Amalan Dihitung Meskipun Masa Beredar
5 Jul 2024Kewajipan Nafkah Kepada Ahli Keluarga
9 Aug 2024Pengisian Ibadah Di Bulan Muharram | Kiraan tahun hijrah seperti mana tahun masihi, adalah berdasarkan fenomena alam. Secara ringkas, kalendar masihi dikira pada peredaran bumi mengelilingi matahari, manakala kalendar hijrah pula berpandukan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Dengan itu, kita sering mendengar kalendar hijrah disebut sebagai kalendar qamariyah. Namun demikian, di sebalik setiap perubahan yang berlaku berdasarkan kejadian fenomena alam ini, terdapat hikmah tertentu dari perspektif agama dan kenapa ia terjadi sedemikian. Islam mengajarkan bahawa terdapat kelebihan tertentu antara satu bulan dengan bulan yang lain dalam kalendar hijrah sebagaimana firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 36 :
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًۭا فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌۭ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ
“Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram (mulia). Itulah (ketetapan) agama yang lurus”
Ayat tersebut menjelaskan bahawa dari sudut pandang agama, tidak semua bulan mempunyai kedudukan yang sama. Dalam Islam, selain Bulan Ramadhan, terdapat empat bulan lain yang mempunyai kemuliaan tersendiri iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang merupakan bulan-bulan haram iaitu bulan yang dimuliakan. Atas kemuliaan bulan-bulan itulah, Islam menganjurkan umatnya untuk memanfaatkan masa mereka sebagai ikhtiar memperbanyak ibadah serta amalan mendekatkan diri kepada Allah seperti berpuasa sunat, zikir, sedekah dan mengeratkan kesatuan sesama Muslim.
Rahmat dan kasih sayang Allah subhanahu wa ta’ala kepada kita terlalu besar dan banyak sekali. Antaranya, Allah membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk kita lakukan pengabdian kepada Allah termasuk dalam bulan-bulan tertentu dengan ganjaran pahala yang besar.
Imam Ibnu ‘Asyur, seorang ulama tafsir sewaktu menjelaskan surah at-Taubah ayat 36 di atas menyebutkan bahawa : kemuliaan umat Islam akan lebih terserlah apabila mereka melakukan amal soleh dan berakhlak mulia dalam bulan-bulan yang dimuliakan Allah subhanahu wa ta’ala.
Antara amalan yang amat dianjurkan di bulan Muharram adalah puasa sunat. Dalam hadith riwayat Ibnu Majah yang bermaksud,
“Seseorang datang menemui Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan bertanya, ‘Setelah Ramadhan, puasa di bulan apakah yang lebih afdal?’ Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ‘Puasa di bulan Allah, iaitu bulan yang kalian sebut dengan Muharram'”
Sebutan Muharram sebagai “bulan Allah” (syahrullah) menunjukkan kemuliaan bulan ini yang amat istimewa antaranya berpuasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram). Kelebihan berpuasa di hari asyura’ ialah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya, seperti mana yang disebut dalam hadis riwayat Abu Qatadah RA yang bermaksud :
“Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu”
Kita juga dianjurkan berpuasa pada 9 Muharam (iaitu Tasu’aa), sebagaimana disarankan oleh baginda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Menurut Imam an-Nawawi, anjuran puasa pada 9 Muharam adalah untuk membezakan puasa orang Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharam.
Selain 10 Muharam, puasa juga masih dianjurkan pada hari-hari lain di bulan ini termasuk puasa Hari Putih. Sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA yang bermaksud :
“Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14 dan 15 haribulan”
Selain puasa sunat, terdapat amalan lain yang boleh dilakukan pada bulan Muharram iaitu memperbanyakkan bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Amalan berinfaq sebegini mampu meningkatkan persaudaraan antara golongan yang kaya dengan golongan yang miskin, anak-anak yatim dan sesiapa sahaja yang berhajat kepada pertolongan.
Justeru itu, dengan kelebihan Bulan Muharram ini marilah sama-sama kita memuliakan bulan ini dengan memperbaiki hati, memperelok perilaku dan sahsiah melalui amalan sunat dan budaya infaq seperti dianjurkan. Semoga redha Allah subhanahu wa ta’ala sentiasa menyelubungi hidup kita semua. Aamiin.