Filem Netflix – Drawing Closer
25 Aug 2024Filem Netflix – Upstream | Upstream adalah sebuah filem dari China yang mengisahkan tentang seorang pembangun aplikasi / pengaturcara komputer yang bernama Gao Zhilei yang rajin bekerja selama 11 tahun dan selalu kerja lebih masa dengan tiba-tiba diberhentikan kerja pada usia 45 tahun. Daripada kehidupan yang selesa, terus hidupnya jatuh. Selama dua bulan dia mengganggur tanpa pengetahuan isterinya dan selama itu juga lah dia cuba mencari pekerjaan baru. Tapi dengan usia dia, agak sukar untuk dia mendapatkan pekerjaan.
Disebabkan keperitan hidup yang dia hadapi, dengan hutang rumah dan bil yang perlu dibayar, ayahnya pula jatuh sakit, dia cuba bekerja sebagai penghantar makanan demi menyara keluarganya. Permulaannya, dia sukar untuk membiasakan diri menjadi penghantar makanan. Macam-macam masalah dia hadapi – tersilap jalan, lambat hantar pesanan, bergaduh dengan pelanggan, dapat ulasan yang buruk.
Dengan sokongan keluarga dan bantuan rakan-rakan seperjuangannya, dia berjaya menguasai jalan dan menggunakan kepakaran programmingnya membuat satu aplikasi panduan jalan pintas bagi memudahkan dia dan rakan-rakannya menggunakan jalan dan laluan alternatif.
Di penghujung cerita, dia dinobatkan sebagai juara penghantar pesanan tertinggi dan mendapat bonus dalam satu majlis. Dalam ucapannya, dia berkata, “Saya sangka kerja penghantar mudah. Tak sangka ia sukar. Semua orang yang saya jumpa telah bekerja keras. Kita semua bekerja keras untuk hidup yang lebih baik. Berjuang untuk keluarga kita dan hari esok. Oleh itu kita patut dihormati dan berhak mendapat kehidupan yang lebik baik”. Sebelum dia turun pentas, sempat dia berpesan, “Paling penting sekali, hati-hati di jalan raya”.
Dalam filem ni, kita boleh menyelami realiti kehidupan pekerja-pekerja dalam bidang gig economy ni yang bekerja keras meredah hujan dan panas, dimarah pelanggan dan terdedah dengan risiko keselamatan diri di atas jalan raya semata-mata mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup.
Sedikit Info
Tajuk : Upstream (Ni xing ren sheng)
Durasi : 2 jam 1 minit
Pengarah : Zheng Xu
Penulis : Keke He, Zheng Xu, Zhiyu Qiu
Pelakon : Zheng Xu (Gao Zhilei), Zhilei Xin (Xiao Ni), Xiao Wang (Stingy) dll
Pengajaran Cerita
- Majikan bila-bila masa sahaja boleh buang kita. Oleh itu, pandai-pandailah hargai masa. Cukup waktu, balik kerja. Ingat kita masih ada tanggungjawab lain bukan hanya kat tempat kerja je. Tiada yang lebih penting daripada keluarga sendiri. Family first.
- Andainya kita dibuang kerja, apa yang kita siapkan buat diri kita dan keluarga? Pentingnya simpanan sekurang-kurangnya untuk menampung kehidupan selama tiga bulan. Tapi sebaik-baiknya untuk enam bulan.
- Kebiasaannya sifat seorang suami ni jarang nak berkongsi masalah di tempat kerja. Jadi, kepada isteri-isteri, hargailah suami anda.
- Kepada suami, sayangilah isteri anda yang turut sama bekerja dalam membantu korang menyara keluarga.
- Setiap orang/pekerjaan ada peranan masing-masing dalam masyarakat, jadi jangan suka merendahkan pekerjaan orang lain. Hidup ibarat roda. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah.
- Jangan merasa ujian yang kita hadapi itu berat. Tanpa kita ketahui, ada lebih ramai orang yang diuji dengan lebih berat lagi daripada kita.
- Jangan mudah untuk menilai orang sebelum kita mengetahui kisah sebenarnya.
- Jangan sesekali menyerah dengan takdir. Yang penting terus berusaha untuk kembali bangkit!
Kepada rider-rider di luar sana, terima kasih atas perkhidmatan korang. Sentiasa berhati-hati di jalan raya, utamakan keselamatan diri, jaga kesihatan dan selamat berjuang.