Bertabayyun Bagi Mengelakkan Penipuan
31 Oct 2024Wakaf Sebagai Amalan Jariah
21 Nov 2024Muallaf Adalah Saudara Kita | Islam menganjurkan umatnya agar memberikan perhatian yang sewajarnya kepada beberapa golongan masyarakat; antaranya kumpulan muallaf atau disebut juga sebagai “Saudara Kita” yang sanggup meninggalkan agama asal mereka dan memilih Islam untuk dijadikan cara hidup beragama.
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam telah memberikan perhatian serius kepada golongan muallaf ini. Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam telah berusaha mendidik para sahabat yang baru memeluk Islam mengikut acuan Syarak. Kegigihan Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam membimbing golongan ini telah memberikan kekuatan iman kepada mereka untuk terus kekal dalam agama fitrah ini dan akhirnya menyumbang kepada penyebaran Islam ke seluruh pelusuk alam ini.
Panggilan Muallaf kepada saudara baru kita adalah disebabkan agama Islam yang baru dikenali dan dianuti mereka perlu dipupuk dan dijinakkan dengan baik agar hati mereka teguh meyakini bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah Tuhan yang sebenar dan Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam pesuruh Allah yang terakhir.
Justeru, mereka antara golongan yang layak diberikan zakat dan menerimanya berdasarkan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah at-Taubah ayat 60 :
۞ إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ٦٠
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
Pemberian zakat kepada “Saudara Kita” bertujuan memotivasi dan memantapkan lagi keislaman mereka agar terus istiqamah dan mengamalkan cara hidup Islam.
Tanggungjawab membantu dan menyantuni para muallaf sewajarnya dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat Islam sama ada sebagai seorang individu, badan NGO, masjid, surau, rakan sekerja, pasangan hidup, ahli keluarga dan pemimpin masyarakat.
Bukanlah ia menjadi hak mutlak Majlis Agama atau agensi agama negeri sahaja. Walaupun demikian, peranan besar yang telah dilaksanakan oleh pihak Majlis Agama dalam menguruskan hal ehwal golongan “Saudara Kita” dan menyantuni kehidupan mereka amatlah dihargai.
Namun, perasaan kasih, bertimbang rasa, berbaik sangka dan perihatin terhadap “Saudara Kita” juga menjadi kewajipan masyarakat Islam agar mereka tidak berasa tersisih dan dipinggirkan daripada masyarakat Islam setempat.
Sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud :
“Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, tidak boleh dizalimi, mahupun diserahkan kepada musuhnya. Sesiapa yang menguruskan keperluan saudaranya, Allah akan menguruskan keperluannya. Sesiapa yang melepaskan kesukaran daripada seorang muslim, Allah akan melepaskan kesukarannya di hari Kiamat kelak. Sesiapa yang menutup aib seseorang muslim, Allah akan menutup aibnya pada hari Kiamat nanti”
(Hadis Riwayat Muslim)
Kehidupan “Saudara Kita” setelah menerima agama Islam, biasanya akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, seperti dibuang keluarga, hilang pekerjaan, dihalang hak pewarisan keluarga, dinafikan tempat tinggal, menghadapi kejutan budaya dan kewangan harian yang sedikit dan sebagainya.
Kesemua cabaran ini akan dapat dibantu dan dikurangkan tekanannya apabila masyarakat Islam setempat terus memberikan dokongan dan pertolongan dalam meringankan beban yang mereka tanggung.
Sekiranya setiap individu muslim berlepas diri daripada kewajipannya terhadap “Saudara Kita”, akan menyebabkan mereka semakin jauh atau keluar daripada Islam yang telah dipilihnya.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al- Maidah ayat 2 :
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”
Di atas semangat persaudaraan sesama muslim, keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, marilah kita bersama-sama mengambil cakna dan menyantuni saudara baru kita melalui pelbagai pendekatan yang terbaik, antaranya:
- Mendekati semua “Saudara Kita” serta memberi sokongan dan semangat kepada mereka untuk menjadi seorang muslim atau muslimah yang sebenar.
- Membimbing mereka untuk memahami Islam secara menyeluruh dengan menunjukkan cara hidup Islam yang terbaik.
- Menunjukkan akhlak Islam supaya hati mereka terus tertarik dengan keindahan Islam.
- Menerima mereka seadanya dengan membuang sikap prejudis terhadap mereka.
- Meraikan dan membimbing mereka agar mengamalkan budaya hidup yang bertepatan dengan Islam.
- Menggunakan perkataan dan percakapan yang lembut lagi beradab dalam pertuturan dan bergaul dengan mereka.