Zakat Membersihkan Dosa dan Menyucikan Jiwa : Pena Hijau

Zakat Membersihkan Dosa dan Menyucikan Jiwa

nabi muhammad saw
Menemani Rasulullah SAW Idaman Setiap Mukmin
14 Oct 2021
musibah banjir
Musibah Penghapus Dosa Bagi Orang Beriman
23 Dec 2021
nabi muhammad saw
Menemani Rasulullah SAW Idaman Setiap Mukmin
14 Oct 2021
musibah banjir
Musibah Penghapus Dosa Bagi Orang Beriman
23 Dec 2021
zakat
icon follow us

Makna Zakat dari segi bahasa ialah: bersih, suci, subur, bertambah, berkembang, berkat dan baik. Dari segi syarak pula ialah: Mengeluarkan sejumlah harta yang tertentu mengikut kadar yang tertentu yang wajib diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya.

Zakat merupakan rukun Islam yang keempat yang wajib ditunaikan oleh setiap individu yang mencukupi syarat. Menunaikan zakat mempunyai pelbagai hikmat dan kelebihan. Antaranya ialah :

1. Zakat Membersihkan Jiwa

Zakat membersihkan jiwa pengeluar dari akhlak-akhlak yang buruk seperti bakhil, kedekut, mencintai harta dan sebagainya serta mensucikanya dari dosa dan menghindarkannya dari seksa Allah. Firman Allah SWT dalam surah al Taubah ayat 103 :

 خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Yang bermaksud : Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

2. Zakat Tanda Syukur

Sebagai membuktikan keimanan yang sebenar dan menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT di atas nikmat yang dikurniakan-Nya. Malah Allah SWT juga berjanji akan menambahkan lagi nikmat jika ia disyukuri. Firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7 :

 وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ

Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.

 

3. Zakat Membentuk Persaudaraan

Menanamkan rasa kasih sayang dan belas kasihan di kalangan orang-orang yang beriman, mengurangkan jurang pemisahan dalam kalangan masyarakat muslim baik yang kaya mau pun yang miskin dalam mengecapi nikmat harta, seterusnya dapat membentuk sebuah masyarakat yang erat hubungan persaudaraannya,suka tolong menolong antara satu sama lain, selaras dengan perintah Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 2 :

 وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ …

Yang bermaksud: “… Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.

 

4. Zakat Menyuburkan Harta

Zakat menyuburkan harta dan menambahkan pahala serta keberkatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhrat. Firman Allah dalam surah ar Rum ayat 39 :

 وَمَآ ءَاتَيْتُم مِّن رِّبًا لِّيَرْبُوَا۟ فِىٓ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ فَلَا يَرْبُوا۟ عِندَ ٱللَّهِ ۖ وَمَآ ءَاتَيْتُم مِّن زَكَوٰةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُضْعِفُونَ

Yang bermaksud: Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah (zakat) yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.

Dari Abu Hurairah RA, dari Rasulullah SAW. sabdanya :

“Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawadhuk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya.”

(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2218)

Kesimpulan

Akhir kata, kepada mereka yang belum menunaikan kewajipan zakat, marilah sama-sama kita bersegera melaksanakannya sebelum berakhirnya tahun 2021. Semoga Allah SWT melimpah ruahkan rezeki dan melipat gandakannya pada tahun-tahun mendatang. Amiin Ya Rabbal Alamiin.

 ۞ إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Surah At-Taubah : 60

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Zakat Membersihkan Dosa dan Menyucikan Jiwa
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more