Umat Islam Umat Bertaubat : Pena Hijau

Umat Islam Umat Bertaubat

20240116 solat hajat
Rokok Dan Imam : Apa Pandangan Islam?
27 Jun 2025
20240116 solat hajat
Rokok Dan Imam : Apa Pandangan Islam?
27 Jun 2025
20230908 taubat istiqamah solat
icon follow us

Umat Islam Umat Bertaubat | Asas jalan menuju kebahagiaan muslim dan kunci mencapai kasih di sisi Allah adalah dengan banyakkan bertaubat. Hal demikian kerana kasih Allah Subhanahu Wa Ta’ala pasti akan dikurniakan kepada mereka yang bertaubat kepadaNya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat 222 :

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”

Ayat al-Quran di atas telah memberi faham kepada kita bahawa umat Islam yang dikasihi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala antara mereka ialah golongan orang beriman yang pada mulanya terjebak melakukan pelbagai dosa. Namun, mereka banyak bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana kesalahan dosa dilakukan. Lantas dosa mereka diampun serta dapat meraih kasih Allah. Dalam hal ini, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda :

 كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

“Setiap anak Adam sangat banyak melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No Hadis 2499)

Taubat sebenar menurut Imam al-Ghazali adalah merujuk kepada makna kembali mendekati redha Allah setelah menyimpang jauh terjerumus dalam kemurkaanNya. Bagi menyempurnakan makna taubat tersebut, perkara utama perlu dibina dalam hati kita ialah perasaan percaya serta meyakini bahawa dosa yang dilakukan itu, merupakan suatu racun pembunuh yang sangat berbisa di dunia apatah lagi di akhirat. Lantas kesan daripada keyakinan tersebut, muncul dalam hati perasaan takut kepada murka Allah, menyesal terhadap perbuatan yang dilakukan, lalu timbul perasaan ingin kembali mendapatkan redha Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Jika dosa itu sedang dilakukan, sudah pasti kita segera meninggalkannya serta memohon ampun daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Manakala dosa lampau, kita memohon keampunan daripada Allah serta menggantinya semula dengan kebaikan sekadar termampu. Malahan untuk masa mendatang, kita berazam penuh untuk tidak kembali melakukannya lagi.

Apabila kita memahami makna sebenar taubat kepada Allah sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, hendaklah kita sedar bahawa bertaubat merupakan suatu kewajipan ke atas setiap muslim umat ini. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah an-Nur ayat 31 :

وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya”

Kewajipan bertaubat adalah kerana berpunca daripada sifat manusia yang sering kali melakukan dosa dan maksiat. Ia didorong oleh pujukan syaitan dan keinginan nafsu syahwat seperti tamak haloba, hasad dengki dan permusuhan. Namun, apabila kita bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan taubat sebenar, disusuli dengan pelbagai amal kebaikan, sudah pasti taubat kita diterima Allah dan segala dosa diampuniNya.

Akhir kalam, sama-samalah kita membina makna taubat sebenar serta mengambil peluang mendapatkan seluas-luas keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan melaksanakan beberapa saranan penting berikut :

  1. Marilah kita menanam perasaan percaya bahawa perbuatan dosa dan maksiat itu sebenarnya adalah racun yang membunuh kebahagiaan kehidupan kita di dunia dan di akhirat.
  2. Marilah kita memupuk perasaan takut kepada Allah kerana melakukan perbuatan dosa dan maksiat yang membawa kepada murka Allah, menyebabkan kita dihina oleh Allah di dunia apatah lagi di akhirat.
  3. Marilah kita membangkitkan perasaan kesal dengan sebab perbuatan dosa dan maksiat yang telah dilakukan, membaiki kesalahan lepas serta berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa akan datang.

Bersempena dengan tahun baharu Hijrah 1447, marilah kita bersungguh-sungguh memohon keampunan daripada Allah, semoga segala dosa dan kesalahan kita yang lalu diampunkan Allah serta segera kita mendapat redha Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dunia mahupun di akhirat.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊
Umat Islam Umat Bertaubat
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more