Hosting Percuma
19 Jul 2020Lapan tempat menarik di Melaka untuk dikunjungi
16 Aug 2020Jawi Peranakan (1876-1895) adalah surat khabar bahasa Melayu pertama versi Jawi yang diterbitkan di Singapura secara mingguan. Dikeluarkan setiap Isnin dengan harga 30 sen senaskah dan bertahan selama 19 tahun.
Versi Jawi ini mengandungi berita yang berlaku seputar Negeri-negeri Melayu Selat, Johor, Selangor, Kedah, Negeri Brunei dan Labuan. Ia juga mencakupi berita-berita luar negara seperti di Tanah Jawa dan Sumatera.
Munsyi Mohammed Ali Al-Hindi menguruskan penerbitan akhbar Jawi ini sebelum diambil alih oleh Munsyi Mohamad Said bin Dada Muhyiddin (berketurunan Jawi Peranakan).
Ketiadaan bahan bacaan dalam bahasa Melayu pada abad ke-19 menyebabkan surat khabar digunakan sebagai bahan rujukan utama dalam pengajaran. Kerajaan ketika itu menempah sekurang-kurangnya 250 naskah akhbar Jawi Peranakan setiap edisi untuk diedar ke sekolah-sekolah Melayu.
Selepas tiga tahun akhbar Jawi Peranakan ditutup. Pada 23 Mac 1898, Warta Melayu iaitu akhbar sulung berbahasa Melayu dalam tulisan Jawi diterbitkan. Syarikat American Machine Press Singapura yang menerbit dan mencetak di Singapura.
Akhbar lapan halaman ini menyajikan liputan berita yang pelbagai, dalam dan luar negara. Antara segmennya seperti Khabar Negeri Asing, Khabar Negeri Melayu, Khabar Singapura dan Khabar Pulau Pinang. Ia mencakupi berita peperangan dan pergolakan politik semasa dunia.
Sejak Ogos 1898, akhbar Warta Melayu mula bercorak komersial dengan wujudnya iklan-iklan perniagaan tempatan. Penerbitannya kemudian tidak tetap kerana kekangan yang pelbagai terpaksa dihadapi pihak pengurusan.
Pada 29 Mei 1938 di Singapura, atas usaha seorang anak muda berusia 27 yang juga bekas Presiden Singapura, Yusof Ishak beserta sumbangan orang Melayu, Utusan Melayu (Jawi) menerbitkan naskah Jawi pertamanya. Pada 1 Januari 2003 dengan cetakan terakhir pada 31 Disember 2002, Utusan Melayu (Jawi) harian ditamatkan setelah 63 tahun berjuang dan terbit secara mingguan dengan nama Utusan Melayu Mingguan.
Banyak sejarah besar negara terakam di dalam akhbar Utusan Melayu. Seperti pertemuan Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng di Baling, rusuhan kaum 13 Mei 1969, rusuhan Natrah 12 Disember 1950 dan pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tanggal 31 Ogos 1957.
Tokoh wartawan dan politik tersohor negara yang lahir dari akhbar ini antaranya adalah pengarang pertamanya dan Bapa Wartawan Melayu, Abdul Rahim Kajai, nasionalis serta pejuang sastera, Ishak Mohamad (Pak Sako) dan Wartawan Negara, Tan Sri Samad Ismail.
Turut menjadi sebahagian kekuatan akhbar ini ialah dengan munculnya wartawan sasterawan yang membangkit kesedaran Melayu melalui pemikiran. Antaranya Usman Awang (Tongkat Warrant), Kamaluddin Muhamad (Keris Mas), Asraf Wahab dan A. Samad Said.
Utusan Zaman merupakan akhbar harian bahasa Melayu bertulisan Jawi yang diterbitkan mulai 5 November 1938, iaitu tahun yang sama dengan keluaran akhbar Utusan Melayu.
Akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman memberi kesan yang besar terhadap perkembangan intelek nasionalis Melayu sebagai asas persediaan mencapai kemerdekaan. Selepas Utusan Melayu (M) Berhad ditutup pada 9 Oktober 2019, maka akhbar Melayu bertulisan Jawi turut terkubur sepenuhnya.
1 Comment
[…] sumber: alkhudri (link) […]