Teknik-Teknik Pemerolehan Keperluan Dalam Kejuruteraan Keperluan : Pena Hijau

Teknik-Teknik Pemerolehan Keperluan Dalam Kejuruteraan Keperluan

Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri 1440H
4 Jun 2019
Padang Mahsyar
25 Aug 2019
Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri 1440H
4 Jun 2019
Padang Mahsyar
25 Aug 2019
teknik kejuruteraan keperluan
icon follow us

Soalan : Aktiviti utama kejuruteraan keperluan adalah pemerolehan keperluan untuk sistem yang dibangunkan dengan mempunyai pengetahuan tentang konteks sistem yang akan dibangunkan. Terangkan pelbagai jenis sumber keperluan dan bezakan peranan antara jurutera keperluan dan pihak berkepentingan semasa pemerolehan keperluan. Kemudian, bincangkan teknik-teknik berikut yang digunakan dalam pemerolehan keperluan: teknik tinjauan, kreativiti, dokumentasi, pemerhatian dan sokongan.

PENDAHULUAN KEJURUTERAAN KEPERLUAN

Menurut IEEE Standard Glossary of Software Engineering Technology (IEEE Std 610.12-1990), requirement atau keperluan merujuk kepada

  1. suatu keadaan atau keupayaan yang diperlukan oleh pengguna untuk menyelesaikan masalah atau mencapai matlamat
  2. suatu keadaan atau keupayaan yang mesti dipenuhi atau dimiliki oleh suatu sistem atau komponen sistem untuk memenuhi kontrak, standard, spesifikasi atau lain-lain dokumen rasmi
  3. perwakilan yang didokumentasikan suatu keadaan atau keupayaan seperti dalam 1 atau 2.

Menurut Sommerville dan Sawyer (1997), Requirements Engineering atau Kejuruteraan Keperluan adalah istilah baru yang telah dicipta untuk meliputi semua aktiviti yang terlibat dalam menemui, mendokumentasikan dan mengekalkan satu set keperluan untuk sistem berasaskan komputer. Penggunaan istilah “kejuruteraan” membayangkan bahawa teknik yang sistematik dan berulang harus digunakan untuk memastikan sistem itu lengkap, konsisten, relevan dan sebagainya.

Pamela Zave (1997) pula menyediakan salah satu definisi yang jelas tentang Kejuruteraa Keperluan. Beliau menyatakan bahawa Kejuruteraan Keperluan merupakan cabang daripada Kejuruteraan Perisian yang berkaitan dengan matlamat sebenar, fungsi dan kekangan pada sistem perisian. Ia juga berkaitan dengan hubungan faktor-faktor tersebut dalam menentukan spesifikasi yang tepat terhadap sesuatu perisian dan evolusi perisian tersebut merentasi masa dan perisian yang lain.

Kejuruteraan Keperluan atau juga dikenali spesifikasi perisian merupakan fasa pertama dalam menghasil sebuah perisian di mana keperluan daripada pengguna dan pelanggan dikumpulkan, difahami dan ditetapkan. Fasa ini penting bagi mengenal pasti faktor keupayaan, ciri atau kualiti sesuatu sistem supaya ia mempunyai nilai dan utiliti kepada pelanggan atau pengguna. Hasil daripada fasa ini akan menjadi asas untuk semua kerja pembangunan sistem yang seterusnya seperti reka bentuk sistem, pembangunan, pengujian, pelaksanaan dan operasi.

Objektif fasa ini adalah untuk menyediakan dokumen spesifikasi keperluan yang diperlukan untuk membangunkan sebuah perisian. Fasa ini adalah satu fasa yang sentiasa berulang-ulang. Oleh itu apabila sebuah projek pembangunan perisian dimulakan, aktiviti pertama adalah untuk menentukan keperluan yang memerlukan proses timbal balik antara pihak berkepentingan seperti pengguna, pelanggan serta pihak pengurusan dan pasukan jurutera keperluan. Komunikasi antara dua pihak ini iaitu pihak berkepentingan dan pihak jurutera keperluan adalah penting untuk membawa kepada proses Kejuruteraan Keperluan yang berjaya.

Peranan Antara Jurutera Keperluan Dan Pihak Berkepentingan Dalam Pemerolehan Keperluan

Menurut Halen Sharp, Anthony Finkelstein dan Galal Galal (1999) menyatakan bahawa stakeholders atau pihak berkepentingan adalah individu atau organisasi yang akan mendapat keuntungan atau kehilangan daripada kejayaan atau kegagalan sesebuah sistem. Mereka termasuklah pelanggan (yang membayar untuk sistem), pemaju (yang mereka bentuk, membina dan menyelenggara sistem) dan pengguna (yang berinteraksi dengan sistem untuk kerja yang mereka lakukan).

Menurut Ralph R. Young (2004), Jurutera Keperluan (Requirements Engineer) atau juga dikenali sebagai Penganalisa Keperluan (Requirements Analyst), Penganalisis Sistem dan Penganalisis Perniagaan IT adalah individu yang mempunyai tanggungjawab utama untuk mendapatkan, menganalisis, membuat validasi, menentukan, membuat verifikasi dan menguruskan keperluan sebenar projek pihak berkepentingan, termasuk pelanggan dan pengguna akhir.

Jika dilihat pada takrifan antara pihak berkepentingan dan jurutera keperluan di atas, sudah tentulah terdapat juga perbezaan peranan di antara kedua pihak tersebut. Pihak berkepentingan memainkan peranan utama di dalam pembangunan sistem. Antara peranan pihak berkepentingan adalah :

  1. Membentuk aktiviti asas keperluan sistem
  2. Membentuk pengesahan sistem dan penerimaan pihak berkepentingan
  3. Bertindak sebagai rujukan untuk aktiviti integrasi dan aktiviti pengesahan
  4. Berkhidmat sebagai komunikasi antara kakitangan teknikal, pengurusan, jabatan kewangan dan komuniti pihak berkepentingan yang lain.

Peranan jurutera keperluan pula adalah mereka hendaklah sentiasa berkomunikasi dan bekerja dengan pihak berkepentingan dalam projek pembangunan sistem dan pengguna akhir sistem yang akan dibangunkan untuk mendapatkan, memahami, menganalisa, dan mendokumenkan keperluan untuk sistem tersebut bagi menyelesaikan masalah tertentu.

Proses utama di dalam kejuruteraan keperluan adalah mendapatkan dan mencari maklumat keperluan daripada pihak berkepentingan. Proses ini dikenali sebagai pemerolehan keperluan atau requirement elicitation. Untuk meneliti keperluan-keperluan yang diperlukan dalam sesebuah sistem, terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan oleh jurutera keperluan. Antara teknik-teknik tersebut adalah teknik tinjauan, teknik kreatif, teknik dokumentasi, teknik pemerhatian dan teknik sokongan.

TEKNIK TINJAUAN / SURVEY TECHNIQUE

Teknik tinjauan merupakan teknik yang sering digunakan dalam pemerolehan keperluan yang mana pemeriksaan atau penelitian dilakukan secara komprehensif. Teknik tinjauan menggunakan kaedah pengumpulan data dengan memberikan pertanyaan dan soalan kepada responden. Kejayaan teknik tinjauan amat bergantung kepada kemahiran linguistik peserta. Dua kaedah pelaksanaan teknik tinjauan adalah melalui kaedah lisan iaitu temuduga dan kaedah bertulis iaitu soal selidik.

TEMUDUGA

Teknik temuduga atau wawancara ini memerlukan jurutera keperluan untuk berkomunikasi dengan bertanya satu atau lebih soalan kepada pihak berkepentingan dan merekodkan jawapan mereka. Temuduga boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu temuduga berstruktur (formal) dan temuduga tidak berstruktur (tidak formal).

Temuduga berstruktur adala temuduga di mana set soalan disediakan terlebih dahulu, kata-kata tepat untuk setiap soalan mesti disimpan dan semua jawapan yang mungkin dipertimbangkan terlebih dahulu. Temuduga tidak berstruktur pula boleh digunakan sebagai penambahan kepada temuduga berstruktur dan boleh dikatakan sebagai mesyuarat tidak formal yang dijalankan apabila jurutera keperluan mempunyai hanya beberapa soalan kecil dan objektif umum. Tujuannya adalah untuk menerokai topik yang membolehkan idea-idea baru dan lebih pemahaman.

Maciaszeck (2001) mengatakan bahawa terdapat banyak faktor untuk sesebuah temuduga itu berjaya tetapi yang paling penting adalah kemahiran komunikasi dan interpersonal penemuduga. Marakas (2006) dan Maciaszeck (2001) telah memberikan beberapa garis panduan yang dapat membantu kejayaan sesebuah temuduga. Antaranya adalah:

  1. Elakkan pendapat, bias dan soalan mengena. Responden harus berasa selesa untuk menyatakan pendapat sebenar mereka.
  2. Jadilah pendengar yang penuh perhatian dan ambil nota dengan teliti. Sekiranya mampu, rekodkan sesi temuduga untuk rujukan kemudiannya.
  3. Jadual wawancara dengan pelbagai pihak berkepentingan yang mewakili pelbagai set perspektif.
  4. Sentiasa berhati-hati dalam mengendalikan jangkaan responden.
  5. Mengekalkan hubungan interpersonal yang baik untuk mendapatkan maklumbalas yang baik dengan menghantar memo tentang rumusan atau kesimpulan temuduga tersebut dalam satu atau dua hari.

SOAL SELIDIK

Soal selidik merupakan satu cara teknik tinjauan secara bertulis. Bergantung kepada objektif yang ingin dicapai, soal selidik mungkin mengandungi soalan terbuka dan tertutup. Soalan terbuka memberikan pihak berkepentingan lebih banyak peluang untuk menjawab dan ianya pasti dapat mengungkap peluang untuk penambahbaikan. Soalan tertutup pula dinilai secara automatik dan dengan itu hanya sesuai dengan sebahagian pihak berkepentingan.

Kejayaan teknik ini sangat bergantung kepada tahap seriusnya pihak berkepentingan mengisi soal selidik. Oleh itu, mereka hendaklah dimaklumkan tentang manfaat yang akan diperoleh daripada jawapan mereka seterusnya memotivasikan mereka untuk menjawab dengan jujur. Sekiranya terdapat sebilangan besar peserta yang hendak ditinjau, soal selidik secara atas talian adalah antara pilihan yang boleh digunakan.

Soal selidik seharusnya direka untuk memudahkan peserta menjawab. Whitten dan Bentley (1998) mengatakan soal selidik boleh terdiri daripada tiga jenis iaitu:

  1. Soalan pelbagai pilihan (Multiple choice questions). Di mana responden mesti memilih satu atau lebih jawapan daripada set jawapan yang disediakan. Ulasan tambahan daripada responden juga dibenarkan.
  2. Soalan penarafan (Rating questions). Di mana responden mesti memilih salah satu daripada siri kategori atau mata yang diberikan.
  3. Soalan kedudukan (Ranking questions). Di mana jawapan yang diberikan sepatutnya disusun mengikut urutan nombor, nilai peratusan atau seumpama dengannya.

TEKNIK KREATIF / CREATIVITY TECHNIQUE

Teknik kreatif bertujuan untuk membangunkan idea-idea baru dan inovatif, memberi gambaran visi awal sistem dan menimbulkan faktor kegembiraan. Satu aspek penting dalam hal ini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk kreativiti. Menurut Maiden dan Gizikis (2001), antara teknik kreatif yang sering digunakan adalah sumbang saran (brainstroming), sumbang saran paradoks (brainstroming paradox), perubahan perspektif (change of perspective) dan teknik analogi (analogy technique).

SUMBANG SARAN

Sumbang saran adalah kaedah yang berkesan untuk mengumpulkan maklumat secara berkumpulan. Sekumpulan 5-20 peserta berkumpul dan membincangkan beberapa topik dengan matlamat untuk menjana idea dalam tempoh masa yang ditetapkan. Setiap idea dicatat tanpa ulasan oleh moderator walaupun idea tersebut kelihatan luar biasa. Peserta juga boleh menggunakan idea peserta lain untuk membangunkan sendiri idea yang baru. Setelah masa yang ditetapkan telah tamat, barulah idea yang dikumpulkan dianalisa secara terperinci.

Sumbang saran akan berkesan apabila berlainan kumpulan pihak berkepentingan mangambil bahagian di dalam sumbang saran untuk turut sama meyumbangkan idea-idea baru. Secara tidak langsung akan membawa keseronokan antara peserta dalam mencari idea dan memberi hasil yang baik. Timothy C. Lethbridge dan Robert Laganière (2005) mencadangkan beberapa pendekatan untuk menganjurkan dan menjalankan sesi sumbang saran yang berkesan. Antaranya adalah:

  1. Memanggil mesyuarat dengan wakil dari semua pihak berkepentingan.
  2. Melantik seorang moderator atau fasilitator yang berpengalaman dalam menjalankan sumbang saran dan memimpin sepanjang proses ini. Moderator atau fasilitator boleh turut sama menyertai perbincangan sekiranya berminat.
  3. Peserta disusun di sekeliling meja dan diberi kertas yang banyak.
  4. Tentukan soalan pencetus. Ini adalah kunci utama dalam proses ini. Para peserta boleh memberikan jawapan dalam satu baris mudah yang lebih daripada sekadar nombor atau maklumbalas ya atau tidak.

TEKNIK ANALOGI

Teknik analogi merupakan kaedah perbandingan. Masalah yang berlaku Dalam bionik, masalah yang berlaku akan dibandingkan dengan situasi semulajadi yang wujud dan penyelesaian secara semulajadi yang disediakan dicari dan dibandingkan kembali dalam sesuatu projek.

Antara tujuan utama teknik analogi digunakan sebagai salah satu teknik dalam pemerolehan keperluan adalah:

  1. Untuk membantu seseorang menambah dan mempercepatkan kefahaman tentang sesuatu perkara.
  2. Untuk membuat justifikasi terhadap rumusan yang dibuat berdasarkan persefahaman antara satu perkara dengan yang lain.
  3. Untuk menonjolkan ciri am yang terdapat pada perkara-perkara tersebut.
  4. Untuk memungkinkan seseorang mencipta analogi tersendiri.

TEKNIK DOKUMENTASI / DOCUMENT-CENTRIC TECHNIQUE

Teknik dokumentasi merupakan teknik di mana penyelesaian dan pengalaman sistem sedia ada digunakan semula. Dengan teknik ini, kita boleh menentukan dengan baik bagaimana fungsi sesebuah sistem dilaksanakan. Sebelum menggunakan teknik ini, tentukan bahagian-bahagian sistem lama yang harus dipindahkan kepada sistem baru dan bahagian akan dibangunkan semula. Antara contoh teknik dokumentasi adalah Sistem Arkeologi, Pembacaan Berdasarkan Perspektif dan Penggunaan Semula.

SISTEM ARKEOLOGI

Sistem Arkeologi adalah teknik yang mengekstrak maklumat yang diperlukan untuk membina sistem baru daripada dokumentasi atau pelaksanaan (kod) sistem lama atau sistem pesaing. Teknik ini sering digunakan apabila pengetahuan tersurat tentang logik sistem telah hilang sebahagian atau keseluruhannya. Dengan menganalisisa kod sedia ada, jurutera keperluan perlu memastikan tidak ada fungsi daripada sistem lama yang akan diabaikan dan logik sistem-sistem lama dikutip semula. Kaedah ini membawa kepada sejumlah besar keperluan yang sangat terperinci dan sangat merumitkan. Walau bagaimanapun, sistem arkeologi adalah satu-satunya teknik yang boleh memastikan bahawa semua fungsi sistem lama akan dilaksanakan dalam sistem baru. Apabila menjadi jelas bahawa sistem warisan dan sistem baru berbeza dalam fungsinya, teknik elicitation tambahan, contohnya, teknik kreativiti, mesti digunakan lebih awal.

PENGGUNAAN SEMULA

Sekiranya sistem yang sama telah dibangunkan, kebanyakan keperluan dan fungsi lain boleh digunakan semula daripada projek sebelumnya. Jurutera keperluan perlulah menkaji dan memeriksa dokumen keperluan yang telah tersedia daripada projek terdahulu. Dengan itu, proses berulang, seperti fungsi “Carian” atau “Simpan” adalah boleh digunakan semula. Dengan teknik ini, hanya sedikit persediaan diperlukan. Segala usaha yang diperlukan terutamanya untuk mencari keperluan yang berkaitan telah dikurangkan.

TEKNIK PEMERHATIAN / OBSERVATION TECHNIQUE

Kebiasaanya pihak berkepentingan mempunyai pengetahuan tentang sesuatu namun sukar untuk menjelaskannya dan kadang-kadang tidak mempunyai masa yang cukup untuk menjelaskannya. Sekiranya perkara ini terjadi penggunaan teknik pemerhatian digalakkan, khususnya untuk menentukan faktor asas.

Teknik pemerhatian memerlukan jurutera keperluan untuk memerhatikan pihak berkepentingan, kebiasaannya pengguna sistem semasa mereka bekerja. Langkah-langkah kerja ditulis dan proses kerja yang relevan kepada pihak berkepentingan dianalisa. Pihak berkepentingan juga boleh memainkan peranan aktif untuk menyampaikan pengetahuannya atau menunjukkan sesuatu kepada jurutera keperluan.
.
Teknik pemerhatian hanya berfungsi jika terdapat sistem di mana proses kerja atau proses aplikasi boleh dilihat dengan baik. Antara teknik-teknik pemerhatian adalah Pemerhatian Lapangan dan Apprenticing.

PEMERHATIAN LAPANGAN

Melalui teknik ini, jurutera keperluan perlu berada di lokasi untuk memerhati dan mendokumenkan proses-proses dan prosedur-prosedur operasi yang dilakukan oleh pihak berkepentingan. Adakalanya teknik ini sangat membantu apabila sesuatu prosedur itu sukar dinyatakan secara lisan tetapi dapat difahami melalui teknik ini. Jurutera keperluan perlu membiasakan diri dengan persekitaran kerja pihak berkepentingan terlebih dahulu. Bagi memudahkan proses ini, penggunaan rakaman video dan audio amat membantu. Walau bagaimanapun, semasa teknik pemerhatian lapangan dilakukan, jurutera keperluan perlu mengelakkan diri daripada mengganggu proses kerja pihak berkepentingan dengan bertanyakan soalan atau penjelasan.

APPRENTICING

Dengan teknik ini, jurutera keperluan perlu belajar secara aktif dan melaksanakan prosedur pihak berkepentingan. Melalui teknik ini, jurutera keperluan diibaratkan sebagai seorang pelatih baru yang digalakkan untuk bertanya tentang prosedur operasi yang tidak jelas atau kompleks. Dengan itu, jurutera keperluan boleh mengalami sendiri keperluan dan mendapat gambaran yang tepat tentang proses kerja pihak berkepentingan dengan mudah tanpa perlu dijelaskan. Segala penemuan dalam teknik ini membolehkan jurutera keperluan mendapat keperluan terperinci untuk sistem sokongan. Walau bagaimanapun, untuk sistem kritikal dan bahaya seperti kawalan trafik udara, teknik ini tidak praktikal untuk dijalankan oleh jurutera keperluan.

TEKNIK SOKONGAN / SUPPORT TECHNIQUE

Teknik sokongan berfungsi sebagai tambahan kepada teknik pemerolehan keperluan yang lain dan untuk mengimbangi kelemahan dan kecacatan kepada teknik pemerolehan keperluan yang digunakan. Antara contoh teknik-teknik sokongan adalah Peta Minda, Bengkel, Kad CRC, Rakaman Audio dan Video, Model Kes Penggunaan (Use Case Modelling) dan Prototaip.

PETA MINDA

Menurut Tee et al. (2009), peta minda adalah suatu lakaran yang mempunyai tajuk atau tema di bahagian tengahnya dan beberapa garisan yang dikembangkan dari sekelilingnya untuk menggambarkan idea-idea penting serta dengan cabang-cabang kecil ini sebagai huraiannya. Di dalam pemerolehan keperluan, teknik ini biasanya digunakan sebagai sokongan di dalam teknik sumbang saran atau sumbang saran paradoks.

Melalui teknik peta minda ini, jurutera keperluan boleh mencatat nota dan mengingat dengan mudah di samping menggabungkan serta menyeimbangkan kegunaan otak kanan dan otak kiri. Peta minda dapat diaplikasikan di dalam pemerolehan keperluan untuk mencatat isi dan kata kunci penting seterusnya menjadikan peta minda ini suatu teknik memori atau untuk mengeluarkan idea yang kompleks.

RAKAMAN AUDIO DAN VIDEO

Teknik rakaman audio dan video digunakan apabila pihak berkepentingan tidak sentiasa ada atau melibatkan sistem yang kritikal. Teknik ini juga sangat membantu apabila digunakan semasa teknik pemerhatian lapangan dijalankan bagi merekodkan segala aktiviti dan proses prosedur oleh pihak berkepentingan. Dengan teknik ini, jurutera keperluan boleh menilai dan menganalisa rakaman audio dan video di kemudian hari.

KESIMPULAN

Pemerolehan keperluan merupakan aktiviti utama di dalam kejuruteraan keperluan. Selain daripada dokumen, laporan dan sistem lama, pihak berkepentingan merupakn sumber utama bagi jurutera keperluan atau penganalisa sistem untuk memperolehi keperluan. Menjadi hak dan tanggungjawab bersama antara pihak berkepentingan dan jurutera keperluan untuk bersetuju bekerjasama dan berkomunikasi bagi memperoleh keperluan yang penting dalam penyelesaian masalah dan pembangunan sistem. Pemilihan teknik pemerolehan keperluan yang tepat untuk sesuatu projek adalah penting dengan mengambil kira kekangan-kekangan yang ada.

RUJUKAN / REFERENSI

  1. IEEE (1990). IEEE Std 610.12-1990. IEEE Standard Glossary of Software Engineering Terminology. New York: The Institute of Electrical and Electronics Engineers, Inc.
  2. Zave, P. (1997). Classification of Research Efforts in Requirements Engineering. ACM Computing Surveys, 29(4): 315-321.
  3. Sharp, H., Finkelstein, A. & Galal, G. (1999). Stakeholder Identification in the Requirements Engineering Process. Workshop on Requirements Engineering Processes (REP’99) – DEXA’99, Florence, Italy, 1-3 September 1999, pp. 387-391.
  4. Young, R. R. (2004). The Requirements Engineering Handbook. Norwood: Artech House
  5. Maciaszek, L.A. (2001). Requirements analysis and system design: Developing information systems with UML. Harlow: Addison-Wesley.
  6. Marakas, M. (2006). Systems analysis & design: An active approach. (2nd ed). Boston: Irwin McGraw-Hill.
  7. Whitten, J.L. & Bentley, L.D. (1998) Systems analysis and design (4th ed), Irwin McGraw-Hill. 724.
  8. N. Maiden, A. Gizikis: Where Do Requirements Come From? IEEE Software 18, 5, 2001, pp. 10–12.
  9. Lethbridge T. C., Laganière R. (2005). Object-Oriented Software Engineering. Practical Software Development Using UML and Java (2nd Edition). Berkshire: McGraw-Hill
  10. Tee, Tze Kiong,Jailani Bin Md Yunos, Baharom Bin Mohamad, Widad Bt. Othmandan Yee, Mei Heong (2009). Penilaian Aras Kemahiran Berfikir Menerusi Ujian SEA, Rubrik Kemahiran Berfikir Dan Rubrik Peta Minda. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Sains dan Teknologi 2009 (PKPST 2009). m.s 5-14.
  11. Sommerville, I., and Sawyer, P. (1997). Requirements engineering. A good practice guide. Chichester: John Wiley & Sons.
  12. SEBoK Guide To The Systems Engineering Body of Knowledge. (2019). Stakeholder Needs and Requirements. Dimuat turun daripada https://www.sebokwiki.org/wiki/Stakeholder_Needs_and_Requirements
  13. Nordmeyer, B. Requirement Analyst Job Description. Dimuat turun daripada https://work.chron.com/requirements-analyst-job-description-20644.html
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Teknik-Teknik Pemerolehan Keperluan Dalam Kejuruteraan Keperluan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more