Hakikat Hamba Dalam Ibadat Qurban
28 Jun 2023Muhasabah Akhir Tahun
13 Jul 2023Secara mudah, perkataan Ghurur bermaksud tipu daya. Ia merupakan penyakit hati yang boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja dalam kalangan manusia. Malah sebenarnya kehidupan kita di atas dunia ini juga disifatkan sebagai satu bentuk tipu daya bagi mereka yang tidak memahami hakikat bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara.
Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam Surah al-Hadid, ayat 20 :
وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ …
Maksudnya : … Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi golongan yang terpedaya
Selain itu, Ghurur juga boleh berada dalam diri seseorang insan yang terpedaya melihat kebaikan dilakukan oleh dirinya sendiri. Keadaan ini terjadi apabila seseorang mengaku dirinya mempunyai kehebatan dan kelebihan tertentu, serta memandang rendah terhadap orang lain. Lebih dahsyat lagi, penyakit Ghurur melibatkan perbuatan zalim, menghina serta memperkecilkan orang lain. Ini disebabkan sangkaan bahawa diri sendiri jauh lebih baik berbanding dengan orang lain.
Ghurur adalah jarum halus syaitan yang digunakan untuk menyesatkan manusia. Syaitan tidak hanya berusaha untuk menyesatkan orang yang lalai dalam kemaksiatan, tetapi juga berusaha untuk memperdayakan manusia menerusi kebaikan yang dilakukan.
Hal ini dijelaskan oleh Allah subhanahu wa ta’ala menerusi firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 33 :
إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّۭ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلْغَرُورُ …
Maksudnya : … Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
Ghurur adalah penyakit berbahaya yang boleh menimpa sesiapa sahaja. Imam al-Ghazali menyebut dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, kelompok ilmuwan boleh tertipu dengan ilmunya, ahli ibadat ada yang terpedaya dengan amal ibadahnya, begitu juga golongan hartawan yang terpedaya dengan harta kekayaan serta kebajikan yang dilakukannya.
Orang yang berilmu boleh ada perasaan dirinya jauh lebih hebat daripada orang lain. Lalu membawa kepada percanggahan pandangan tanpa sempadan kerana melihat orang lain semuanya salah, hanya dirinya sahaja yang betul dan paling berilmu.
Orang yang banyak beribadah juga tidak terlepas daripada keadaan menyangka bahawa dirinya yang paling dekat dengan Allah subhanahu wa ta’ala. Wujud juga golongan yang gemar menunjukkan amal ibadah yang dilakukan dalam media sosial agar mendapat pujian manusia.
Kesemua perkara tersebut boleh merosakkan amalan, dan ini berlaku disebabkan Ghurur. Oleh itu, umat Islam diingatkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dalam banyak ayat al-Quran tentang bahaya Ghurur. Pengulangan perkataan Ghurur dalam al-Quran memberi petunjuk pentingnya setiap umat Islam menjaga diri daripada menghidap penyakit Ghurur.
Terdapat banyak langkah yang boleh diambil untuk menyelamatkan diri daripada Ghurur, antaranya ialah :
Pertama : Berusaha menambah pengetahuan tentang pelbagai penyakit hati. Setiap orang Islam perlu berusaha menambah ilmu untuk lebih mengenali jenis-jenis penyakit yang bertapak di dalam hati manusia, berdasarkan sumber yang muktabar. Seseorang yang mengenali selok belok penyakit hati tidak akan mudah terlibat dengan penyakit Ghurur. Hal ini kerana orang yang mempunyai pengetahuan tentang penyakit hati sahajalah yang mampu menghindari diri daripada tipu daya ghurur.
Kedua : Sentiasa melakukan penyucian jiwa (tazkiyah an-nafs). Nafsu yang ada dalam diri manusia perlu dikawal dengan panduan syarak agar tidak melakukan pelbagai jenis dosa dan maksiat. Oleh itu, diri memerlukan rawatan penyucian jiwa dengan melakukan amalan-amalan baik sepertimana yang ditunjukkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam.
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam telah menunjukkan cara untuk melakukan tazkiyah an-nafs dengan antaranya memohon doa perlindungan kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya : Ya Allah, anugerahkanlah kepada jiwaku ketakwaan, dan sucikanlah jiwaku dengan ketakwaan itu, Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya, dan Engkaulah yang menjaga serta melindunginya.
(Hadis riwayat Muslim)
Ketiga : Meletakkan orang lain lebih baik daripada diri sendiri. Penyakit Ghurur adalah penyakit hati yang perlu diubati dengan cara mendidik diri agar sentiasa bersifat tawaduk. Sesungguhnya sifat tawaduk dapat menghilangkan perasaan sombong dalam diri yang sanggup merendah-rendahkan orang lain. Seorang sahabat Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam bernama Abdullah al-Muzani menyatakan bahawa iblis memberikan was-was kepada seseorang Muslim dengan mengatakan bahawa dirinya lebih mulia daripada Muslim lain. Inilah antara punca penyakit Ghurur semakin merebak dalam jiwa manusia.
Keempat : Banyak mengingati kematian. Sesungguhnya dengan mengingati kematian, seseorang akan dapat mengawal diri daripada loba terhadap nikmat dunia. Nasihat agar mengingati kematian dinyatakan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam dalam hadis yang mafhumnya :
“Perbanyaklah mengingati pemutus segala kenikmatan iaitu kematian”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Kesimpulannya, setiap Muslim perlu memelihara diri daripada terjebak dengan penyakit Ghurur. Setiap orang yang beriman pasti akan diuji oleh Allah subhanahu wa ta’ala. Ghurur merupakan satu bentuk ujian untuk menentukan tahap keimanan seseorang kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Orang yang terlibat dengan Ghurur akan termasuk dalam kalangan orang yang rugi kerana mensia-siakan amalan baik yang dicemari dengan kemungkaran disebabkan riak, bangga diri, tidak ikhlas dan sebagainya.