Cabaran memartabatkan Bahasa Melayu : Pena Hijau

Cabaran memartabatkan Bahasa Melayu

pulaubesarmelaka-032020
Bercuti ke Pulau – Pulau Besar, Melaka
25 Aug 2020
20201115-dr-fadzilah-kamsah
Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah – DMFK
14 Nov 2020
pulaubesarmelaka-032020
Bercuti ke Pulau – Pulau Besar, Melaka
25 Aug 2020
20201115-dr-fadzilah-kamsah
Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah – DMFK
14 Nov 2020
bahasa melayu
icon follow us

Cabaran memartabatkan Bahasa Melayu | Bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Negara sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Namun pelaksanaan dan pengajarannya tidaklah semudah yang dijangka. Perubahan demi perubahan yang berlaku turut membawa bersama isu dan cabaran terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pendidik.

Keadaan mungkin menjadi lebih mencabar bagi guru-guru yang mengajar bahasa Melayu di sekolah-sekolah dalam kawasan bandar, terutamanya banda-bandar besar. Bahasa Melayu seolah-olah dianggap sebagai bahasa yang rendah nilainya dalam kalangan murid dan juga ibu bapa sendiri. Malahan ramai yang berasa malu dan kekok untuk bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mereka merupakan penutur jati bahasa tersebut.

Terdapat juga murid-murid yang ‘terpaksa’ belajar bahasa Melayu kerana kehendak sistem pendidikan terutamanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mewajibkan calon-calonnya lulus dalam bahasa Melayu. Mungkin juga sekadar keperluan untuk mendapat biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke menara gading. Tidak ada langsung rasa cinta akan bahasa yang pernah menjadi bahasa lingua franca suatu ketika dahulu.

Masyarakat bandar kini yang semakin mementingkan bahasa Inggeris turut menyebabkan pengajaran bahasa Melayu semakin tercabar. Anak-anak ini telah dididik sedari kecil  oleh ibu bapa untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Sehubungan dengan itu bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa kedua dan tidak penting. Mereka lebih selesa untuk bertutur dengan rakan-rakan menggunakan bahasa Inggeris walaupun ketika pengajaran bahasa Melayu.

Isu pengajaran bahasa Melayu juga turut dikaitkan dengan kekurangan guru yang bukan pilihan bahasa Melayu. Pakar bahasa Melayu, Prof. Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berpendapat masih banyak guru yang tidak dapat  mengajar bahasa Melayu dengan baik. Sekiranya situasi ini berlarutan, maka usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sukar untuk dilaksanakan. Sebaliknya lahirlah masyarakat yang semakin meminggirkan bahasa ibunda sendiri.

Berdasarkan pengalaman di sekolah sendiri, keputusan peperiksaan SPM Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga agak ketara perbezaannya. 70% murid mendapat A+ dalam bahasa Inggeris, manakala hanya  lima peratus sahaja yang mendapat A+ dalam bahasa Melayu. Pelbagai pendekatan dan kaedah perlu dilaksanakan agar bahasa Melayu mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa Inggeris itu sendiri.

Diharapkan menerusi kurikulum baharu yang diperkenalkan, subjek bahasa Melayu akan dapat menarik minat murid kembali. Para pendidik perlulah berusaha memberikan pendekatan terbaik dalam pengajaran bahasa Melayu. Pihak kerajaan juga sewajarnya memastikan status bahasa Melayu mempunyai kedudukan dan masa depan yang cerah di negara sendiri.

Akta pendidikan 1996 turut menegaskan bahasa Melayu ialah bahasa utama dan mesti dipatuhi kerana telah ditetapkan oleh perlembagaan. Oleh itu, komitmen yang kental dan berterusan perlu direalisasikan agar bahasa Melayu benar-benar didaulatkan dan seterusnya dapat dimartabatkan dalam sistem pendidikan. Bukan hanya sekadar catatan dalam Perlembagaan Persekutuan. Hasrat murni ini pasti akan membuahkan kejayaan sekiranya mendapat kerjasama daripada warganegara Malaysia.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Cabaran memartabatkan Bahasa Melayu
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more