Kepentingan Integriti Dalam Kehidupan : Pena Hijau

Kepentingan Integriti Dalam Kehidupan

ANE 20221222 musibah
Musibah : Senyum Dalam Sengsara, Tenang Dalam Derita
22 Dec 2022
ANE 20230104 life begins at 40
Kehidupan Bermula Pada Usia 40 Tahun?
4 Jan 2023
ANE 20220818 keseimbangan

Integriti adalah sebahagian daripada nilai-nilai penting dan berperanan besar dalam membentuk tingkah laku dan sahsiah manusia untuk menjadi lebih sempurna. Seseorang yang berintegriti bermaksud dia memiliki sifat-sifat yang jujur, amanah, serta menunjukkan kepatuhan yang tinggi kepada nilai serta akhlak terpuji dalam urusan kehidupan dan pekerjaan. Nilai integriti bukan sahaja mengubah cara hidup dalam kalangan anggota masyarakat, bahkan akan membantu sesebuah negara dalam mencapai matlamat serta kejayaan yang telah dirangka agar Malaysia dikenali kerana integriti pemimpin dan rakyatnya.

Satu contoh yang perlu diikuti bersama ialah iktibar daripada insan pilihan yang sangat kita kasihi, iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda telah memaparkan dirinya sebagai contoh ikutan yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, yang bererti ‘yang sangat dipercayai’ dalam kalangan masyarakat Baginda. Empat nilai atau sifat terpuji Rasulullah SAW yang mendokong maksud serta menjadi teras kepada nilai integriti iaitu Sidiq (berkata benar), Amanah (dipercayai), Tabligh (menyampaikan), Fatanah (bijaksana).

Nilai integriti juga adalah pelengkap dalam membentuk keluarga yang bahagia dan harmoni. Malah, integriti yang berlandaskan nilai-nilai Islam yang berpaksikan kepada kekuatan rohani dan akidah tauhid adalah penyelesaian terbaik kepada kemelut salah laku dalam diri individu, hidup berkeluarga, organisasi mahupun negara.

Terdapat banyak contoh teladan dari sudut kejujuran yang dapat kita ambil dari perjalanan hidup para Rasul terdahulu. Antaranya firman Allah SWT yang mengisahkan kejujuran dan sifat amanah Nabi Musa AS seperti yang disebutkan dalam surah Al- Qasas ayat 26 :

قَالَتْ إِحْدَىٰهُمَا يَـٰٓأَبَتِ ٱسْتَـْٔجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ ٢٦

“Salah seorang dari keduanya berkata: Wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat, lagi amanah.”

Ayat ini membawa maksud yang sungguh mendalam. Ia bukan sahaja membuktikan kekuatan dan amanah Nabi Musa AS., tetapi juga menonjolkan sikap kepimpinan Baginda Nabi Musa AS. dalam melaksanakan tugasan dengan penuh kesempurnaan dan integriti yang tinggi.

Manusia yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan seperti mengamalkan amalan rasuah dan mengakibatkan kepincangan dalam kehidupannya. Rasuah bukan sahaja khianat kepada amanah yang telah dipertanggungjawabkan malah menzalimi hak orang lain disekelilingnya.

Allah SWT menegaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 188 :

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨

“Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Manakala dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

(Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Berdasarkan beberapa contoh yang ditonjolkan dalam al-Quran dan juga dari sirah Rasulullah SAW, maka sifat jujur dan amanah perlu ditanam kukuh menjadi satu sikap yang sebati dalam diri kita. Bila disebut masyarakat Islam, sepatutnya terserlah bukan sahaja kelembutan budi bahasa, tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan keikhlasan serta boleh diyakini dan dipercayai oleh masyarakat lain termasuk dari golongan yang bukan Islam.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan pengamalan serta pembudayaan nilai-nilai integriti dalam diri kita. Jauhilah segala perkara yang boleh menjatuhkan nilai ketamadunan sesebuah masyarakat yang sekian lama terbina.

إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًۭا جَهُولًۭا ٧٢

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil”

(Surah Al-Ahzab ayat 72)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Comments are closed.