Persediaan & Pengharapan Dalam Menghadapi Peperiksaan

Persediaan & Pengharapan Dalam Menghadapi Peperiksaan

20241206 masjid menjana ekonomi ummah koperasi
Masjid Menjana Ekonomi Ummah
6 Dec 2024
20240202 isra miraj israk mikraj
Penghayatan Isra’ Mi’raj
2 Jan 2025
20241206 masjid menjana ekonomi ummah koperasi
Masjid Menjana Ekonomi Ummah
6 Dec 2024
20240202 isra miraj israk mikraj
Penghayatan Isra’ Mi’raj
2 Jan 2025
20241226 peperiksaaan
icon follow us

Persediaan & Pengharapan Dalam Menghadapi Peperiksaan | Bermula awal tahun hadapan (2 Jan 2025 sehingga 13 Februari 2025), sebahagian anak-anak kita akan menghadapi peperiksaan SPM, STPM dan STAM, yang bakal memberi natijah dan hasil pencapaian pembelajaran di peringkat sekolah, sebelum mereka menyambung pengajian lanjutan di universiti.

Setiap tahun, berulangnya suasana para pelajar yang memasuki dewan peperiksaan bagi menguji prestasi pembelajaran mereka, di samping harapan besar para ibu bapa terhadap kejayaan anak-anak yang amat dinanti-nantikan. Suasana sebegini seharusnya menjadikan anak-anak pelajar lebih giat berusaha bagi meraih kecemerlangan diri dan membanggakan hati kedua ibu bapa.

Usaha untuk mendapatkan kejayaan hidup di dunia, apatah lagi mencapai kebahagiaan di akhirat kelak adalah suatu tuntutan yang  dianjurkan oleh syariat Islam.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al Qasas ayat 77 :

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ ٧٧

“Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”

Setiap ayah dan ibu akan sentiasa menanamkan dalam hati anak mereka semangat dan keinginan untuk terus berprestasi cemerlang. Ini kerana kejayaan anak-anak merupakan asas kepada kegemilangan umat, sumber bagi pembangunan diri dan negara, juga menjadi cahaya hidup secara berilmu, daripada kegelapan jahil kepada berilmu pengetahuan.

Islam menekankan agar umatnya sentiasa menuntut ilmu khususnya pengetahuan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud :

“Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam. Orang yang menuntut ilmu akan dimohonkan keampunan baginya oleh semua makhluk, termasuklah ikan-ikan di lautan”

(Hadis Riwayat Ibn Abdul Bar)

Kita menaruh harapan bahawa, setiap anak yang bakal menghadapi peperiksaan akan berusaha sedaya mungkin dalam membuat persiapan terbaik bagi menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Persiapan mental, fizikal dan rohani digembelingkan bersama agar matlamat yang murni dapat direalisasikan sebaik mungkin.

Setiap muslim yang menginginkan kebaikan diri dan kejayaan hidup sudah tentu akan memanjatkan pengharapan sebenar kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Kahfi ayat 10 :

فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا

“Lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami””

Kepada para pelajar, hindarilah sikap meniru, menipu dan membuat helah dalam mencapai sesuatu kejayaan, kerana hal ini dilarang oleh Islam. Sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud :

“Sesiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada kalangan kami”

(Hadis Riwayat Muslim)

Di samping itu, ingatlah bahawa jasa ibu bapa dan para guru dalam membimbing dan menunjuk-ajar kita kepada jalan kebaikan dan kejayaan hidup perlu dihargai dan disyukuri. Mereka tidak mengharapkan bayaran dan hadiah berharga daripada anak-anak dan para pelajar semua, tetapi cukuplah bagi mereka kita beroleh kegembiraan serta kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan ini.

Kerana itu, perlihatkanlah kebolehan masing-masing bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan berkaitan dengan sebaiknya, agar kegembiraan sebenar bakal terukir di wajah mereka.

Bagi mencapai kejayaan dalam mana-mana aspek kehidupan, ia memerlukan kekuatan tubuh badan (jasmani), jiwa yang kental (rohani), mampu mengawal tekanan perasaan, di samping mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada setiap masa.
Berharaplah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam setiap detik kehidupan kita agar dikurniakan kekuatan, kejayaan dan keberhasilan hidup yang terbaik. Jangan lupa menjaga solat dan terus berdoa, memohon restu ibu bapa dan guru, jaga hubungan persahabatan, semoga Allah meredai setiap usaha kita selama ini. Selain itu, aspek kesihatan perlu dititikberatkan sepanjang musim peperiksaan dengan menjaga tidur dan pemakanan. Yakinlah kepada diri dan manfaatkan masa yang ada sebaiknya. Semoga Allah melancarkan urusan anak-anak dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi. Siiru ala barakati Allah.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Persediaan & Pengharapan Dalam Menghadapi Peperiksaan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more