Zakat Membersihkan Dosa Dan Menyucikan Jiwa : Pena Hijau

Zakat Membersihkan Dosa Dan Menyucikan Jiwa

20250731 amalan kebaikan
Tuntutan Ihsan Dalam Kehidupan
20 Nov 2025
20250731 amalan kebaikan
Tuntutan Ihsan Dalam Kehidupan
20 Nov 2025
20231208 zakat
icon follow us

Makna Zakat dari segi bahasa ialah : bersih, suci, subur, bertambah, berkembang, berkat dan baik. Dari segi syarak pula ialah : mengeluarkan sejumlah harta yang tertentu mengikut kadar yang tertentu yang wajib diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya.

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga yang wajib ditunaikan oleh setiap individu yang mencukupi syarat, terdapat di dalamnya berbagai-bagai hikmat dan kelebihan. Antaranya ialah :

Pertama : Zakat membersihkan jiwa pengeluar dari akhlak-akhlak yang buruk seperti bakhil, kedekut, mencintai harta dan sebagainya dan mensucikanya dari dosa serta menghindarkannya dari seksa Allah. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al Taubah ayat 103 :

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ١٠٣

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”

Kedua : Sebagai membuktikan keimanan yang sebenar, dan menzahirkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas nikmat yang dikurniakan-Nya. Malah Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga berjanji akan menambahkan lagi nikmat jika ia disyukuri. Firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7 :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ ٧

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”

Ketiga : Menanamkan rasa kasih sayang dan belas kasihan di kalangan orangorang yang beriman, mengurangkan jurang pemisahan dalam kalangan masyarakat muslim baik yang kaya mau pun yang miskin dalam mengecapi nikmat harta, seterusnya dapat membentuk sebuah masyarakat yang erat hubungan persaudaraannya,suka tolong menolong antara satu sama lain, selaras dengan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al- Maidah ayat 2 :

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

“..Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”

Keempat : Zakat menyuburkan harta dan menambahkan pahala serta keberkatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhrat. Firman Allah dalam surah ar Rum ayat 39 :

وَمَآ ءَاتَيْتُم مِّن رِّبًۭا لِّيَرْبُوَا۟ فِىٓ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ فَلَا يَرْبُوا۟ عِندَ ٱللَّهِ ۖ وَمَآ ءَاتَيْتُم مِّن زَكَوٰةٍۢ تُرِيدُونَ وَجْهَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُضْعِفُونَ ٣٩

“Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah (zakat) yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah sematamata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda”

Dan sabda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam :

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

“Sedekah tidak mengurangkan harta”

(Hadis Riwayat Muslim, Nom 2588)

Bagi memudahkan pengagihan serta memastikan zakat kita sampai kepada semua golongan asnaf, maka zakat berkenaan hendaklah dikeluarkan kepada majlis agama Islam negeri atau mana-mana Amil yang dilantik. Di negeri Kelantan, pihak pengurusan zakat MAIK telah mengagihkan zakat sebanyak RM295,795,127.34 pada tahun ini. Paparan jumlah terimaan dan agihan zakat MAIK boleh dilihat secara real time melalui MyMAIK Dashboard di pautan https://dashboard.e-maik.my/.

Akhirnya, Kepada pihak yang belum menunaikan kewajipan zakat, bersegeralah melaksanakannya sebelum berakhir tahun 2025. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melimpah ruahkan rezeki dan melipat gandakannya kepada mereka yang menunaikan zakat pada tahun-tahun mendatang, amin Ya Rabbal Alamin.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊
Zakat Membersihkan Dosa Dan Menyucikan Jiwa
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more