Hakikat Kebahagiaan : Pena Hijau

Hakikat Kebahagiaan

20250829 selamat hari kebangsaan
Teguhkan Iman Dan Taqwa Untuk Meraih Keberkatan Negara
28 Aug 2025
20250829 selamat hari kebangsaan
Teguhkan Iman Dan Taqwa Untuk Meraih Keberkatan Negara
28 Aug 2025
20251002 orang bahagia kebahagiaan
icon follow us

Setiap insan yang hidup di muka bumi ini menginginkan kebahagiaan. Orang miskin mahupun kaya, pemimpin atau rakyat biasa, semuanya mencari kebahagiaan. Namun, persoalannya apakah kebahagiaan yang sebenar menurut pandangan Islam? Kebahagiaan boleh dibahagikan kepada kebahagiaan dunia dan kebahagiaan akhirat. Kebahagiaan akhirat adalah kebahagiaan yang sebenar sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 185 :

فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ

“Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan”

Walaupun begitu, Islam turut menganjurkan umatnya untuk mencari kebahagiaan di dunia. Berkaitan hal ini, Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ: الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

“Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu: isteri yang solehah, rumah yang luas (mencukupi), jiran yang baik dan kenderaan yang selesa”

(Hadis Riwayat Ibn Hibban, no 4032)

Keempat-empat perkara ini sering disebut sebagai punca seseorang itu memperolehi ketenangan dan keselesaan hidup di dunia. Ini kerana, isteri, rumah, kenderaan dan jiran merupakan perkara yang sentiasa berkait rapat dengan kehidupan seseorang. Pada ghalibnya, seseorang itu tidak akan dapat hidup tenang jika mereka mempunyai masalah pada empat perkara ini.

Islam tidak meletakkan penanda aras kebahagiaan hanya pada perkara lahiriah, bahkan konsep bahagia yang sebenar ialah pada kebahagiaan hati dan sifat terpuji yang menghiasinya seperti qanaah, sabar dan reda.

Qanaah ialah merasa cukup dan bersyukur dengan setiap apa yang diperoleh daripada Allah, sama ada sedikit atau banyak. Sabar pula ialah menahan diri dan perasaan ketika menghadapi perkara yang tidak diingini. Manakala reda ialah kedudukan yang lebih tinggi daripada sabar, iaitu seorang itu tenang hati dan menerima segala perkara yang menimpanya tanpa ada keluh kesah dan rasa tertekan. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam :

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ، وَرُزِقَ كَفَافًا، وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

“Sesungguhnya berjayalah orang yang Islam, dan dia diberi rezeki yang mencukupi, lalu Allah mengurniakan kepadanya sifat qanaah dengan apa yang diberikan”

(Hadis Riwayat Muslim, no 1054)

Maka jelaslah kepada kita bahawa kebahagiaan dan kekayaan yang sebenar bukannya dinilai dengan banyaknya harta, tetapi dengan hati yang merasa cukup dengan apa yang ada.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negeri Terengganu telah direkodkan sebagai negeri yang paling bahagia dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang pada tahun 2024, diikuti oleh Johor di tempat kedua dan Negeri Sembilan di tempat ketiga.

Pencapaian ini secara tidak langsung menuntut kita semua agar bersyukur dan menzahirkan nilai Islam dalam kehidupan seharian. Justeru, antara perkara yang boleh dilakukan oleh negeri-negeri lain untuk mencapai kejayaan ini adalah :

  1. Bersifat amanah dalam perniagaan. Para peniaga tidak patut mengambil kesempatan terhadap ramainya pelancong yang datang dengan menipu pada harga atau timbangan.
  2. Bermuamalat dengan baik dan bersopan dengan jiran tetangga dan para pelancong yang datang bercuti. Gunakan bahasa yang beradab dalam percakapan dan melakukan tindakan yang waras pada setiap keadaan.
  3. Menjaga adab pergaulan dan tatasusila mengikut agama Islam dan budaya timur. Janganlah terlibat dengan pergaulan yang melampaui batas agama atau adab setempat.
  4. Saling tolong menolong dan membantu orang yang memerlukan dengan ikhlas dan mengharapkan redha Ilahi.
  5. Menjaga kebersihan persekitaran rumah, masjid dan kemudahan awam agar sentiasa berada dalam keadaan selesa.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama menanam sifat qanaah dalam diri kita dan menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah, sesuai dengan ciri-ciri masyarakat yang bahagia bukan sekadar di dunia, bahkan di akhirat nanti. Aamiin…

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊
Hakikat Kebahagiaan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more