Kunci Pembuka Rezeki : Pena Hijau

Kunci Pembuka Rezeki

ANE 20220825 kemerdekaan
Pengisian Anugerah Kemerdekaan
25 Aug 2022
ANE 20220908 kejiranan
Semangat Kejiranan Dan Perpaduan
8 Sep 2022
ANE 20220825 kemerdekaan
Pengisian Anugerah Kemerdekaan
25 Aug 2022
ANE 20220908 kejiranan
Semangat Kejiranan Dan Perpaduan
8 Sep 2022
ANE 20220902 pembuka rezeki
icon follow us

Rezeki adalah bahagian agihan Allah kepada setiap hambaNya. Ia datang dalam bentuk pemakanan dan kesihatan untuk tubuh badan, kecerdasan untuk pemikiran atau ketenangan pada kejiwaan dan seribu satu macam keperluan dan kehendak hidup insan. Rezeki hanyalah dengan ketentuan Allah semata-mata. Manusia tidak akan mati selama belum lengkap menerima semua rezeki yang ditentukan Tuhan untuknya.

Firman Allah SWT dalam Surah az Zariat, ayat 58 :

إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلْقُوَّةِ ٱلْمَتِينُ

“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya”.

Antara pedoman al-Quran tentang kunci pembuka rezeki ialah ;

Pertama : Ketaqwaan.

Firman Allah swt dalam Surah al-Talak, ayat 2-3 :

 … وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ٢ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ…

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

Ketaqwaan berlaku dengan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangannya. Semakin maksiat dijauhi, semakin terbuka luaslah pintu kemurahan rezeki. Dalam kitab al Jawab al Kafi menyebutkan bahawa sebagaimana ketaqwaan kepada Allah mengundang rezeki yang luas, demikianlah juga menjauhi ketaqwaan bermakna menjemput kefaqiran. Tiada semujarab meninggalkan maksiat untuk menjemput rezeki yang melimpah.

Kedua : Beristighfar (Memohon ampun dan bertaubat)

Dosa punca utama kesempitan rezeki. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Seseorang hamba itu tersekat rezekinya kerana dosa yang dilakukannya.”

(Riwayat Ahmad)

Istighfar pula penghapus dosa, seterusnya pembuka pintu rezeki. Firman Allah swt dalam Surah Nuh, ayat 10-12 :

فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا ١٠ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا ١١ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍۢ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍۢ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًۭا ١٢

“Aku (Nabi Nuh) berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak. Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.”

Masyhur kisah datangnya seseorang kepada al-Hasan al-Basri, beliau mengadu tentang tanahnya yang tidak subur lalu jawab Hasan al-Basri : “Beristighfarlah kepada Allah”. Datang pula seorang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau : “Beristighfarlah kepada Allah”. Datang lagi yang lain meminta berdoa agar direzekikan anak, jawab beliau : “Beristighfarlah kepada Allah”. Lalu ditanya al-Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama sedangkan didatangkan persoalan yang berbeza. Kata imam Hasan al Basri : “Ini bukanlah pendapatku, inilah yang tersebut dalam Surah Nuh”. Lalu dia membaca ayat di atas.

Ketiga : Berinfaq di jalan Allah.

Menderma dan berinfaq di jalan Allah adalah kunci membuka limpahan rezeki. Ramai manusia takut berbelanja di jalan Allah kerana bimbangkan kefakiran dan kekeringan harta. Firman Allah dalam Surah Saba’, ayat 39 menyebut janji gantiannya bagi setiap infaq :

قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”.

Ibnu Kathir berkata : Apa sahaja yang kamu nafqahkan dari sesuatu yang Allah perintah dan halalkan, maka Allah akan gantikannya di dunia dengan tukaran dan gantian, sementara di akhirat pula dengan pahala dan ganjaran. Sabda Nabi saw yang bermaksud :

“Tiadalah suatu hari berpagi manusia melainkan dua malaikat akan turun. Salah satunya berkata : Ya Allah! Berilah kepada orang yang berinfaq itu akan gantian. Berkata yang satu lagi : Ya Allah berilah kepada yang kedekut itu kemusnahan”.

(Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Keempat : Bersyukur dengan nikmat.

Dengan bersyukur terperangkap sudah rezeki yang sedia ada, dan memburu rezeki yang belum tiba, sebagaimana kata Imam al Biqa’i (البقاعي ). Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 7 :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.

Umar ibn Abdul Aziz pernah berkata : Ikatlah nikmat Allah dengan bersyukur kepada Allah. Kesyukuran penambat nikmat dan pintu membuka tambahan rezeki.

Menurut Ibnu Qudamah : Mensyukuri nikmat ialah dengan menggunakannya pada ketaatan kepada Allah serta menjaga dari ia terguna di jalan maksiat.

Demikianlah nilai kesyukuran dalam diri penerima nikmat akan menambahkan anugerah kurniaan Tuhan. Sebaliknya sikap kufur nikmat membawa kepada tertutup dan tersekatnya nikmat yang mendatang.

Kelima : Berusaha dan bekerja.

Telah menjadi peraturan Allah (sunnatullah) bahawa setiap musabbab ada sebabnya. Sesiapa yang berusaha akan mendapat natijahnya. Sesiapa yang menanam akan menuai hasilnya. Sesiapa yang berjalan di landasan akan sampai ke penghujungnya. Islam menggalakkan manusia berkerja dan berusaha, bersikap produktif serta menjauhi sifat malas, lesu, lembab dan menganggur. Firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu’ah, ayat 10 :

فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَٱبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

Sabda Nabi SAW menggalakkan manusia berproduktiviti dan berdikari yang bermaksud :

“Tidaklah makan seseorang satu makanan yang lebih baik dari makan dari usaha kerja tangannya. Nabi Dawud as adalah seorang yang makan dari usaha kerja tangannya sendiri”.

(Hadith riwayat al Bukhari)

Apa yang disebut di dalam kesempatan ini adalah sebahagian yang terpenting dari kunci pembuka rezeki, berdasarkan pedoman al Quran dan al Sunnah. Sesiapa yang memahami, menghayatinya dan beramal dengannya, Allah swt menjanjikan kelapangan rezeki dan keberkatan nikmat kurniaan. Semoga Allah SWT melimpahkan kepada setiap kita rezeki yang halal dari kekayaan dan kemewahan khazanahnya, diberkati segala rezeki yang diberi untuk dipulangkan dalam bentuk kesyukuran, ketaatan dan amal ibadat demi mencari redha dan rahmat Allah SWT jua.

هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ ذَلُولًا فَٱمْشُوا۟ فِى مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا۟ مِن رِّزْقِهِۦ ۖ وَإِلَيْهِ ٱلنُّشُورُ

Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).

(Surah al Mulk ayat : 15)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Kunci Pembuka Rezeki
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more