Penentuan Arah Kiblat : Pena Hijau
istiwa' adzam
Piring ASTRO Menghala Ke Arah Kiblat?
30 Apr 2020
gerhana matahari separa
Gerhana Matahari Separa Hiasi Langit Malaysia
15 Jun 2020
istiwa' adzam
Piring ASTRO Menghala Ke Arah Kiblat?
30 Apr 2020
gerhana matahari separa
Gerhana Matahari Separa Hiasi Langit Malaysia
15 Jun 2020
kaedah penentuan arah kiblat
icon follow us

Ada beberapa kaedah yang kita boleh gunakan dalam menentukan arah kiblat. Antaranya adalah :

Ijtihad Arah Kiblat

Berijtihad arah kiblat adalah perlu dilakukan bagi menentukan arah kiblat masjid, surau dan tempat yang hendak didirikan solat. Mengikut keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, menghadap kiblat menjadi syarat sah solat. Bagi mazhab Syafie, terdapat tiga kaedah berhubung dengan syarat sah menhadap kiblat iaitu :

  1. Bagi seseorang yang berada di dalam Masjidil Haram sama ada nampak Baitullah (Kaabah) atau tidak, wajib ia menghadap dan menghalakan dirinya ke Baitullah dengan penuh yakin. Kewajipan tersebut boleh dipastikan terlebih dahulu dengan melihat atau menyentuhnya bagi cacat penglihatan atau dengan cara lain yang boleh dipastikan, asalkan ada keyakinan. Menentukan Kiblat dengan cara ini dinamakan “Kiblat Yakin“.
  2. Bagi seseorang yang jauh dari Baitullah iaitu yang berada di luar Masjidil Haram dan di sekitar Tanah Suci Mekah, hendaklah menghadap ke arah Masjidil Haram dengan tujuan ke arah Kaabah secara dzanni sahaja dan bergantung kepada ijtihadnya. Oleh yang demikian cara ini dinamakan “Kiblat Dzanni“. Kaedah ini boleh diketahui melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Mekah.
  3. Bagi seseorang yang berada di luar Masjidil Haram dan di luar Tanah Suci Mekah, hendaklah menghadap ke arah Tanah Suci Mekah dengan tujuan menghadap Masjidil Haram atau Kaabah. Cara ini memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika mendirikan solat dan ibadat-ibadat lain.
Hitungan Arah Kiblat

Hitungan adalah berdasarkan arah di sepanjang bulatan gedang (great circle) bumi. Ia melibatkan model-model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan koordinat geografi Kaabah.

hitungan arah kiblat

hitungan arah kiblat

hitungan arah kiblat

Peristiwa Matahari Di Atas Kaabah (Istiwa’ Adzam)

Rujuk artikel sebelum ini di URL https://alkhudhri.com/2020/04/piring-astro-menghala-ke-arah-kiblat/

Menggunakan Tongkat Istiwa’

tongkat istiwa

Dalam kaedah ini, penentuan arah kiblat dibuat dengan mendirikan sebatang kayu pada suatu kawasan rata. Bayang-bayang kayu tersebut akan ditandakan sebelum dan selepas matahari istiwa untuk menetapkan garisan timur-barat. Cara mudah menggunakan tongkat istiwa’ :

  1. Pilih kawasan yang tidak terlindung matahari
  2. Cari objek lurus seperti kayu atau sebagainya
  3. Pacak kan objek lurus di kawasan tersebut
  4. Buat bulatan mengelilingi objek lurus tersebut
  5. Tetapkan waktu :
    1. 15 minit sebelum Zohor. Perhatikan bayang bayang objek lurus menyentuh bulatan tersebut dan tanda sebagai barat
    2. 15 minit selepas Zohor. Perhatikan bayang bayang objek lurus menyentuh bulatan dan tanda sebagai timur pula
  6. Buat satu garisan lurus yang menyambung kedua dua arah iaitu timur dan barat
  7. Kemudian, buatkan sudut 90 darjah untuk mendapatkan arah utara dan selatan pula
  8. Gunakan jangka sudut untuk mendapatkan arah azimut kiblat (290 darjah ~ 293 darjah)
Lintasan Harian Matahari

Setiap hari dalam edaran matahari dari langit timur ke langit barat, ia akan melintasi suatu garisan yang sepadan dengan arah kiblat. Dengan menghitung sudut waktu berlakunya perlintasan ini, maka arah kiblat boleh ditentukan dengan memerhatikan kedudukan bayang kayu yang tegak lurus pada waktu itu. Penunjuk waktu (jam) perlu tepat semasa menentukan arah kiblat dengan kaedah ini. Data lintasan matahari boleh diperolehi di pautan ini : http://www.falak.unisza.edu.my/calc/?name=sun

lintasan matahari

Buruj Bintang

Buruj merupakan kelompok bintang-bintang yang membentuk sesuatu gambaran di langit malam. Manusia zaman silam menamakan buruj mengikut bentuk-bentuk tertentu yang merujuk kepada mitos, lagenda dan juga haiwan. Antara buruj yang boleh dijadikan pedoman untuk berijtihad arah kiblat adalah buruj Al-Babadur (Orion) dan bintang Polaris. Pada buruj Al-Babadur, terdapat deretan tiga bintang iaitu Alnitak, Alnilam dan Mintaka apabila diunjurkan ke arah barat akan menunjukkan arah kiblat bagi penduduk di Malaysia dan negara yang serantau.

buruj bintang

buruj bintang

Kaedah berpandukan buruj Orion :

  1. Perkara pertama yang kita kena ambil tahu adalah rupa buruj orion tersebut
  2. Buruj ini terdiri daripada beberapa bintang yang kelihatan membentuk seperti seorang pemburu. Terdapat tujuh buah bintang utama di dalam buruj ini yang lebih terang berbanding bintang lain di sekitarnya.
  3. Empat daripadanya membentuk formasi seperti segiempat tepat. Bintang tersebut ialah Betelgeuse, Bellatrix, Rigel dan Saiph
  4. Manakala tiga lagi iaitu Mintaka, Alnilam dan Alnitak terletak sederet melintang di tengah-tengah formasi segiempat tepat itu tadi
  5. Mintaka, Alnilam dan Alnitak kadang kala dipanggil dengan gelaran “Bintang Tiga Beradik” atau “Orion Belt”
  6. Dengan menggunakan Orion Belt inilah kita boleh mencari arah kiblat
  7. Apabila Bintang Tiga Beradik yang berada di tengah-tengah Buruj Orion kelihatan berada TEGAK DI ATAS KEPALA, buat satu garisan mengunjur daripada bintang bernama Alnitak menuju ke bintang Mintaka (bukan dari Mintaka menuju Alnitak)
  8. Unjuran yang terhasil akan kelihatan menghala ke arah sekitar barat laut
  9. Arah yang ditunjukkan merupakan arah kiblat dari lokasi kita .

Buruj Orion mudah dilihat sekitar

  1. Julai : waktu Subuh
  2. Disember : tinggi di langit pada waktu tengah malam
  3. Mac : Berada tengak di atas kepala pada waktu Maghrib

buruj polaris

Kaedah berpandukan Bintang Polaris :

  1. Bintang Polaris merupakan bintang yang sentiasa kelihatan berada pada arah utara walau kita berada di mana-mana kawasan di bumi
  2. Polaris berada pada buruj Ursa Minor
  3. Di Malaysia, bintang ini agak sukar dilihat memandangkan ia agak rendah di ufuk utara. Bagi memudahkan pencarian, boleh gunakan buruj Ursa Major sebagai panduan mencari Polaris
  4. Jika sudah menemukan bintang Polaris, arah kiblat boleh ditentukan dengan membuat sudut sekitar 68 darjah ke arah kiri (untuk kawasan Malaysia).
Menggunakan Kedudukan Matahari Ketika Terbenam

Secara amnya merujuk kepada kedudukan matahari terbenam bagi tujuan menentukan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah terbenam matahari di Malaysia akan berubah-ubah dari azimut 235° hingga 295°. Namun begitu, ia boleh digunakan sebagai salah satu langkah tujuan berijtihad arah kiblat dalam keadaan darurat. Arah matahari terbenam boleh digunakan sekiranya diketahui perbezaan sudut di antara arah matahari terbenam dengan arah kiblat.

kaedah matahari terbenam

Anggaran arah Kiblat dari kedudukan matahari terbenam di Malaysia adalah seperti berikut :

  1. Januari – ke kanan 45 darjah
  2. Februari – ke kanan 40 darjah
  3. Mac – ke kanan 25 darjah
  4. April – ke kanan 15 darjah
  5. Mei – ke kanan 5 darjah
  6. Jun – ke kiri 1 darjah
  7. Julai – ke kanan 1 darjah
  8. Ogos – ke kanan 5 darjah
  9. September – ke kanan 15 darjah
  10. Oktober – ke kanan 30 darjah
  11. November – ke kanan 40 darjah
  12. Disember – ke kanan 45 darjah

prtunjuk sudut

Menggunakan Theodolite

Penggunaan peralatan ini memerlukan kemahiran yang tinggi. Alat ini digunakan untuk mengukur bacaan sudut ufuk dan menegak. Ia memberikan bacaan sudut pada tahap kejituan dan ketepatan yang tinggi. Terdapat pelbagai jenis theodolite moden yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Bagi tujuan penandaan arah kiblat, theodolite jenis digital adalah paling mudah digunakan.

theodolite

Menggunakan Kompas

Penandaan arah kiblat dengan menggunakan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam pada masa kini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah merujuk kepada arah utara magnet. Arah utara magnet bergantung kepada medan magnet bumi yang mana mungkin berubah-ubah dari masa ke semasa akibat perubahan geologi dan fizikal bumi. Justeru itu, arah utara magnet tidak semestinya sama dengan Arah Utara Benar.

kompasarah utara benar

Perbezaan sudut di antara Arah Utara Magnet dan Arah Utara Benar dikenali sebagai Sudut Pesongan Magnet. Magnitud sudut pesongan ini mungkin berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan dari hari ke hari pada suatu tempat yang sama.

sudut pesongan magnet

Berdasarkan tarikan medan magnet Bumi, didapati magnitud sudut pesongan magnet minimum di kawasan Khatulistiwa dan maksimum di kawasan kedua-dua kutub Bumi.

tarikan medan bumi

Perlu diingat, apabila menggunakan kompas ialah kesan tarikan tempatan. Ia adalah kesan daripada pengaruh bahan-bahan logam dan arus elektrik di persekitaran kompas ketika menggunakannya.

Kaedah Yang Digunakan Oleh Pihak JUPEM

Lazimnya pengukuran dan penandaan arah kiblat di lapangan dilakukan oleh pihak JUPEM dan pengesahannya dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri berkaitan.

kaedah jupem

 

Kesimpulannya, penandaan arah kiblat bagi tempat yang jauh seperti di Malaysia, ijtihad arah kiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak atau astronomi dengan menggunakan peralatan yang bersesuaian seperti kompas, theodolite / total station dan sebagainya. Arah kiblat juga boleh ditentukan berdasarkan kepada kedudukan matahari dan bintang. Kaedah-kaedah tersebut di atas digunapakai oleh umat Islam di seluruh dunia sehingga kini.

Walau bagaimanapun, kaedah berdasarkan perhitungan falak dan dibantu menggunakan peralatan teodolait / total station adalah lebih seragam. Maka kaedah ini digunapakai secara rasmi bagi penandaan arah kiblat di Malaysia.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Penentuan Arah Kiblat
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more