Mengembalikan Kegemilangan Khaira Ummah : Pena Hijau

Mengembalikan Kegemilangan Khaira Ummah

20250730 buli
Perbuatan Buli Racun Keharmonian
8 Aug 2025
20250730 buli
Perbuatan Buli Racun Keharmonian
8 Aug 2025
20250814 ummah solat berjemaah
icon follow us

Umat Islam merupakan umat yang terbaik dan hebat. Umat terbaik adalah satu gelaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada umat Islam. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Ali Imran, ayat 110 :

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”

Imam Ibnu Kathir dan Al-Qurtubi menegaskan bahawa gelaran umat terbaik ini hanya layak apabila memenuhi ciri-ciri berikut :

  1. Membawa kebaikan kepada manusia seluruhnya. Mereka tidak hanya mementingkan diri sendiri atau kelompoknya sahaja, tetapi turut menyebarkan manfaat, rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.
  2. Melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Mereka menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan hikmah dan kasih sayang.
  3. Beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka meletakkan asas keimanan yang kukuh dalam segala tindakan dan gerak kerja.
  4. Menjadi contoh kepada seluruh manusia. Mereka mempamerkan segala tingkah laku, akhlak dan cara hidup Islam yang indah dan adil.

Masyarakat Islam pada zaman Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam menjadi contoh umat terbaik atau khaira ummah. Selepas kewafatan Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, para Khulafa’ arRasyidin meneruskan kepimpinan dengan penuh integriti. Ini disusuli oleh empayar Islam Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah yang membawa kepada kemunculan tamadun Islam yang hebat.

Khaira ummah tidak lahir secara tiba-tiba. Ia tidak dibina dengan kekuatan ketenteraan atau kekayaan semata-mata, tetapi ia diasaskan dengan kukuh melalui penyatuan antara kekuatan rohani dan jasmani, ilmu dan amal, akhlak dan integriti. Inilah rahsia utama yang  menjadikan umat Islam suatu ketika dahulu mampu menjadi kuasa besar dunia dan pelopor kepada kemajuan dalam semua bidang.

Di antara asas-asasnya ialah :

  1. Umat Islam pada zaman Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam adalah umat yang berpegang teguh kepada wahyu Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang diturunkan melalui alQuran. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sebagai pemimpin bukan sahaja membawa misi dakwah, tetapi membina sebuah masyarakat berlandaskan prinsip keadilan dan persaudaraan sejati. Para sahabat pula telah  menunjukkan kesetiaan dan keimanan yang tinggi, sanggup menghadapi pelbagai ujian dan cabaran demi agama Islam.
  2. Perpaduan umat Islam pada ketika itu sangat kuat dan menjadi faktor utama kepada kejayaan. Piagam Madinah pula dijadikan asas hubungan sosial yang adil antara orang Islam dan bukan Islam, yang hidup bersama secara harmoni.
  3. Pendidikan dan penyebaran ilmu menjadi keutamaan umat Islam. Pendidikan ini menjadi asas kepada perkembangan tamadun Islam yang sangat maju dalam semua bidang ilmu sama ada feqah, tafsir, hadis dan juga ilmu duniawi yang lain.
  4. Sistem pemerintahan yang adil dan amanah. Baginda bukan sahaja seorang nabi, tetapi juga ketua negara yang telus dan adil. Hak setiap individu, Muslim dan bukan Muslim, dijaga dengan penuh tanggungjawab. Sistem ini memberi keadilan kepada semua dan memastikan keamanan serta kesejahteraan masyarakat.
  5. Umat Islam membentuk sebuah tamadun baru yang berteraskan akhlak mulia dan nilai-nilai Islam sejati. Mereka mengamalkan sifat jujur, amanah, tolong-menolong, sabar dan pemaaf. Nilai-nilai akhlak ini membuka pintu kepada kegemilangan tamadun yang membawa rahmat kepada seluruh umat manusia.

Persoalannya, apakah umat Islam hari ini masih mempunyai ciri-ciri sebagai sebaik-baik ummah?

Marilah sama-sama kita kembali mengamalkan ciri-ciri khaira ummah ini agar kegemilangan Islam kembali membawa keadilan dan rahmat kepada seluruh alam.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊
Mengembalikan Kegemilangan Khaira Ummah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more