Hakikat Hijrah Dalam Islam : Pena Hijau

Hakikat Hijrah Dalam Islam

ANE 20230713 muhasabah akhir tahun
Muhasabah Akhir Tahun
13 Jul 2023
ANE 20230727 syakhsiah remaja
Syakhsiah Remaja Muslim
27 Jul 2023
ANE 20230713 muhasabah akhir tahun
Muhasabah Akhir Tahun
13 Jul 2023
ANE 20230727 syakhsiah remaja
Syakhsiah Remaja Muslim
27 Jul 2023
ANE 20230720 hijrah dalam islam
icon follow us

Kehadiran awal tahun hijrah membawa erti yang sangat mendalam bagi seluruh umat Islam, kerana kedatangannya mengingatkan kita kepada suatu peristiwa agung yang pernah berlaku dalam lipatan sejarah Islam, iaitu penghijrahan Baginda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah. Hakikat hijrah dalam Islam, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam adalah merujuk kepada dua perkara penting.

Pertama, perbuatan berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain. Perkara kedua, iaitu yang terpenting; niat perbuatan tersebut adalah semata-mata kerana mencari keredaan Allah subhanahu wa ta’ala. Hal demikian telah ditegaskan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam dalam sabdanya yang mafhumya :

“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan setiap seorang akan menerima ganjaran mengikut apa yang diniatkannya. Sesiapa sahaja niat berhijrah kerana Allah dan RasulNya, sudah pasti hijrahnya itu benar-benar hanya untuk Allah dan RasulNya. Sebaliknya, sesiapa sahaja niat berhijrah kerana dunia untuk diperolehinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka jadilah hijrahnya mengikut apa yang diniatkannya sahaja”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis tersebut memberi faham kepada kita bahawa, hijrah menuntut kepada suatu perubahan yang perlu dilakukan dalam kehidupan mukmin. Perubahan itu pula, mestilah berpaksikan kepada niat atau tujuan hijrah itu dilakukan. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam merubah kehidupan masyarakat jahiliyah yang berada dalam kegelapan kekufuran kepada sinar cahaya Islam dan Iman, daripada peperangan kepada persaudaraan. Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam juga mengeluarkan mereka daripada cengkaman nafsu syahwat kepada keindahan hukum hakam Islam yang sentiasa membimbing semua tingkah laku mereka. Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam mensucikan mereka daripada bergelumang dengan akhlak dan perangai kebinatangan kepada menghiasi diri dengan akhlak mulia dan budi pekerti yang luhur. Semua perubahan yang dilakukan tersebut adalah berpaksikan kepada niat hanya kerana Allah. Itulah hakikat makna hijrah yang ditonjolkan oleh junjungan mulia kita Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam.

Hijrah juga menuntut kepada suatu pengorbanan yang perlu dilakukan oleh setiap muslim bagi menyempurnakan matlamat dan tujuan hijrahnya. Hal demikian adalah kerana, berhijrah daripada kekufuran kepada keimanan, berhijrah daripada kemaksiatan kepada ketaatan, berhijrah daripada akhlak tercela kepada akhlak terpuji. Kesemuanya itu memerlukan kepada mujahadah memerangi hawa nafsu. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam Surah al-‘Ankabut ayat 69 :

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ ٦٩

Maksudnya : Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam juga pernah bersabda yang mafhumnya :

Melaksanakan ibadat pada zaman fitnah, sama seperti berhijrah kepadaku.

(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis tersebut telah menggambarkan makna betapa besarnya kemuliaan Allah kurniakan kepada orang beriman yang terpaksa berkorban menahan diri daripada mengikuti hawa nafsunya sewaktu berada pada era yang penuh dengan fitnah, kerana semata-mata ingin menjaga ketaatan kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Marilah sama-sama kita memperbaharui azam mentaati Allah subhanahu wa ta’ala dalam semua keadaan dalam kehidupan kita, sama ada amal perbuatan zahir yang melibatkan anggota badan kita mahupun perbuatan batin yang melibatkan perangai dan emosi kita. Mudah-mudahan, menerusi ketaatan kepada Allah subhanahu wa ta’ala zahir dan batin yang kita lakukan secara berterusan, kita tergolong dalam kalangan orang yang benar-benar menghayati hakikat hijrah yang dibawa oleh baginda shollallahu ‘alaihi wa salam. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam yang mafhumnya :

“Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah padanya”

(Riwayat al-Bukhari)

Akhir sekali, marilah kita sama-sama hayati surah An-Nisa’ ayat 100 :

۞ وَمَن يُهَاجِرْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدْ فِى ٱلْأَرْضِ مُرَٰغَمًۭا كَثِيرًۭا وَسَعَةًۭ ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِنۢ بَيْتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدْرِكْهُ ٱلْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ١٠٠

Maksudnya : Sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah untuk membela dan menegakkan Islam, nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati dalam perjalanan, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Hakikat Hijrah Dalam Islam
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more