Pengisian Ibadah Di Bulan Muharram
19 Jul 2024Kewajipan Mencari Yang Halal
16 Aug 2024Kewajipan Nafkah Kepada Ahli Keluarga | Islam menetapkan bahawa suami diamanahkan sebagai seorang ketua dan pemimpin kepada sesebuah keluarga. Dia bertanggungjawab menjaga dan memelihara maruah serta kelangsungan hidup keluarganya dengan memberikan perbelanjaan (nafkah) yang mencukupi kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya.
Firman Allah taala dalam surah An-Nisa’ ayat 34 :
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ
Maksudnya : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”
Pemberian nafkah seorang suami kepada isteri dan anak-anaknya merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan, pendidikan dan seumpamanya mengikut kemampuan suami dan adat kehidupan sesebuah masyarakat.
Keengganan melaksanakan kewajipan memberi nafkah terhadap isteri dan keluarga adalah suatu kesalahan dan perbuatan dosa yang bakal menyebabkan seseorang suami boleh dikenakan tindakan di sisi undang-undang dan balasan buruk di Akhirat kelak.
Baginda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud :
“Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawab ke atas sesiapa yang berada di bawah tanggungannya”
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan lainnya)
Amat mendukacitakan apabila kedapatan sebahagian para suami – dewasa ini – yang secara sengaja mengabaikan kewajipan memberikan nafkah kepada isterinya dan cuai dalam perbelanjaan anak-anak yang masih belum mencapai umur dewasa.
Banyak faktor yang menyumbang kepada pengabaian nafkah terhadap isteri dan anak-anak, antaranya disebabkan suami tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Perlu juga diingatkan bahawa suami masih wajib memberikan nafkah kepada isteri yang masih dalam eddah talak rajie atau mengandung. Manakala nafkah seorang bapa kepada anak-anaknya, setelah berlaku sesuatu perceraian dengan isterinya, adalah berterusan sehingga usia lapan belas tahun, atau boleh dilanjutkan lagi atas perintah mahkamah.
Ingatlah bahawa para suami bakal diperhitung setiap amalan mereka di Akhirat kelak dan akan dibalasi tindak tanduk kita mengikut pelaksanaan tanggungjawab terhadap keluarga kita.
Seorang suami yang beriman tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anaknya. Apatah lagi mencuaikan kewajipannya dalam membimbing ahli keluarganya ke arah kehidupan yang dipenuhi dengan keimanan, selesa dan sejahtera.
Ikutilah Baginda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang telah menunjukkan contoh terbaik kepada umat Islam dalam menjaga, memelihara dan melayani isteri-isterinya serta membantu mereka dalam pengurusan rumahtangga.
Sabda Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Sebaik-baik kamu adalah yang melakukan kebaikan terhadap keluarganya dan saya adalah yang terbaik daripada kalangan kamu dalam melakukan kebaikan terhadap keluarga saya”
(Hadis riwayat at-Tarmizi)
Dalam menunaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya, seorang suami atau bapa dilarang sama sekali untuk bertindak kasar terhadap keluarganya seperti menampar, memukul, menyepak, mendera dan sebagainya.
Penderaan fizikal atau mental isteri dan anak-anak perlulah dijauhi kerana ia merupakan suatu kesalahan di sisi undang-undang dan juga perbuatan dosa yang akan dihisab di Akhirat.
Kehidupan berkeluarga terbina atas dasar kasih sayang dan rahmat. Tidaklah menjadi suatu kesalahan, sekiranya isteri membantu suami dalam urusan rumahtangga bagi mengurangkan beban tanggungan nafkah. Justeru, kesedaran dan kesefahaman antara pasangan hidup amat perlu dalam mengatur kehidupan yang sejahtera melalui perbelanjaan yang berhemat tanpa boros dan menjauhi sifat bakhil.
Sebagai kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menghayati intipati daripada artikel ini :
- Memberi nafkah merupakan antara tanggungjawab utama seorang suami kepada isteri dan anak-anaknya.
- Seorang suami yang beriman akan menjaga kebajikan isteri dan anak-anaknya dengan penuh rasa tanggungjawab.
- Mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak adalah berdosa dan akan dipersoalkan di hari Akhirat kelak.