Tuntutan Menepati Janji : Pena Hijau

Tuntutan Menepati Janji

20240530 ibadat haji kaabah rukun islam
Ibadat Haji Kewajipan Dalam Islam
30 May 2024
20240604 perantau tinggalkan tempat kampung
Untaian Kata Hikmah – Tinggalkan Tempat Asalmu
7 Jun 2024
20240530 ibadat haji kaabah rukun islam
Ibadat Haji Kewajipan Dalam Islam
30 May 2024
20240604 perantau tinggalkan tempat kampung
Untaian Kata Hikmah – Tinggalkan Tempat Asalmu
7 Jun 2024
20240531 janji amanah
icon follow us

Tuntutan Menepati Janji | Antara akhlak terpuji yang menandakan ciri keimanan diri seseorang Muslim adalah sifat amanah dan menepati janji. Kerana itu, tidak menepati janji dan pecah amanah pula merupakan tanda merosotnya keimanan seseorang dan jauh dirinya dari Allah subhanahu wa ta’ala.

Islam mengingatkan kita supaya mana-mana janji yang dibuat hendaklah ianya ditepati dan disempurnakan sebagaimana perjanjian tersebut dimeterai kerana ia adalah tanda golongan yang bertaqwa kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Al-Isra ayat 34 :

وَأَوْفُوا۟ بِٱلْعَهْدِ ۖ إِنَّ ٱلْعَهْدَ كَانَ مَسْـُٔولًۭا

“Dan sempurnakanlah perjanjian dengan Allah dan dengan manusia, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya”

Perjanjian adalah suatu amanah yang wajib dilaksanakan dan ia tidak boleh dipandang ringan atau tidak dipedulikan. Ini kerana perbuatan tidak menepati janji atau meringan-ringankanya adalah dibenci dan dimurkai oleh Allah subhanahu wa ta’ala, malah pelakunya tergolong bersama orang munafiqin.

Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, iaitu apabila dia bercakap, dia berbohong dan apabila berjanji, dia mungkir dan apabila diamanahkan, dia khianat”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perlu diinsafi bahawa sifat-sifat golongan munafiqin itu adalah perangai yang sangat keji dan balasannya pula amat berat di akhirat kelak. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah An-Nisa’ ayat 145 :

إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ فِى ٱلدَّرْكِ ٱلْأَسْفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا ١٤٥

“Sesungguhnya orang-orang yang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali daripada lapisan-lapisan dalam neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka”

Oleh kerana perjanjian itu adalah suatu amanah yang besar dan memungkirinya pula merupakan suatu dosa dan ciri orang munafiqin,
Syariat Islam telah mengariskan beberapa adab dan kaedah yang sewajarnya dijadikan panduan apabila ingin memeterai sesuatu perjanjian.

  1. Janji yang dimeterai adalah menurut kehendak Syariat
  2. Menyakini janji yang dibuat itu dapat ditunaikan dengan sempurna
  3. Janji yang dibuat bukanlah untuk mengkhianati seseorang
  4. Melafazkan kalimah insyaallah apabila membuat sebarang janji

Allah subhanahu wa ta’ala telah menjelaskan bahawa semua perkara yang bakal berlaku adalah menurut kehendak dan keputusan-Nya. Kerana itu setiap manusia hendaklah berharap kepada Allah subhanahu wa ta’ala di dalam memudah dan menyempurnakan urusan mereka dan diarahkan supaya dijadikan pergantungan harapan mereka kepada Allah subhanahu wa ta’ala yang Maha Mengetahui.

FirmanNya dalam surah Al-Kahfi ayat 23 dan 24 :

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟ىْءٍ إِنِّى فَاعِلٌۭ ذَٰلِكَ غَدًا ٢٣ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَٱذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰٓ أَن يَهْدِيَنِ رَبِّى لِأَقْرَبَ مِنْ هَـٰذَا رَشَدًۭا ٢٤

“Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata insyaallah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhan mu jika engkau lupa dan katakanlah : Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”

Namun realiti yang berlaku pada hari ini, perkataan “insyaAllah” yang mulia itu telah disalah gunakan bagi tidak memenuhi janji oleh sebahagian kita. Sebenarnya lafaz “insyaAllah” bertujuan menyatakan azam dan kesungguhan dalam menunaikan janji sebaik yang mungkin, bukanlah untuk dijadikan alasan.

Ibu bapa adalah contoh terbaik kepada anak-anak. Akhlak mereka banyak mempengaruhi watak anak-anak. Sebagaimana yang biasa berlaku di dalam masyarakat kita, ada antara ibubapa yang berjanji kepada anak-anak tetapi tidak menunaikannya dengan baik. Perbuatan sedemikian itu menjadikan anak-anak menganggap bahawa janji itu biasanya tinggal janji sahaja dan tidak mempunyai apa-apa pengertiannya.

Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku kerana ibubapa merupakan model dan pencorak keperibadian anak-anak. Janganlah sampai anak-anak hilang kepercayaan kepada ibubapa mereka sendiri kerana tanggapan masyarakat : “orang yang mungkir janji itu tidak lagi akan dipercayai oleh orang lain”.

Justeru, ingatlah sahabat-sahabat sekalian, Islam sangat mengambil berat mengenai janji. Oleh itu berhati-hatilah sebelum berjanji dan jadikanlah perkataan InsyaAllah itu sebagai azam yang kuat ke arah menyempurnakan dan menunaikan janji yang dijanjikan. Jadikanlah diri kita orang-orang yang bertakwa dan penuh amanah, bukannya orang yang memungkiri janji yang tergolong dalam kalangan orang munafiqin.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Tuntutan Menepati Janji
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more