Dapatkan suasana ibarat rumahku syurgaku : Pena Hijau

Dapatkan suasana ibarat rumahku syurgaku

Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan
24 Jul 2020
Kesibukan bukan penghalang bersama anak-anak
25 Jul 2020
Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan
24 Jul 2020
Kesibukan bukan penghalang bersama anak-anak
25 Jul 2020
icon follow us

Dikurniakan sebuah keluarga yang bahagia adalah rezeki yang sangat berharga dan menjadi impian setiap insan di dunia ini. Pendek kata, semua di antara kita inginkan sebuah rumah yang bukan sahaja dijadikan sebagai tempat berlindung malah diibaratkan sebagai sebuah syurga dunia.

Konsep rumahku syurgaku bukanlah hanya tertumpu kepada rumah yang besar, perabot yang mewah tetapi ianya mempunyai sebuah nilai kekeluargaan dan kasih sayang yang besar di antara setiap penghuni dalam rumah tersebut.

Memang diakui dengan harga rumah yang semakin tinggi, bukanlah semua orang mampu memliki rumah besar yang diimpikan. Namun di mana-mana kita tinggal, asalkan jiwa tenang, penuh dengan kasih sayang dan kebahagian, itulah tandanya konsep rumahku syurgaku itu berjaya walaupun mungkin hanya tinggal di rumah yang kecil sahaja.

Selain duniawi dan material, faktor emosi dan rohani turut mempengaruhi kebahagiaan seseorang. Ada orang yang mempunyai rumah mewah yang tersergam indah, tetapi tidak bahagia dan tidak dapat tinggal di dalam rumahnya untuk jangka masa yang panjang.

Untuk itu, ada beberapa cadangan agar kita sekeluarga sentiasa harmoni dan saling berkasih sayang. Bertikam lidah, bermasam muka dan berkecil hati itu perkara biasa. Namun semua itu pasti diatasi jika seluruh keluarga mengambil peranan masing-masing dengan jayanya.

Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan bagi mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan di rumah ialah:

Solat berjemaah bersama-sama

Jika doa adalah senjata umat Islam, solat pula adalah tiang agama Islam. Hampir seharian kita bekerja mencari rezeki. Pastikan sekurang-kurangnya kita menggunakan satu daripada lima waktu solat untuk kita berjemaah bersama ahli keluarga. Solat berjemaah ini dapat menjalinkan hubungan kemesraan dan mengeratkan lagi hubungan antara  ahli keluarga. Suami isteri saling bertambah sayang, anak-anak saling menghormati, masing-masing saling mengikat kebahagiaan.

Cipta suasana harmoni

Masa yang ada di rumah eloklah diisi dengan aktiviti yang berfaedah bersama-sama ahli keluarga yang lain. Antaranya ialah saling bantu-mebantu membersihkan dan mengemas rumah. Usahlah dibiarkan isteri sahaja yang melakukan tugasan tersebut. Rumah yang selesa mewujudkan suasana yang lebih harmoni ketika berada di dalam rumah. Fikiran juga menjadi tenang. Rumah bersih dan kemas, hati juga menjadi lapang.

Saling berkomunikasi

Jangan menjadikan teknologi moden sebagai batu penghalang untuk kita mencapai keharmonian kekeluargaan. Elakkan membawa kesibukan luar ke dalam rumah. Komunikasi sangat penting dalam sesebuah hubungan. Jika tidak berkomunikasi, bagaimana perhubungan dapat dijalinkan? Tanyalah  apa sahaja yang boleh memulakan perbualan ketika berada di dalam rumah. Meskipun ia bukanlah pertanyaan yang penting.

Rumahku, syurgaku bukanlah satu perkara yang susah untuk dicapai, namun ianya juga bukanlah satu perkara yang mudah untuk dimiliki. Kita perlu tahu tugas dan peranan masing-masing untuk mendapatkan suasana yang diibaratkan sebagai rumahku syurgaku.

Sumber : Salam Web Today

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Dapatkan suasana ibarat rumahku syurgaku
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more