Kemuliaan Ilmu Dan Sanjungan Terhadap Para Guru
18 May 2023Haji Adalah Rehlah Keimanan
1 Jun 2023Kukuhkan Perpaduan Berpandukan Al-Quran Dan As-Sunnah | Sesungguhnya perpaduan, kesatuan dan persaudaraan di kalangan umat Islam adalah merupakan perintah Allah dan Rasul-Nya yang mesti dipatuhi. Terdapat banyak firman Allah dan sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam yang memerintahkan orang Islam supaya bersatu padu, bersaudara, kasih mengasihi dan saling membantu di samping melarang perpecahan, perbalahan, benci membenci dan pulau memulau.
Antaranya, Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103 :
…وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu bercerai berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu (orang-orang Islam) yang bersaudara…”
Firman ini dengan jelas memerintahkan orang-orang beriman supaya mengasaskan kehidupan di atas agama Allah, yakni Islam. Dan melarang daripada berpecah belah atau bercerai berai. Kerana persaudaraan sesama Islam dan perpaduan adalah nikmat atau kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman.
Justeru itu, orang-orang yang sengaja menabur fitnah atau menghasut sehingga orang-orang Islam saling bermusuhan, saling membenci dan bersengketa, mereka ini ialah orang yang telah melanggar perintah Allah, ingkar akan nikmat yang dikurniakanNya lagi tidak bersyukur.
Di sudut lain, patutkah kita merombak tali persaudaraan Islam yang telah diikat kukuh oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam suatu ketika dahulu, dengan kita terlibat dalam kancah perbalahan dan persengketaan sesama muslim?! Wajarkah kita membiarkan diri kita dipengaruhi oleh suara-suara sumbang menghasut, hingga saling benci membenci dan bermusuhan?! Tentunya orang yang beriman tidak sanggup berbuat demikian, malah mereka menentang keras mana-mana pihak yang cuba merosakkan ikatan suci persaudaraan Islam, warisan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam ini.
Al-Quran dan Sunnah telah memberikan panduan dan pedoman tentang bagaimana kita boleh membentuk persaudaraan dan perpaduan. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 59 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan juga kepada Ulul Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) RasulNya, jika kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok (pula) kesudahannya”
Firman ini secara terang memerintahkan orang-orang beriman supaya menamatkan segala perselisihan dan persengketaan dengan cara kembali kepada ajaran Allah dan RasulNya, iaitu mereka menyelesaikan perselisihan tersebut menurut lunas-lunas Islam dan menerusi semangat persaudaraan Islam.
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam pula telah menggariskan dasar atau rukun kepada persaudaraan Islam. Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam bersabda yang bermaksud :
“Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu hingga ia mengasihi bagi saudaranya (sesama Islam) akan apa yang dikasihi bagi dirinya sendiri”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam juga turut menerangkan tentang hak persaudaraan Islam yang perlu ditunaikan dengan sabda Baginda yang bermaksud :
“Hak seorang Islam ke atas seorang Islam ialah lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menunaikan jemputan dan mendoakan kerahmatan kepada orang yang bersin”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perkara-perkara tersebut ini mungkin dianggap kecil oleh setengah orang, namun ia sebenarnya berperanan besar dalam membantu menyubur dan mengeratkan persaudaraan Islam.
Dalam ertikata lain, kita sebagai umat Islam hendaklah bersikap berperi kemanusiaan dan menggunakan budi bicara yang baik antara satu sama lain, sehingga melahirkan kerukunan dan kedamaian dalam masyarakat dan negara.
Untuk itu, marilah kita sama-sama mengenepikan kepentingan diri sendiri dengan mengutamakan kepentingan bersama dalam masyarakat dan negara. Satukanlah daya usaha, fikiran dan tenaga, harta benda dan jiwa raga kita, demi kepentingan dan kemaslahatan agama, masyarakat dan negara, serta lupakanlah segala titik bengik yang mengakibatkan perpecahan sesama kita.
وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak, nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatanmu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”
(Surah al-Anfal, ayat 46)