Tuntutan Mencintai Negara
23 Aug 2024Akhlak Nabi SAW Pedoman Ummah | Di antara perintah Allah subhanahu wa ta’ala kepada kita adalah perintahNya agar kita mengikuti Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam yang telah dijadikan sebagai contoh teladan ikutan terbaik bagi umat manusia.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Al- Ahzab, Ayat 21 :
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ٢١
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam adalah seorang hamba Allah yang amat bersyukur dan sentiasa beristighfar kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Diriwayatkan oleh al Bukhari bahawa Saidatina Aisyah rodhiallahu ‘anha ketika melihat kedua kaki Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam membengkak kerana lama berqiyamul lail, beliau bertanyakan : “Kenapa Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam melakukan sedemikian sedangkan Allah subhanahu wa ta’ala telah mengurniakan pengampunannya kepada Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam?” Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang banyak bersyukur”
Sebagai seorang pemimpin ummat, Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam memberikan kecaknaan yang terbaik kepada masyarakat sezamannya. Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam sering kali keluar dan mendekati setiap peringkat masyarakat, termasuklah golongan wanita yang kematian suami, anak-anak yatim dan golongan miskin. Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam memenuhi jemputan, panggilan dan memenuhkan hajat keperluan mereka dengan seberapa mampu.
Bahkan, sifat perihatin Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam juga menjangkau kepada umatnya yang belum lagi hidup di zamannya. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Aku amat berkeinginan jika dapat melihat saudara-saudaraku!”. Para Sahabatnya bertanya : “Bukankah kami ini saudaramu?” Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Kamu adalah sahabatku, tapi saudaraku adalah mereka yang belum hidup lagi di zaman ini dan aku mendahului menunggu mereka di kolamku”.
(Hadis riwayat al- Nasaie)
Pergaulan dalam kehidupan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam pula tidak dibataskan kepada golongan dewasa sahaja, bahkan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam sering kali juga mendatangi dan mengucapkan salam kepada kumpulan belia dan kanak-kanak serta bergurau dengan mereka. Kata-kata dan gurauan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam adalah sentiasa benar dan menepati kehendak agama.
Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam juga adalah seorang yang amat berani, sangat lembut pekertinya, tidak mengeluarkan kata-kata yang kasar dan tidak tergesa-gesa. Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam sentiasa memaafkan sebarang kesalahan para Sahabatnya, mendoakan mereka dan berinteraksi dengan pihak yang tidak beriman dengan penuh hikmah.
Ini adalah kerana Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam diberikan kurniaan budi pekerti yang amat tinggi lagi terpuji. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al- Qalam, ayat 4 :
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍۢ ٤
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia”
Betapa tinggi serta mulianya akhlak Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, justeru Baginda adalah penghulu segala para Nabi. Firman Allah dalam surah al- Ahzab, ayat 40 :
مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٍۢ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَـٰكِن رَّسُولَ ٱللَّهِ وَخَاتَمَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًۭا ٤٠
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
Apabila Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam diberikan pilihan antara dua perkara, Baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah diamalkan oleh umatnya, selama mana ia membawa kebaikan dan pahala, serta tidak memberi kemudharatan.
Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam amat terkenal dengan sikap dermawan dan kemurahan peribadinya. Kedermawanan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam mengatasi tiupan angin yang berhembus. Hatta Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam pernah memberikan permintaan seorang yang menuntutnya meskipun ia suatu yang amat besar.
Seorang Badawi mendatangi Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam meminta sejumlah besar bilangan kambing bagi menjinakkan dirinya terhadap Islam. Setelah diperkenan permintaannya, beliau mengucapkan : “Wahai kaumku, masuklah kalian ke dalam agama Islam, kerana Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam memberikan sesuatu pemberian sebagaimana pemberian orang yang tidak takutkan kemiskinan”
[Hadis riwayat Muslim]
Banyak lagi akhlak mulia Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang perlu ditelusuri melalui sirah Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam serta boleh ditauladani. Sebagai pedoman, marilah kita memberikan perhatian kepada perkara berikut :
- Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam adalah ajaran yang paling mulia, indah, lengkap dan memberikan keadilan kepada semua pihak.
- Kewajipan umat setelah mengenal dan mencontohi Nabinya Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam, mereka bertanggungjawab memperkenalkan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam kepada masyarakat sekeliling yang bukan Islam.
- Jadikan Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam sebagai qudwah hasanah, suri teladan dan mengikuti sunnah Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam setiap sudut kehidupan.