Cabaran berkahwin campur : Pena Hijau
Kaedah komunikasi yang baik dalam keluarga
25 Aug 2020
Mengenali cara berpakaian Rasulullah SAW
26 Aug 2020
Kaedah komunikasi yang baik dalam keluarga
25 Aug 2020
Mengenali cara berpakaian Rasulullah SAW
26 Aug 2020
icon follow us

Sayyid Qutub menjelaskan bahawa perkahwinan atau pernikahan merupakan hubungan yang paling mendalam, kuat dan kekal yang mengikat antara dua pasangan. Hubungan ini memerlukan kepada perpaduan hati dan titik pertemuan dalam satu ikatan yang kukuh.

Bagi mencapai perpaduan hati, perlulah bersatu di atas satu akidah dan tujuan hidup, kerana dengan akidah dapat menyatukan jiwa pasangan.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)” (Surah al-Hujuraat: Ayat 13)

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan kewujudan kita di muka bumi ini adalah untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain. Tiada batasan perkahwinan ditetapkan, sama ada keturunan, negeri dan negara.

Kahwin campur boleh diertikan sebagai perkahwinan berlainan budaya dan adat resam. Tujuan perkahwinan adalah untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain dan untuk membiakkan keturunan. Melalui perkahwinan dengan satu akidah juga, Islam dapat disebarkan ke seluruh pelusuk dunia.

Terdapat pelbagai cabaran mendepani masalah perkahwinan campur, namun persediaan sebelum perkahwinan perlulah disediakan, antaranya:

Memahami budaya dan adat resam

Sebagai persediaan sebelum perkahwinan, setiap pasangan perlulah memahami terlebih dahulu budaya pasangan masing-masing, seperti jenis masakan dan minuman, mencium tangan ketika bersalam bagi adat Melayu. Hal ini memudahkan kehidupan berkeluarga dapat berjalan dengan lancar.

Memahami bahasa komunikasi

Kedua-dua pasangan perlulah menggunakan satu bahasa yang dapat difahami antara kedua-duanya. Contohnya, bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Melayu. Sekiranya kedua-dua pasangan ingin mengekalkan bahasa jati masing-masing, maka anak-anak yang lahir hasil dari perkahwinan campur ini, perlulah diajarkan kepada mereka sekurang-kurangnya dua bahasa ibunda sebelah ibu dan bapa. Ia dapat mengekalkan bahasa jati kepada generasi seterusnya.

Tahu berkomunikasi

Bagi wanita Malaysia yang berkahwin dengan masyarakat luar contohnya, dia perlulah mengetahui cara berhubung dengan ibu dan bapa mertuanya serta keluarga suaminya, agar hubungan dapat dijalinkan dengan baik. Begitu juga bagi pasangannya perlu mengetahui cara komunikasi ringkas menunjukkan tanda hormat kepada kedua ibu bapa mertuanya.

Saling memahami

Sebagai pasangan suami isteri, perlulah saling faham memahami antara satu sama lain, seperti minat dan hobi semasa lapang, makanan kegemaran dan sebagainya. Ia dapat mengeratkan lagi hubungan sesama pasangan.

Oleh itu, keserasian antara pasangan yang berlainan budaya dan adat resam tiada penghalang untuk mewujudkan sebuah rumah tangga yang harmoni. Selagi akidah dapat dijaga, hubungan kekeluargaan dapat dijalinkan dengan mawaddah dan rahmah.

Sumber : Salam Web Today

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Cabaran berkahwin campur
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more