
Berlalunya Ramadhan Bukan Pengakhiran Ibadah
3 Apr 2025

Jauhi Diri Daripada Perbuatan Mujaharah | Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dalam kehidupan melainkan para rasul yang maksum. Ada kalanya manusia tergelincir melakukan kesalahan sehingga mendapat dosa kerana tewas dengan godaan syaitan. Ada kalanya pula, manusia terjebak melakukan dosa disebabkan nafsu jahat dalam diri. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjelaskan dalam surah Yusuf, ayat 53 tentang nafsu menerusi firman-Nya :
وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٥٣
“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
Keadaan manusia yang terjebak dalam dosa dan kesalahan menunjukkan kelemahan diri yang gagal mematuhi perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Itulah sifat manusia yang sepatutnya mengharapkan keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Allah lah yang memiliki segala kesempurnaan dan memberi pengampunan kepada sesiapa juga hamba yang kembali bertaubat kepada-Nya.
Berkaitan dengan hal dosa, ada satu lagi kesalahan yang boleh terjadi disebabkan dosa tersebut. Perbuatan ini dikenali sebagai “mujaharah“. “Mujaharah” bermaksud perbuatan melakukan dosa sama ada secara terang-terangan atau tersembunyi, namun kemudiannya menghebahkan perlakuan dosanya kepada khalayak umum.
Golongan yang melakukan perbuatan “mujaharah” ini termasuk dalam kalangan orang yang dimurkai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Perbuatan mereka menghebahkan dosa yang dilakukan membuktikan tidak ada lagi sifat malu dalam diri.
Golongan ini juga seolah-olah tidak takut dengan azab yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala bagi mereka yang melanggar ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Neraka yang disediakan untuk golongan yang ingkar terhadap ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta’ala seakan-akan tidak lagi menjadi tempat yang digeruni. Ini kerana golongan yang menunjuk-nunjuk dosa sendiri ini dilihat rela perbuatan mereka diketahui oleh orang ramai.
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
“Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan “al-mujahirin”. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu ialah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya : “Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini”. Padahal sungguh pada malam harinya, Allah telah menutup dosa yang dia lakukan, namun dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutup tentang dosa dirinya”
Perbuatan “mujaharah” juga dilihat sebagai usaha mempromosi kemungkaran agar orang lain turut terjebak melakukannya. Perkara ini perlu dibanteras kerana perbuatan buruk mesti disekat agar tidak berlaku penularan kepada orang lain yang menyaksikannya atau mendengar cerita tentang kemungkaran tersebut.
Golongan yang menunjuk-nunjuk dosa ini juga dilihat tidak hairan dengan peluang keampunan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada seluruh makhluk-Nya. Mereka sanggup mempromosikan dosa yang dilakukan tanpa memikirkan kesan buruk yang boleh terjadi terhadap maruahnya pada masa akan datang. Malah mereka berbangga kerana dirinya dapat melakukan dosa, serta tidak takut dengan azab seksa yang disediakan untuk golongan yang mengumpul dosa ketika hidup di dunia.
Dalam kepesatan dunia teknologi maklumat hari ini, terlalu mudah untuk seseorang mendedahkan dosa yang dilakukannya kepada khalayak umum. Ada orang menyebarkan berita kemungkaran yang dilakukannya termasuk perbuatan tidak bermoral, berpakaian tidak sopan, percakapan jelek yang boleh manjatuhkan maruah diri dan agama. Ini banyak berlaku dalam media sosial untuk mendapat perhatian dan sokongan ramai di laman facebook, tiktok, instagram dan sebagainya lagi. Ada juga yang berasa bangga dan terkenal jika berita tentang kemungkarannya ditularkan sehingga menjadi isu yang dibincangkan secara hangat oleh netizen.
Sesungguhnya sifat malu merupakan benteng diri daripada terjebak dengan perbuatan keji dan mungkar. Sebab itulah malu mempunyai perkaitan rapat dengan iman. Orang beriman akan memiliki sifat malu yang dapat menyelamatkan diri dan iman mereka. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
الْحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلاَّ بِخَيْرٍ
“Malu tidak datang kecuali dengan kebaikan”
Orang Islam perlu menyedari bahawa setiap kesalahan yang dilakukan mewajibkan diri agar segera memohon keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dialah Tuhan yang tidak akan sesekali mensia-siakan perbuatan hambaNya yang ingin kembali bertaubat dan menjadi orang yang diampuni dosanya. Jangan terlibat dengan perbuatan “mujaharah” kerana ia menjadikan diri semakin jauh daripada rahmat dan keampunan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Kesimpulannya, setiap Muslim perlu menginsafi bahawa kehidupan di dunia adalah ladang untuk bercucuk tanam dengan melakukan amal kebaikan. Manakala akhirat ialah tempat untuk menuai hasilnya dengan meraih ganjaran istimewa daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Justeru, rebutlah peluang untuk mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan melakukan amal soleh dan bukannya melakukan dosa dan kemungkaran lalu berbangga dengannya. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala Maha Menerima taubat dan mengasihi para hamba yang kembali bertaubat kepada-Nya.