Wanita dalam menjaga kerjaya dan keutamaan hidup
1 Oct 2020Jangan Tergesa-gesa Dalam Berdoa
2 Oct 2020Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda, “Iman itu ada tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama adalah perkataan لاَ إِلَهَ إِلا اللَّهُ (Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan-ganguan yang menyakitkan di jalanan. Sifat malu adalah sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat al-Bukhari, 9; dan Muslim, 35)
Sebagai umat Islam, adalah penting untuk kita sentiasa memelihara kesopanan perwatakan dan tingkah laku. Walaupun terdapat banyak perbincangan yang berfokus kepada etika berpakaian apabila topik kesopanan menjadi perbualan, namun sangat penting untuk difahami bahawa konsep kesopanan dalam Islam tidak terbatas pada pakaian sahaja. Kesopanan dalam Islam juga merangkumi aspek keperibadian seperti watak, tingkah laku, pertuturan dan pelbagai aspek penting lain.
Kita hendaklah memiliki sifat sopan dalam perwatakan dan memikirkan perbuatan kita sendiri bukan membuat penilaian dengan membandingkan perbuatan kita dengan orang lain. Memang mudah untuk terperangkap dengan mentaliti suka menilai orang lain, walau bagaimanapun ia bukan sahaja mempamerkan sikap buruk kita, malah ia membawa kita jauh daripada sifat kesopanan.
Berusaha untuk menjaga kesopanan juga membantu kita untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Jika kita menyedari hakikat bahawa Allah sentiasa memerhatikan hamba-Nya, maka kita akan lebih berhati-hati dengan setiap tindakan dan tingkah laku kita.
Kesopanan juga berkaitan dengan sifat merendah diri. Sebagai contoh, apabila kita mendapat pujian daripada seseorang, kita tidak boleh membiarkan pujian itu mempengaruhi kita untuk menjadi sombong. Kita perlu bersikap sederhana dan merendah diri, menginsafi bahawa setiap kebaikan yang mendapat pujian daripada orang lain, semuanya berlaku dengan izin dan kehendak daripada Allah SWT. Ini adalah perkara-perkara yang telah ditentukan oleh Allah untuk kita miliki.
Bahagian penting dalam aspek kesopanan adalah sifat malu. Ia boleh jadi kelakuan kita dengan orang lain dan cara kita bercakap. Kita harus bertutur dengan penuh hormat dan mendorong kesopanan dalam diri. Elakkan penyalahgunaan lisan, menggunakan kata-kata kesat dan bercakap secara agresif.
Penghindaran ini mendorong meningkatkan keperibadian kita di samping berusaha menambah baik sifat kesopanan dalam diri. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai bergusti, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah.” (HR Bukhari, 5649)
Kesopanan bukan sahaja tentang komunikasi dan tingkah laku terhadap orang lain, ia adalah kepatuhan kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah menguasai segala sesuatu dan kita hendaklah meletakkan pengharapan dan pergantungan kepada-Nya. Setiap kejayaan, kedamaian, atau kepuasan kita adalah kurniaan Allah.
Justeru, kita hendaklah berfikir tentang tindakan dan kelakuan walaupun bukan berada di hadapan orang ramai. Kesopanan mentaati Allah SWT bermaksud kita berusaha menghindari dosa kerana kita sedar kewujudan Allah. Kita menghindari diri daripada melakukan perbuatan berdosa sama ada semasa di hadapan orang ramai ataupun tidak, kerana kita percaya Allah tetap ada bersama-sama kita.
Untuk membantu meningkatkan tahap kesopanan dalam diri, kita juga boleh berdoa kepada Allah SWT. Kita meminta pertolongan kepada Allah dengan tulus dalam doa kita agar mengurniakan kita dengan sifat kesopanan, kerana ia adalah sifat yang penting dalam Islam. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap usaha yang kita lakukan dalam melakukan kebaikan.
Sumber : Salam Web Today