Gambaran akhlak Muslim: adab berbicara dalam Islam
20 Nov 2020Ringkasan tentang Wakaf: amalan yang beri pahala berterusan
23 Nov 2020Setiap pasangan yang berkahwin berimpian untuk mengecapi mahligai bahagia. Bagi menyempurna hasrat tersebut, anda dan pasangan perlu berusaha bersungguh-sungguh dan sepenuh hati.
Walaupun laluan dan perjalanan kehidupan berumahtangga itu berliku, ada suka dan duka, namun ia boleh dicapai. Syaratnya, suami isteri perlu meletakkan Allah SWT sebagai segala-galanya dalam hidup selain terus cekal dan tidak berkira dalam banyak keadaan.
Kehidupan berumah tangga adalah perkongsian dua jiwa. Ia memerlukan kasih sayang, saling bertolak ansur serta melakukan pengorbanan masa, wang dan tenaga. Apabila anda tidak dapat mengatasi cabaran dan dugaan Allah SWT, maka akan timbul persengketaan.
Pergaduhan dalam rumah tangga terjadi kerana tidak ada yang sempurna selain Allah SWT. Sesekali merajuk, kecil hati, marah atau kecewa dengan pasangan adalah perkara biasa. Memahami dan mempelajari seni memujuk penting supaya api rajuk itu boleh dirawat dan tidak berpanjangan.
Dalam situasi merajuk, biasanya isteri lebih kuat merajuk berbanding suami. Namun ada ketikanya suami juga merajuk. Inilah namanya manusia, ada hati dan perasaan. Anda perlu peka dengan perubahan emosi dan tingkah laku pasangan.
Sekiranya pasangan tiba-tiba diam, tidak mahu bercakap atau kurang bercakap dengan anda, sudah pasti ada yang tidak kena. Jika anda berasa ada yang tidak kena dan ada tanda-tanda pasangan sedang merajuk, pujuklah dia. Usah biarkan pasangan anda melayan perasaan seorang diri.
Anda perlu bertanya dengan jelas akan masalah yang menyebabkan pasangan anda merajuk. Mungkin juga isu mertua atau ipar duai, tentang anak-anak atau kesilapan anda sendiri kerana terlupa tarikh lahir dan sebagainya.
Kadang kala masalah yang muncul itu tidaklah terlalu berat, namun ia boleh menimbulkan rajuk. Anda boleh merawat rajuk pasangan dengan membelikan hadiah seperti bunga atau coklat atau mengajak pasangan makan berdua di restoran atau membawanya melancong sekiranya mempunyai peruntukan lebih.
Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”
(Surah al-Isra, ayat 26)
Islam adalah agama yang sentiasa menggesa umatnya melakukan kebajikan sesama ahli keluarga. Percanggahan pandangan atau perbezaan prinsip adalah lumrah dalam kehidupan. Jangan disebabkan perkara kecil, hubungan yang telah terbina diputuskan. Hubungan erat dengan pasangan akan menjadikan hidup lebih bahagia. Kebahagiaan itu akan menjadikan masyarakat hidup sejahtera tanpa ada rasa dengki dan iri hati.
Sifat hormat menghormati, tolong menolong, semangat kebersamaan, kasih sayang sesama keluarga serta budaya baiti jannati perlu disuburkan dalam kehidupan berumahtangga. Dengan menerapkan nilai-nilai murni ini dapat menghadirkan keharmonian dan kesejahteraan dalam rumahtangga.
Ruang tidur adalah medan damai dari segala perselisihan, ia adalah ruang resepi keharmonian rumahtangga. Kekalkan titik persamaan. Marilah kita menanam azam untuk berubah akhlak dari yang baik kepada yang lebih baik, menjadi hamba Allah SWT yang sabar dan bertakwa.
Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
“Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya yang berputus asa itu adalah mereka yang kafir.”
(Surah Yusuf, ayat 87)
Sumber : Salam Web Today