Menyemai Pengorbanan Dalam Diri
28 Jun 2024Pengisian Ibadah Di Bulan Muharram
19 Jul 2024Amalan Dihitung Meskipun Masa Beredar | Pada hari Jumaat yang mulia ini, yang merupakan hari terakhir bagi tahun 1445 hijrah ini, ia membawa peringatan besar buat kita semua untuk dibuat renungan dan muhasabah diri. Terlalu pantasnya masa berlalu sehingga kini kita akan melangkah ke pintu masuk tahun 1446H yang baharu.
Demikianlah perjalanan masa, namun ramai manusia masih lalai dan alpa. Hal ini mengingatkan kita kepada firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah az-Zumar, ayat 55-56 :
وَٱتَّبِعُوٓا۟ أَحْسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِّكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ بَغْتَةًۭ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ ٥٥ أَن تَقُولَ نَفْسٌۭ يَـٰحَسْرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِى جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّـٰخِرِينَ ٥٦
“Ikutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya. Supaya jangan seseorang berkata: Sungguh besar kecewaku kerana aku telah melalaikan kewajipanku di sisi Allah, serta aku telah menjadi dari orang yang sungguh memperolok-olokkan agama Allah!”
Sesungguhnya amalan di dunia menjadi penentu kepada balasan di akhirat. Masing-masing akan menerima buku catatan amalan atas perbuatannya nanti. Jika diterima dengan tangan kanan, maka berbahagialah si penerimanya kerana syurga bakal menanti. Tetapi sesiapa yang menerima buku catatan amalan dengan tangan kiri atau dari belakang, maka nerakalah tempatnya, sekira tidak mendapat pengampunan Allah subhanahu wa ta’ala.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Insyiqaq ayat 7-12 :
فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ ٧ فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًۭا يَسِيرًۭا ٨ وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًۭا ٩ وَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ وَرَآءَ ظَهْرِهِۦ ١٠ فَسَوْفَ يَدْعُوا۟ ثُبُورًۭا ١١ وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا ١٢
“Kemudian sesiapa yang diberi surat amalnya dengan tangan kanannya. Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan. Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya. Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya. Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang”
Waktu, masa dan detik kehidupan adalah anugerah terbesar bagi seorang manusia. Kesempatan hidup di dunia semestinya digarapkan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. Islam telah ajarkan bahawa kehidupan dunia adalah seumpama sebuah ladang yang semestinya digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan hasil mahsulnya yang menyenangkan di akhirat kelak. Justeru, tempoh di dunia adalah hanya sementara, manakala kehidupan akhirat adalah kekal abadi.
Islam mengutamakan kehidupan akhirat yang kekal, tetapi tetap menyedarkan manusia bahawa kehidupan dunia adalah jambatan menuju tempat yang abadi. Lantaran itu, Al-Quran menjelaskan tujuan penciptaan manusia dan jin adalah untuk mengabdi diri secara total kepada Allah subhanahu wa ta’ala. FirmanNya dalam surah Ad-Dzariyat ayat 56 :
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ٥٦
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku”
Manusia dituntut agar memanfaatkan waktu atau kesempatan yang diberikan untuk amalan soleh, agar tak menyesal di kehidupan akhirat kelak sebagaimana yang digambarkan melalui surah al-Mukminun ayat 99-100 :
حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ٱرْجِعُونِ ٩٩ لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًۭا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ١٠٠
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia : Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang salih dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula”
Dalam kesempatan yang masih diberikan nikmatnya ini, marilah kita terus berusaha bertauhid kepada Allah subhanahu wa ta’ala dengan penuh keyakinan dan iman yang mantap, melaksanakan titah perintah Allah secara konsisten dengan penuh ikhlas, berbuat baik sesama manusia dan makhluk Allah yang lain, mudah-mudahan amalan kita diganjari dengan keredaan Allah subhanahu wa ta’ala dan SyurgaNya di Akhirat nanti.
Sebagai penutup, marilah kita mengambil beberapa peringatan sebagaimana berikut :
- Muhasabah diri membolehkan kita membuka hati dan menyedari akan kesilapan dan dosa yang pernah dilakukan.
- Perbanyakkan taubat memohon keampunan Allah atas kesilapan lalu, seterusnya berdoa bersungguh-sungguh memohon taufik dan bimbinganNya agar kita dapat menggandakan kebaikan dan meninggalkan keburukan.
- Sentiasa memperhitungkan kekurangan diri, istighfar atasnya, kekalkan tanggungjawab dan amalan baik agar ia dapat memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat.