Kunci Pembuka Rezeki
2 Sep 2022Mencapai Husnul Khotimah
15 Sep 2022Kemakmuran sesebuah negara adalah bergantung kepada sejauh mana kemantapan dan keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya.
Islam menekankan betapa pentingnya menjalankan hubungan erat di kalangan masyarakatnya. Suruhan tersebut tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat Islam sahaja, malahan melepasi batasan agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”
Islam amat menitik beratkan hubungan kejiranan dan perpaduan, malah ia merupakan salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajipan mengamalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Hubungan baik ini dapat menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud :
“Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”
[Riwayat al-Bukhari (6015)]
Amalan kejiranan dan perpaduan sebenarnya banyak memberi kebaikan dan kelebihan kepada kehidupan masyarakat. Antaranya :
Pertama : Bantuan ketika kecemasan
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Kerana itu, jiranlah orang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa musibah dan bencana.
Alangkah beruntungnya bagi mereka mempunyai jiran yang bersedia memberikan pertolongan pada bila-bila masa sahaja. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kita ditimpa kecemasan, sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara yang berada jauh daripada kita.
Kedua : Menambahkan kenalan
Alangkah sejahteranya kehidupan apabila kita mempunyai ramai kenalan jiran yang berkemahiran dalam berbagai bidang. Banyak manfaat dan faedah yang diperolehi hasil daripada ramai jiran dan kenalan yang akrab. Antaranya, secara tidak langsung kita mendapat tunjuk ajar, nasihat, bantuan dan sebagainya.
Ketiga : Membendung jenayah dan gejala sosial
Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu membendung jenayah kawasan setempat seperti ancaman kecurian, pecah rumah, ragut, penculikan, samseng dan sebagainya. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, keganasan rumahtangga dan banyak lagi dapat dibendung dengan secara muafakat, sama ada melalui rukun tetangga, unit kawalan kampung atau kempen-kempen kesedaran. Dalam masa yang sama, jiran dapat memainkan peranan untuk melaporkan kepada pihak berwajib apabila menyedari berlakunya perkara-perkara meragukan dalam kejiranan.
Keempat : Menjaga kebajikan penduduk setempat
Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mempunyai ikatan yang akrab sudah tentu akan mengambil berat di antara satu sama lain. Banyak program dan aktiviti boleh dilaksanakan bagi menjaga kebajikan masyarakat setempat seperti kelas tambahan untuk meningkatkan mutu pembelajaran anak-anak, program untuk memenuhi keperluan remaja seperti kem motivasi, program jata diri dan sebagainya.
Semua kebaikan yang dinyatakan ini adalah terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah SWT dalam surah Asy-Syuraa ayat 38
… وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ …
“dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka”
Dalam usaha untuk memupuk semangat kejiranan, tidak dapat dinafikan bahawa kita akan berhadapan dengan banyak halangan dan rintangan. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, bersedia mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan azam dan tekad bagi mengamalkan semangat kejiranan dan perpaduan dalam masyarakat kita.
وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلْجَنۢبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”