
Zakat Membersihkan Dosa Dan Menyucikan Jiwa
4 Dec 2025
Menjadi Hamba Allah Yang Sejati
2 Jan 2026
Apabila kalendar mula menghampiri penghujung bulan Disember, hati kita seakan terpanggil untuk merenung sejenak serta melihat kembali perjalanan sepanjang tahun 2025. Ianya mengingatkan kita bahawa hidup tidak sentiasa indah, adakala manis dan adakala pahit, namun setiap kepahitan itu pasti ada hikmah yang mengajar kita erti ketabahan dan kebergantungan kepada Allah. Sesungguhnya setiap detik yang telah berlalu, menjadi saksi sama ada kita berbuat sesuatu perkara dalam ketaatan ataupun kelalaian.
Tahun 2025, sebahagian daripada kita mungkin ada yang meraikan pencapaian besar dengan kejayaan dalam kerjaya, kejayaan dalam bidang akademik, perniagaan berkembang maju dan pelbagai kejayaan lain. Namun ada juga yang diuji dengan kegagalan, impian yang tidak kesampaian, kerjaya yang merudum, ataupun hajat yang terhenti di tengah jalan.
Walau apa pun bentuk perjalanan itu, hujung tahun mengajar kita untuk muhasabah diri dengan lebih jujur. Ia menuntut kita untuk bangun dan bangkit. Bangkit bukan sekadar berdiri selepas jatuh. Bangkit ialah keberanian mengakui kelemahan, menerima kesilapan, dan melangkah ke depan dengan tekad yang lebih kuat. Orang yang bangkit tidak semestinya memiliki jalan yang mudah, mereka mungkin jatuh berkali-kali. Namun setiap kali jatuh, akan menjadi batu loncatan untuk melangkah lebih jauh kerana mereka memahami firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Insyirah ayat 6 :
إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًۭا ٦
“(Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan”
Seorang Muslim yang memilih untuk berjaya akan memandang setiap kegagalan bukan sebagai pengakhiran, tetapi sebagai satu bentuk ujian dan pengalaman hidup yang diberikan Allah untuk menguji kesabaran dan keimanan. Ini kerana, kegagalan bukan untuk disesali secara berpanjangan, tetapi dijadikan titik permulaan untuk memperbaiki diri, bersabar dan kembali kepada Allah, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat 156 :
ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ ١٥٦
“Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali”
Sepanjang tahun 2025, laporan akhbar sering memaparkan pelbagai kejadian yang menggusarkan hati, terutama berkaitan perlakuan maksiat, keruntuhan akhlak serta kejadian jenayah dalam kalangan masyarakat. Insiden seperti pembunuhan, rogol, kecurian, rompakan, LGBT, penyalahgunaan dadah, gejala sosial dan pelbagai lagi tingkah laku menyimpang bukan sahaja memalukan, malah mencerminkan realiti pahit tentang keadaan rohani sebahagian masyarakat kita.
Kerosakan moral seperti ini tidak hanya merosakkan individu yang terlibat, tetapi turut menghakis kesejahteraan keluarga dan merosakkan struktur sosial masyarakat. Inilah akibatnya apabila hati tidak diperkukuh dengan iman, manusia mudah terjebak dalam kekeliruan sehingga sukar membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Pelbagai permasalahan akan sentiasa berulang dari tahun ke tahun, ekoran kegagalan mendidik hati, masih lemah hubungan dengan Allah dan mengabaikan tanggungjawab moral yang sepatutnya menjadi benteng kehidupan.
Orang Islam yang bijak dan berjaya akan melakukan muhasabah diri, menilai kelemahan yang ada dan berusaha memperbaikinya dengan penuh keikhlasan. Mereka menyusun strategi baharu dalam kehidupan, menetapkan matlamat yang lebih jelas, dan membina disiplin diri yang teguh agar setiap tindakan selari dengan prinsip Islam dan mendekatkan diri kepada keredhaan Allah.
Islam sentiasa mengingatkan bahawa manusia sentiasa diuji dalam pelbagai bentuk sama ada melalui kesenangan atau kesulitan, kejayaan atau kegagalan. Kegagalan yang dialami seseorang bukan tanda kelemahan mutlak, tetapi peluang untuk menguji kesabaran, keikhlasan, dan keteguhan hati. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat 286 :
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap kegagalan yang dihadapi adalah sejajar dengan kemampuan kita untuk mengatasinya, dan tidak ada ujian yang melebihi daya tahan manusia.
Renungan hujung tahun bukan sekadar mengimbas apa yang telah berlalu, tetapi menentukan arah selepas ini. Ia saat terbaik untuk bertanya kepada diri, apakah kita telah mengambil pengajaran daripada kegagalan? Atau apakah kita telah bersedia dengan langkah kecil untuk memulakan perubahan diri?
Pertanyaan ini bukan untuk memaksa diri, tetapi untuk membangunkan potensi yang mungkin lama terpendam. Renungan membuka pintu kesedaran, dan kesedaran membuka pintu tindakan.
Tahun baharu 2026 bukan jaminan kejayaan, namun ia adalah peluang untuk bermula semula. Jika tahun ini kita tersungkur, tahun depan mungkin waktu untuk kita bangkit dari kegagalan. Jika tahun ini kita berjaya, tahun depan mungkin menuntut kita mengekalkan istiqamah. Yang penting, kita tidak berhenti melangkah.
Kesimpulan daripada khutbah pada hari ini ialah :
- Kejayaan dan kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup setiap insan. Ia mengajar kita untuk menghargai usaha dan mengambil iktibar daripada pengalaman.
- Renungan akhir tahun memberi peluang untuk menilai pencapaian dan kelemahan sepanjang tahun yang lalu.
- Kegagalan bukan pengakhiran, tetapi peluang untuk memperbaiki diri, meningkatkan kemahiran, dan membina strategi yang lebih
baik untuk masa hadapan. - Kejayaan adalah hasil daripada usaha berterusan, disiplin dan doa kepada Allah. Ia perlu disyukuri dan dijadikan motivasi untuk terus maju.
- Memulakan tahun baru dengan azam yang jelas, hati yang tenang dan semangat yang diperbaharui akan membantu kita menghadapi cabaran dengan lebih bijak dalam redha Allah.





