Urusan Kerja di Cameron Highlands: Taklimat Penyelenggaraan Jalan Negeri Kelantan 2027 : Pena Hijau

Urusan Kerja di Cameron Highlands: Taklimat Penyelenggaraan Jalan Negeri Kelantan 2027

20261024 p2geng fun walk 3km

P2Geng Fun Walk 3KM 2026: Aktiviti Santai Bersama Anak

30 Oct 2026
20261024 p2geng fun walk 3km

P2Geng Fun Walk 3KM 2026: Aktiviti Santai Bersama Anak

30 Oct 2026
20261029 penutup bengkel marris cameron highland
icon follow us

Urusan Kerja di Cameron Highlands: Taklimat Penyelenggaraan Jalan Negeri Kelantan 2027 | Bila sebut Cameron Highlands, perkara pertama yang terlintas di fikiran pastinya suasana sejuk, ladang teh, strawberi dan pemandangan tanah tinggi yang mendamaikan. Namun, kali ini Abey ke Cameron Highlands bukan untuk bercuti, sebaliknya atas urusan kerja.

Pada 27 hingga 29 Oktober 2026, Abey bersama pasukan telah menghadiri Program Taklimat Garis Panduan Tatacara Penyelenggaraan Jalan Negeri 5.0 dan Bengkel Penyelarasan Penyelenggaraan Rutin bagi Jalan Raya Negeri di Kelantan Tahun 2027 yang berlangsung di Zenith Hotel & Resort, Cameron Highlands, Pahang.

Program ini menghimpunkan jurutera dan penolong jurutera dari setiap jajahan, selain wakil daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Pejabat Pembangunan Negeri (PPN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Bahagian Kerajaan Tempatan (KT), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Menariknya, Abey dan pasukan turut diberikan satu slot khas untuk memberikan taklimat awal berkenaan sistem yang bakal dibangunkan. Jadi, selain menghadiri program, ada juga tanggungjawab untuk berkongsi idea dan mendapatkan maklum balas daripada bakal pengguna sistem tersebut.

27 Oktober 2026 – Bertolak dari Kota Bharu ke Cameron Highlands

Perjalanan bermula pada jam 9.30 pagi dari Kompleks Kota Darulnaim. Perjalanan ke Cameron Highlands mengambil masa beberapa jam dan kami akhirnya tiba di Zenith Suite Cameron sekitar jam 4.30 petang.

20261027 perjalanan ke cameron highland
20261027 checkin zenith suite cameron highland

Selepas daftar masuk dan berehat seketika, malamnya kami menikmati makan malam di The Dining Room.

Selesai makan malam, program diteruskan dengan slot berkaitan Integriti yang disampaikan oleh Sr. En. Mat Nasir bin Mat Nawi. Slot ini menjadi pembuka kepada pengisian program yang bukan sahaja menyentuh aspek teknikal penyelenggaraan jalan, malah turut mengingatkan peserta tentang kepentingan integriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

28 Oktober 2026 – Sesi Perasmian dan Slot Taklimat Sistem

Pagi hari kedua dimulakan dengan sarapan di Terra Cafe. Dengan suasana Cameron Highlands yang nyaman, sarapan pagi terasa lebih berselera.

Program kemudian diteruskan dengan sesi perasmian yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan.

Selepas makan tengah hari, tibalah giliran Abey dan pasukan IT untuk mengendalikan slot selama lebih kurang satu jam lebih. Slot ini bertujuan memberikan pengenalan awal berkenaan sistem yang bakal dibangunkan serta mendapatkan input dan pandangan daripada peserta.

Bagi Abey, sesi ini cukup penting kerana pembangunan sistem yang baik bukan sekadar bergantung kepada kepakaran teknikal pasukan pembangun. Ia juga perlu mengambil kira keperluan sebenar pengguna yang akan menggunakan sistem tersebut nanti.

Maklum balas daripada jurutera dan penolong jurutera di setiap jajahan amat berguna untuk membantu pasukan memahami proses kerja, cabaran semasa dan fungsi yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan sistem.

Harapnya, perkongsian dan perbincangan awal ini dapat menjadi asas kepada pembangunan sistem yang lebih praktikal, mesra pengguna dan benar-benar membantu urusan penyelenggaraan jalan negeri Kelantan.

Selepas slot team Abey, diikuti dengan slot berkenaan garis panduan yang disampaikan oleh wakil daripada MOF. Dalam slot tu juga, Akauntan pejabat Abey ada memaparkan data berkenaan pendaftaran jalan di negeri Kelantan oleh 4 agensi; JKR, JPS, PPN dan KT. Fuh.. kecil-kecil cili padi. Menyekit kakloh Abey dengar… Hahaha..

Jalan-jalan malam sekitar Cameron Highlands

Selesai tugasan program, malamnya Abey mengambil peluang untuk berjalan-jalan sekitar Cameron Highlands bersama En. Redwan dan pemandu kami, En. Aswadi.

Antara lokasi yang kami singgah ialah Tokyo Town, sebuah lokasi glamping yang mengetengahkan konsep dan suasana bertemakan Jepun.

20261028 tokyo town cameron highland

Sebagai peminat muzik Jepun, Abey sebenarnya mengharapkan sedikit lagi sentuhan Jepun di tempat ini. Kalau dipasang lagu-lagu Utada Hikaru, Ayumi Hamasaki, Yui Yoshioka atau mana-mana lagu Jepun, mesti lebih terasa suasana Jepun! Kalau pilihan makanan berasaskan Jepun pun ditambah, lagi menarik.

Namun, itu sekadar pandangan peribadi Abey. Konsep tempat ini tetap ada tarikannya yang tersendiri.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Cameron Centrum untuk melihat suasana sekitar kawasan tersebut. Walaupun sekadar berjalan-jalan pada waktu malam, sekurang-kurangnya dapat juga mengisi masa selepas seharian mengikuti program.

29 Oktober 2026 – Sesi Pembentangan dan Majlis Penutup

Hari terakhir dimulakan dengan sarapan pagi sebelum program diteruskan dengan beberapa slot pembentangan daripada pihak JKR Negeri.

Pelbagai perkara berkaitan penyelenggaraan jalan negeri dibincangkan sebagai sebahagian daripada persediaan dan penyelarasan pelaksanaan kerja bagi tahun 2027.

Program kemudiannya diakhiri dengan slot penutup yang disampaikan oleh Bendahari Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Haji Roslan bin Yahya.

Selesai program, sekitar jam 12 tengah hari lebih, kami check-out dan makan tengah hari sebelum memulakan perjalanan pulang ke Kota Bharu.

Dalam perjalanan, kami sempat singgah sebentar di Kea Farm untuk membeli sedikit cenderahati. Tidak lengkap rasanya kalau ke Cameron Highlands tetapi pulang dengan tangan kosong, walaupun sekadar membeli sedikit buah tangan untuk keluarga.

Selepas meneruskan perjalanan, kami akhirnya selamat tiba di Kota Bharu sekitar jam 8.30 malam.

Pengalaman Kerja yang Memberi Nilai Tambah

Secara keseluruhannya, perjalanan kerja ke Cameron Highlands kali ini memberikan pengalaman yang cukup bermakna buat Abey.

Selain dapat mengikuti perbincangan dan penyelarasan berkaitan penyelenggaraan jalan negeri Kelantan bagi tahun 2027, peluang untuk menyampaikan taklimat awal pembangunan sistem juga menjadi satu pengalaman penting buat Abey dan pasukan.

Apa yang lebih menarik, sesi bersama bakal pengguna memberi ruang kepada pasukan IT untuk memahami keperluan sebenar di lapangan. Ini penting supaya sistem yang dibangunkan nanti bukan sekadar memenuhi spesifikasi teknikal, tetapi benar-benar membantu melancarkan urusan kerja.

Dalam masa yang sama, perjalanan ini juga memberi peluang untuk mengeratkan hubungan kerja bersama rakan-rakan serta menikmati sedikit suasana Cameron Highlands di luar jadual rasmi program.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya pihak penganjur, urus setia dan semua peserta yang memberikan kerjasama serta input sepanjang sesi berlangsung.

Tidak lupa juga, terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan dan kelancaran perjalanan Abey sepanjang berada di Cameron Highlands. Terima kasih juga atas setiap ingatan dan doa yang diberikan. Semoga segala urusan kita semua sentiasa dipermudahkan Allah SWT.

Jangan lupa berikan reaksi jika anda suka dengan perkongsian ini. Kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan, tekan Like dan tinggalkan komen di bawah. Mungkin ada antara anda yang pernah ke Cameron Highlands atas urusan kerja atau menghadiri program di sana? Kongsikan juga pengalaman anda!

Jumpa lagi dalam catatan Abey yang seterusnya.

P/S : Video 360 berkaitan trip di Cameron Highlands akan menyusul selepas siap editing.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊

Comments are closed.

Urusan Kerja di Cameron Highlands: Taklimat Penyelenggaraan Jalan Negeri Kelantan 2027
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more