Kelebihan Zulhijjah Dan Keistimewaan Arafah
22 Jun 2023Ghurur – Tipu Daya Yang Mesti Dihindari
6 Jul 2023Hakikat Hamba Dalam Ibadat Qurban | Qurban merupakan satu bentuk ibadat yang amat besar pengertiannya kepada seorang hamba. Ia merupakan tanda benarnya iman dan penyerahan diri kepada Allah, tuhan yang Maha Agung. Ibadat qurban memerlukan seseorang menzahirkan sifat kehambaannya yang penuh terhadap perintah Allah subhanahu wa ta’ala.
Seperti yang kita maklum, pensyariatan ibadat qurban berkait rapat dengan peristiwa ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihimas salam. Bayangkan betapa cekalnya hati Nabi Ibrahim ketika menerima wahyu untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail ‘alaihis salam tanpa sedikit pun teragak-agak dalam melaksanakan perintah Allah.
Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah As-Saffat ayat 103-107 :
فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ ١٠٣ وَنَـٰدَيْنَـٰهُ أَن يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ ١٠٤ قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ١٠٥ إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلَـٰٓؤُا۟ ٱلْمُبِينُ ١٠٦ وَفَدَيْنَـٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍۢ ١٠٧
“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;”
Hakikatnya Allah subhanahu wa ta’ala tidak berharap kepada sembelihan itu sedikit pun, namun dia ingin menguji dan menjadikan seseorang itu hamba Allah yang benar-benar yakin kepada-Nya.
Setiap kesenangan atau musibah yang menimpa hendaklah diterima dengan hati yang tunduk kepada ketentuan Allah yang penuh hikmah. Inilah ciri orang mukmin yang dijanjikan Allah mendapat kebaikan sama ada ketika kesenangan atau pun musibah. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam yang mafhumnya :
“Sangat hebat sifat orang beriman, semua keadaanya adalah baik baginya, dan ini tidak didapati pada selain orang beriman. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur dan syukur itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar dan sabar itu baik baginya”
(Hadis Riwayat Muslim)
Bersempena ‘Idil Adha ini, beberapa perkara yang perlu diingatkan berkaitan adab dan sunat pada hari kebesaran ini. Antaranya :
Pertama : Pastikan ibadat qurban dilakukan dengan sempurna syaratnya agar ia menjadi sah sebagai qurban. Antaranya ialah menyedekahkan sebahagian daripada daging qurban kepada fakir miskin. Begitu juga setiap bahagian qurban hendaklah diniatkan di atas satu penama sahaja, tidak boleh bergabung niat pada satu bahagian.
Kedua : Tidak boleh menjadikan bahagian qurban sebagai upah kepada penyembelih, bahkan hendaklah diberikan upah yang berasingan.
Ketiga : Qurban yang dinazarkan tidak boleh dimakan sedikit pun oleh orang yang bernazar dan ahli keluarganya yang di bawah tanggungannya.
Keempat : Sunat untuk bertakbir selepas setiap solat, sama ada solat fardhu atau sunat bermula daripada Subuh hari 9 Zul Hijjah sehingga Asar hari 13 Zul Hijjah.
Sebagai kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengambil peluang untuk menghidupkan syiar berqurban. Bertakbir ketika menyembelih haiwan qurban dan sama-sama bergotong-royong menghidupkan semangat persaudaraan Islam. Jadikan hari yang mulia ini sebagai asbab kepada kesatuan umat yang dapat menjamin kesejahteraan dan kedaulatan agama Islam di bumi yang bertuah ini. Akhir sekali, hayatilah surah Al-Hajj ayat 37 :
لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ ٣٧
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”