Hakikat Hijrah Dalam Islam
20 Jul 2023Menjaga Aqidah Islam
3 Aug 2023SYAKHSIAH REMAJA MUSLIM | Dalam kehidupan ini, ramai daripada kita, yang sedang atau telah pun melalui zaman remaja. Ia adalah peringkat usia di mana kemuncak semangat dan motivasi terbit di dalam diri seseorang. Keinginan untuk melakukan perkara-perkara yang baharu dan mencabar sering berlaku pada usia itu.
Usia remaja adalah waktu peralihan bagi seseorang individu berpegang kepada keinginan diri sendiri dalam urusan pergaulannya. Ajaran Islam tidak menolak secara mentah terhadap kemahuan perasaan remaja sebegitu atau menafikan haknya secara total, malah Islam memberikan panduan kepada remaja untuk mengawal dengan baik keinginan yang tercetus dalam diri mereka.
Jika remaja tidak dibentuk dengan baik mengikut landasan Islam, ia bakal memberikan kesan negatif yang berpanjangan kepada remaja itu. Sebaliknya, jika mereka dilentur dan dibimbing dengan baik, maka akan lahirlah kesan-kesan positif yang berterusan dalam kehidupannya.
Antara langkah terawal dalam pembentukan diri remaja yang dianjurkan oleh Islam, dapat diteladani daripada kisah Luqman al-Hakim bersama anaknya. Nasihat-nasihat beliau kepada anaknya amatlah sesuai untuk dijadikan panduan terbaik dalam membentuk peribadi seorang remaja yang unggul.
Pertama : Titik Beratkan Aspek Agama
Firman Allah taala dalam Surah Luqman ayat 13 :
وَإِذْ قَالَ لُقْمَـٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌۭ ١٣
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya : “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
Nasihat Luqman al Hakim bermula dengan menitik beratkan aspek agama kepada anaknya. Ia secara tidak langsung mengingatkan kita akan kepentingan pendidikan agama, kerana ilmu agama dapat membentuk perwatakan dan budi pekerti seorang Muslim.
Kedua : Berbuat Baik Dan Taat Kepada Kedua Ibu Bapa
Nasihat Luqman al-Hakim yang kedua adalah untuk terus berbuat baik dan taat kepada kedua ibu bapa dan ia dirakamkan dalam firman Allah taala dalam Surah Luqman ayat 14 :
وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍۢ وَفِصَـٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ ١٤
Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
Ketiga : Sifat Bertanggungjawab
Nasihat yang ketiga Luqman al-Hakim kepada anaknya adalah berkaitan sifat bertanggungjawab. Setiap perbuatan dan kelakuan di dunia akan dipersoal di akhirat nanti walau sekecil mana pun. Kesedaran ini bakal menjadikan seseorang mengemudi perjalanan hidupnya ke arah ketaqwaan.
Anaknya dinasihatkan seterusnya agar memelihara kewajipan mendirikan solat, menganjurkan perbuatan baik, menjauhi kemungkaran serta bersabar dalam ujian kehidupan duniawi ini.Fiman Allah taala dalam surah Lukman ayat 17 :
يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ ١٧
Maksudnya : “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”.
Keempat : Jaga Tingkahlaku Dan Budi Pekerti
Selanjutnya nasihat Luqman al Hakim supaya menjaga tingkahlaku dan budi pekerti agar tidak menyombong diri atau memandang rendah kepada orang lain, dengan pengislahan dalaman rohani dengan merendahkan suara ketika berbicara dan melangkah dengan penuh adab sopan.
Firman Allah taala dalam surah Lukman ayat 18-19 :
وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍۢ فَخُورٍۢ ١٨ وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ ١٩
Maksudnya : “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.
Bagi menjamin kesejahteraan hidup para remaja pada masa mendatang, pelbagai usaha ke arah peningkatan tahap keagamaan diri mereka perlu digembeling secara bersama, samada di peringkat keluarga, masyarakat dan pihak kerajaan.
Pihak masjid dianjurkan supaya menyediakan aktiviti-aktiviti yang boleh menarik minat remaja untuk datang ke masjid. Selain mengikuti program-program tersebut, mereka juga akan turut serta menghadiri solat Jemaah dan menghayati kehidupan sebagai seorang muslim.
Justeru, marilah sama-sama kita menghayati sejarah kehidupan para sahabat yang mencerminkan syakhsiah remaja muslim sebenar. Nama-nama seperti Al Hasan dan Al Husain, Abdullah bin Zubair, Ammar bin Yasir, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan lain-lain perlu ditonjolkan dan diserlahkan sebagai model untuk tatapan dan ikutan generasi muda kita.