Tuntutan Menjaga Masa Dalam Islam : Pena Hijau

Tuntutan Menjaga Masa Dalam Islam

zakat
Melunaskan Zakat Harta Di Akhir Tahun
8 Dec 2022
ANE 20221222 musibah
Musibah : Senyum Dalam Sengsara, Tenang Dalam Derita
22 Dec 2022
zakat
Melunaskan Zakat Harta Di Akhir Tahun
8 Dec 2022
ANE 20221222 musibah
Musibah : Senyum Dalam Sengsara, Tenang Dalam Derita
22 Dec 2022
masa
icon follow us

Ungkapan melayu dahulu kala sering mengaitkan masa dengan emas, namun ramai manusia yang mengabai dan tidak memikirkan peredaran masa atau waktu yang dilaluinya dalam kehidupannya dan mereka hidup dalam keadaan leka dan sia-sia. Golongan seperti ini telah ditegur oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Mu’minun ayat 115 :

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَـٰكُمْ عَبَثًۭا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ١١٥

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami”.

Oleh itu pengurusan masa seharian dalam kehidupan kita amat penting dan perlu disusun secara teratur agar masa dapat diurus dan dimanfaatkan dengan bijak dan berkesan. Dalam kehidupan kita seharian, sedar atau tidak, sebenarnya kita telah menetapkan jadual harian, dengan sendirinya kita tahu masa kita untuk melakukan sesuatu, seperti masa bekerja, berehat, tidur, makan minum, dan sebagainya. Ketahuilah bahawa masa adalah amanah dari Allah SWT. Setiap amanah merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) :

“Tidak berganjak kaki setiap hamba pada hari kiamat (di padang mahsyar) sehingga ditanya tentang empat perkara : Tentang umurnya ke mana dihabiskan. Tentang ilmunya apa yang diperbuat dengannya. Tentang harta dari mana diperolehinya dan ke mana dibelanjakannya. Tentang tubuh jasmaninya pada apa dihabiskan.”

(Riwayat at-Tirmizi)

Manusia seringkali terleka dengan masa lapang dan mudah saja lalai dengan kehidupan, akhirnya kecundang jua, lalu memilih jalan yang membazirkan masa. Sedangkan Allah SWT telah bersumpah dengan masa dalam Surah al-‘Asr ayat 1 hingga 3 :

وَٱلْعَصْرِ ١
إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ ٢
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ ٣

“Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”

Ayat di atas jelas menunjukkan, hanya orang-orang beriman dan beramal soleh yang sedar akan kepentingan masa dan menggunakannya untuk kebajikan demi manfaat diri, keluarga dan masyarakat sekeliling mereka.

Marilah kita gunakan peluang masa dan nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk kita mencipta kecemerlangan hidup di dunia lebih-lebih lagi kehidupan di akhirat. Begitu juga masa hendaklah diurus dengan sebaik-baiknya seperti pesanan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya (yang bermaksud) :

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk, masa hidup sebelum mati”

(Riwayat al Baihaqi)

Marilah kita atasi masalah pembaziran masa ini! Terlewat melaksanakan sesuatu tindakan adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Malah situasi akan menjadi lebih parah lagi sekiranya tiada apa-apa tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.”

(Hadis riwayat al Baihaqi)

Dalam konteks penggunaan masa, kita hendaklah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan agar masa yang digunakan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Biarlah pekerjaan itu sedikit, tetapi pastikan jangan meleret! Lakukan dengan bersungguh-sungguh dan elakkan bertangguh agar masa yang selebihnya dapat digunakan untuk perkara lain yang sama taraf kepentingannya. Dalam masa yang sama, hormatilah masa orang lain. Hidup bermasyarakat mengatur kita agar bermuamalat dengan manusia lain. Jika kita sering sahaja memandang remeh dan tidak menepati masa nescaya kita tidak lagi dihormati dan dipercayai.

Akhirnya, hargai dan jagalah masa! Kepada anak-anak, manfaatkan musim cuti sekolah yang ada dengan perkara-perkara yang berfaedah. Jangan terlalu leka dengan gajet sehingga terabai waktu solat dan kewajipan yang lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Dua nikmat yang ramai manusia tertipu lagi merugikan, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.”

(Riwayat Bukhari)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ ٩

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

(Surah Al-Munafiqun : 9)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Tuntutan Menjaga Masa Dalam Islam
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more