Melunaskan Zakat Harta Di Akhir Tahun : Pena Hijau

Melunaskan Zakat Harta Di Akhir Tahun

tafakkur
Anugerah Ilahi Untuk Orang Yang Beriman
1 Dec 2022
masa
Tuntutan Menjaga Masa Dalam Islam
15 Dec 2022
tafakkur
Anugerah Ilahi Untuk Orang Yang Beriman
1 Dec 2022
masa
Tuntutan Menjaga Masa Dalam Islam
15 Dec 2022
zakat
icon follow us

Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang mencukupi syarat yang ditetapkan oleh syarak. Salah satu zakat adalah zakat harta. Ia merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang diwajibkan ke atas golongan yang berada terhadap golongan yang berhak menerimanya.

Kewajipan menunaikan zakat boleh dilaksanakan sepanjang tahun apabila memenuhi syarat-syarat wajib zakat. Kini kita berada di penghujung tahun 2022. Justeru, khatib menyeru agar kita sama-sama mengambil cakna rukun Islam yang ke lima ini dalam membantu golongan-golongan yang memerlukan. Zakat juga merupakan proses pembersihan harta dari terlibat dengan hak-hak orang lain dan pembersihan jiwa dari sifat mazmumah iaitu bakhil dan kedekut.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 103 :

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ١٠٣

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”

Rasulullah SAW juga memberi jaminan bahawa harta tidak akan menjadi kurang dengan sebab menunaikan zakat dan bersedekah. Sabda Baginda SAW yang bermaksud :

“Sebarang sedekah (yang dikeluarkan) tidak mengurangkan harta”

(H.R. Muslim)

Terdapat berbagai kelebihan yang disediakan oleh Allah untuk orang-orang yang menunaikan zakat. Antaranya ialah :

Pertama : Zakat menjadi naungan yang akan melindungi pengeluarnya dari kepanasan di hari Qiamat nanti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tiap-tiap orang berteduh di bawah naungan sedekahnya hingga selesai penghitungan di kalangan manusia”

(H.R. Ibnu Khuzaimah dan lainnya)

Kedua : Zakat menyemai sifat pemurah kepada pengeluarnya dan menghindarkannya dari sifat bakhil, mementingkan diri dan sebagainya.

Ketiga : Zakat dapat mengundang rahmat Allah serta menghindarkan pengeluarnya dan masyarakat dari sebarang bala dan musibah. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 156 :

قَالَ عَذَابِىٓ أُصِيبُ بِهِۦ مَنْ أَشَآءُ ۖ وَرَحْمَتِى وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍۢ ۚ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلَّذِينَ هُم بِـَٔايَـٰتِنَا يُؤْمِنُونَ

“Allah berfirman: AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami”

Keempat : Zakat boleh menghapuskan dosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Puasa itu perisai dan sedekah itu memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api”

(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Mengikut Mazhab Syafie zakat wajib diagihkan kepada semua golongan asnaf yang terdapat di dalam sesuatu kawasan berkenaan. Jika kita mengagihkan sendiri zakat kepada beberapa golongan asnaf sedangkan masih ada golongan asnaf yang tertinggal, maka wajib ke atas pengeluarnya mengganti semula dengan hartanya yang lain sebanyak jumlah yang penerima berkenaan berhak.

Justeru bagi memudahkan pengagihan tersebut serta memastikan zakat kita sampai kepada semua golongan asnaf, maka hendaklah zakat tersebut diserahkan atau dibayar kepada pihak pengurusan zakat atau mana-mana amil yang dilantik oleh pihak pengurusan zakat.

Malah apabila pihak ulul amri memerintahkan supaya zakat diserahkan atau dibayar kepada pihak pengurusan zakat yang dilantik oleh pemerintah maka hukumnya adalah wajib ditaati dan dipatuhi.

Kita mendoakan agar Allah SWT melimpah ruahkan rezeki dan melipat gandakannya kepada pembayar zakat pada tahun-tahun mendatang sebagaimana doa Imam Syafie yang masyhur yang bermaksud : “Semoga Allah memberikan balasan yang baik atas apa yang engkau berikan, dan memberkati harta yang engkau simpan berbaki dan menjadikannya untukmu harta yang bersih“.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Melunaskan Zakat Harta Di Akhir Tahun
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more