepada perhambaan diri kepada Allah swt dalam memantapkan akhlaq terpuji dan membersihkan diri daripada kotoran dosa dan maksiat yang keji.

Diharapkan kepulangan setiap jamaah haji nanti berupaya mencapai hikmah pensyariatan ibadah haji iaitu meningkatkan keimanan dan ketaqwaan, penyucian jiwa dan pengampunan dosa, memberi keinsafan dan memupuk kesabaran dalam diri.

Jemaah Haji adalah tetamu Allah yang mengunjungi Baitullah dengan dengan tulus dan ikhlas hati. Kerana itulah, lafaz talbiah yang sentiasa diulang-ulang oleh setiap jamaah haji adalah :

لَبَيْكَ اللَّهُمَّ لَبَيْكَ. لَبَيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَيْكَ. إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya : “HambaMu menyahut panggilanMu ya Allah, hambaMu menyahut panggilanMu, hambaMu menyahut panggilanMu. Tiada sekutu bagiMu, sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan adalah milikMu, tiada sekutu bagiMu”

Para jamaah haji dituntut untuk mengambil peluang keemasan sebagai tetamu Allah agar melaksanakan ibadah haji dengan bersungguh-sungguh, penuh keikhlasan dan keimanan serta mengharapkan ganjaran dan keredaan Allah subhanahu wa ta’ala. Sebagaimana sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud :

“Sesiapa yang mengerjakan haji demi kerana Allah, lalu dia tidak berkata kotor dan tidak melakukan perkara fasiq, maka dia akan kembali suci (bersih daripada dosa) seumpama hari ketika dia dilahirkan oleh ibunya”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, bakal jamaah Haji dinasihati agar :

  1. Persiapkan diri dengan ilmu berkaitan ibadah haji yang mencukupi dengan sentiasa mempelajari dan mengulangkaji cara serta kaedah bagi melaksanakan ibadah itu dengan baik.
  2. Pastikan kewangan adalah daripada sumber yang halal untuk perbelanjaan ke tanah suci dan bekalan bagi keluarga yang ditinggalkan di kampung.
  3. Jagalah kesihatan dan persiapan fizikal sebelum bertolak, semasa berada di sana dan selepas pulang ke tanahair.
  4. Persiapkan mental, fizikal, rohani dan jiwa yang baik bagi memperolehi semangat taqwa yang mantap.
  5. Selesaikan urusan berkaitan dengan manusia seperti hutang, memohon maaf atas kesalahan dan menunaikan hak yang sepatutnya.

Bagi mereka yang belum tersenarai dipanggil ke Tanah Suci atau belum mendapat giliran untuk mengerjakan haji, seeloknya juga dapat membuat persiapan dan persediaan awal bagi mencapai niat dan cita-cita ke sana.

Ia termasuklah usaha mendalami ilmu fardu ‘ain, di samping pengetahuan berkaitan ibadah haji, melazimi amalan-amalan sunat, menghadiri solat berjamaah, termasuklah juga mencukupkan simpanan kewangan bagi menunaikan haji.

Akhirnya, marilah sama-sama kita hayati kepentingan ibadah haji sebagai satu rehlah keimanan yang memerlukan persiapan secukupnya dari aspek emosi, rohani, jasmani dan kewangan, agar kita dapat meraih ganjaran daripada Allah subhanahu wa ta’ala.

ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌۭ مَّعْلُومَـٰتٌۭ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ١٩٧

Maksudnya : (Musim) Haji adalah beberapa bulan yang termaklum. Maka sesiapa yang berniat mengerjakan ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah; dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa; dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal.

(Surah Al-Baqarah ayat -197)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Haji Adalah Rehlah Keimanan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more