Tafakkur Satu Ibadat Nurani dan Pelayaran Imani : Pena Hijau

Tafakkur Satu Ibadat Nurani dan Pelayaran Imani

20230908 taubat istiqamah solat
Jangan Pernah Tinggal Solat
28 Dec 2021
dunia fatamorgana
Indah Dunia Fatamorgana Melalaikan Menipu Daya
20 Jan 2022
20230908 taubat istiqamah solat
Jangan Pernah Tinggal Solat
28 Dec 2021
dunia fatamorgana
Indah Dunia Fatamorgana Melalaikan Menipu Daya
20 Jan 2022
tafakkur
icon follow us

Tafakkur bermakna berfikir dan merenung tanda-tanda kebesaran Allah pada keindahan dan keajaiban alam ciptaan-Nya serta keagungan al-Quran. Ia menjadi langkah pendidikan yang mengasah kecerdikan diri, pengembaraan yang mengembangkan iman dan keyakinan hati serta usaha pembersihan jiwa dan pembinaan jati diri.

 

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 190-191 :

  إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔايَـٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ [190]

[191]ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Yang bermaksud : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal[190]. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.[191]

 

Amalan Tafakkur

Keutaamaan tafakkur terserlah dari kata-kata hukama’ sepanjang zaman, antaranya:

  1. Kata ad-Darani : “Setiap kali aku keluar rumah, maka segala yang aku lihat hanyalah nikmat Allah kepadaku, atau pelajaran untuk diriku”.
  2. Bisyir al-Hafi berkata : “Jika manusia semua bertafakkur tentang keagungan Allah, pastilah mereka tidak melakukan maksiat”.
  3. Ibn ‘Aun berkata : “Bertafakkur menghilangkan kelalaian dan mencipta ketakutan kepada Allah”.

Manusia yang tidak bertafakkur dianggap sebagai buta mata hati. Mereka dicela dalam firman Allah, Surah al Hajj ayat 46 :

أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَآ أَوْ ءَاذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى ٱلْأَبْصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعْمَى ٱلْقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ

Yang bermaksud : Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Para ulama’ menganjurkan agar amalan tafakkur ini dimulakan secara ringan dan ringkas, iaitu dengan cara:

Pertama, merenung tentang kehebatan ciptaan Allah pada kejadian langit dan bumi, bulan, bintang dan matahari, silih berganti malam dan siang, keunikan haiwan dan sebagainya. Firman Allah dalam surah Al-Ghasyiyah ayat 17-20 :

[17]أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ
[18]وَإِلَى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ رُفِعَتْ
[19]وَإِلَى ٱلْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ
[20]وَإِلَى ٱلْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

Yang bermaksud : (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?[17] Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.?[18] Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?[19] Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?[20]

Kedua, merenung keunikan kejadian diri sendiri dari segi fizikal, akal dan kelembutan rohani. Firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 21 :

وَفِىٓ أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Yang bermaksud : Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

Ketiga, meneliti keindahan ayat-ayat al-Quran dan bertadabbur dengan kehebatan makna serta kandungannya. Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 82 :

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِيهِ ٱخْتِلَـٰفًا كَثِيرًا

Yang bermaksud : Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, melatih diri dengan tafakkur dan melazimi diri dengan tadabbur akan menatijahkan banyak kelebihan kepada pegangan akidah, penghayatan syariah dan binaan syahsiah seseorang muslim. Antara kelebihannya ialah :

  1. Mengenali tuhan dengan keagungannya.
  2. Beramal dengan lebih sempurna dan berterusan.
  3. Menjauhi kerja dosa dan meninggalkan maksiat.
  4. Bertambah keyakinan dengan kebenaran hakikat iman.
  5. Melembutkan hati yang keras.
  6. Membuat semakan terhadap kekurangan dan kelemahan diri.
  7. Membuat pembetulan dan penambahbaikan diri serta hala tuju masa depan.

 

[105]وَكَأَيِّن مِّنْ ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ يَمُرُّونَ عَلَيْهَا وَهُمْ عَنْهَا مُعْرِضُونَ
[106]وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِٱللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ

Yang maksudnya : Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.[105] Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.[106]

(Surah Yusuf : 105-106)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Tafakkur Satu Ibadat Nurani dan Pelayaran Imani
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more