Kelebihan Zulhijjah Dan Keistimewaan Arafah : Pena Hijau

Kelebihan Zulhijjah Dan Keistimewaan Arafah

tazkirah ramadhan masjid muhammad ahmadi
Adab Mengimarahkan Rumah Allah
15 Jun 2023
ANE 20230628 Hamba Dalam Ibadat Qurban
Hakikat Hamba Dalam Ibadat Qurban
28 Jun 2023
tazkirah ramadhan masjid muhammad ahmadi
Adab Mengimarahkan Rumah Allah
15 Jun 2023
ANE 20230628 Hamba Dalam Ibadat Qurban
Hakikat Hamba Dalam Ibadat Qurban
28 Jun 2023
ANE 20230622 zulhijjah arafah haji kaabah
icon follow us

Kelebihan Zulhijjah Dan Keistimewaan Arafah | Bulan Zulhijjah merupakan antara bulan yang penting dalam kalendar Islam selain daripada bulan Ramadhan. Ramadhan dikenali dengan kelebihan sepuluh malam terakhirnya, manakala Zulhijjah pula dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada sepuluh hari awalnya. Kelebihan Zulhijjah ada dinyatakan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam Surah al-Fajr ayat 1-2 :

وَٱلْفَجْرِ ١ وَلَيَالٍ عَشْرٍۢ ٢

“Demi waktu fajar, Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)”

Menurut Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan lain lain, malam yang sepuluh dalam ayat ini merujuk kepada sepuluh awal bulan Zulhijjah. Kelebihan dan fadhilat bulan Zulhijjah dijelaskan dalam hadis Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud :

“Tiada hari-hari yang amalan soleh, paling disukai oleh Allah untuk dilakukan padanya melainkan pada hari-hari ini (Baginda maksudkan 10 hari terawal Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda : “walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, kecuali seseorang yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali semula (mati syahid)”

(Riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi dan lain-lain)

Bulan Zulhijah mempunyai banyak kelebihan kerana pada bulan ini berlakunya ibadat haji, hari raya Aidiladha, hari-hari untuk melaksanakan ibadat korban dan keutamaan berpuasa bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Peristiwa agung Nabi Allah Ibrahim diperintah untuk mengorbankan Nabi Ismail ‘alaihis salam telah dijadikan contoh agar umat Islam melaksanakan ibadah korban pada bulan Zulhijjah. Peristiwa ini merupakan ujian besar Allah bagi menguji keimanan keluarga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam dan kita semua terhadap ketaatan melaksanakan titah perintah Allah subhanahu wa ta’ala.

Bulan Zulhijjah juga mempunyai keistimewaan apabila Allah subhanahu wa ta’ala mengurniakan hari Arafah sebagai hari penting dalam ibadat haji. Sempurnanya ibadat haji apabila jemaah haji dapat menunaikan wukuf di padang Arafah walaupun seketika. Hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijjah ini merupakan perhimpunan agung umat Islam bagi mengharapkan keampunan Allah subhanahu wa ta’ala. Setiap detik waktu wukuf dipenuhi dengan zikir, doa dan munajat agar Allah mengurniakan haji yang mabrur.

Di antara kelebihan hari Arafah sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam:

Pertama : Hari Arafah merupakan pengisytiharan sempurnanya syariat Islam dengan turunnya ayat ketiga daripada surah al-Maidah. Firman Allah SWT :

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا ۚ

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agamamu”

Kedua : Ibadat wukuf yang merupakan rukun terbesar dalam ibadat haji berlaku pada hari Arafah ini. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam bersabda :

الَْجُّ عَرَفَة

“Rukun utama ibadah haji adalah wukuf di padang Arafah”

(Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Seluruh jemaah haji akan berhimpun di padang Arafah pada masa, tempat dan pakaian ihram yang sama untuk berzikir mensucikan Allah, memuji dan membesarkan Allah. Masa yang terhad itu juga digunakan sebaik mungkin untuk memohon keampunan dan memperbanyakkan doa kepada Allah.

Ketiga : Antara kelebihannya juga, mendapat ganjaran keampunan Allah bagi mereka yang berpuasa pada 9 Zulhijjah. Anjuran ini bagi mereka yang tidak menuaikan ibadat haji. Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam bersabda yang bermaksud :

“Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun selepasnya”

(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, sama-samalah kita menghayati dan mengambil peluang mendapatkan kelebihan dan keistimewaan bulan Zulhijjah dan hari Arafah yang dikurniakan kepada kita, dengan membanyakkan amal soleh khasnya berpuasa pada hari Arafah.

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًۭا فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌۭ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ كَآفَّةًۭ كَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمْ كَآفَّةًۭ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ ٣٦

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Demikianlah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya dirimu dalam bulan-bulan itu; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertakwa”

(Surah al-Taubah: 36)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Kelebihan Zulhijjah Dan Keistimewaan Arafah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more