
Memilih makanan halal dalam kehidupan
7 Aug 2020
Hagia Sophia kembali menjadi masjid
10 Aug 2020

Ketika Ila disahkan mengandung anak pertama, dia dan suami bersetuju agar anak yang bakal lahir nanti dibesarkan di persekitaran kampung. Mereka berpendapat, anak-anak yang terdedah dengan kehidupan kota seperti Kuala Lumpur, akan mudah hanyut sekiranya tidak mendapat perhatian sepenuhnya.
Demi kehidupan yang lebih baik, Ila berhenti kerja, berjauhan dengan suami dan memulakan kerjaya baharu di negeri kelahirannya, Melaka. Setiap hujung minggu, mereka menghabiskan waktu bersama sebelum suami pulang ke Kuala Lumpur semula. Begitulah kehidupan yang diharungi sehingga anak keempat lahir.
Meskipun banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa diharungi sepanjang perjalanan sebagai keluarga komuter, namun pada akhirnya adalah dengan keimanan dan keyakinan terhadap ketentuan Allah SWT kunci segala-galanya. Mereka yakin setiap kejadian yang berlaku di muka bumi ini dan kepada setiap manusia mengandungi hikmah tersendiri dan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang ditakdirkan-Nya.
Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan boleh jadi kamu membenci kepada sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Hari ini, anak pertama mereka sudah berusia 25 tahun dan kehidupan sebagai keluarga komuter tidak pernah terhenti sejak mereka membuat keputusan itu. Meskipun terpaksa memainkan peranan sebagai ibu dan ayah membesarkan empat orang anak bersendirian, namun pada akhirnya Ila dan suami berjaya mengharungi semua cabaran itu.
Sesungguhnya Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Jikalau kamu bersungguh-sungguh reda dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta berkata, “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya dan demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka).” (Surah at-Taubah, ayat 59)
Diceritakan suatu hari seorang lelaki tawaf mengelilingi Kaabah sambil berkata, “Wahai Tuhanku adakah Engkau reda kepadaku?” Kebetulan di belakangnya Imam Syafie r.a yang bertanya balik kepada lelaki itu, “Adakah kamu reda segala diberikan Allah sehingga Allah juga boleh reda kepada engkau?”
Lelaki itu menjawab: “Subhanallah, aku reda apa yang datang dari-Nya dan aku mengharapkan reda-Nya. Apa maksud kamu sebenarnya?” tanya lelaki itu kepada Imam Syafie r.a. Imam Syafie menjawab, “Jika kamu bergembira mendapat ujian sama seperti kamu gembira mendapat nikmat itulah maksud kamu reda sesuatu yang didatangkan oleh Allah kepada kamu.”
Ini adalah antara kisah yang berlaku seputar kehidupan keluarga komuter, yang hidup berjauhan disebabkan faktor ekonomi dan sosial. Rasulullah SAW menggambarkan seorang Mukmin berada pada tahap luar biasa apabila mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan.
Sabda Rasulullah SAW: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Menempuhi penghidupan keluarga komuter bukanlah suatu dugaan atau cabaran sebaliknya adalah suatu rahmat Allah SWT yang dimiliki oleh sebilangan kecil manusia. Justeru, redakanlah ia agar menjadi suatu rahmat yang amat bernilai.
Sumber : Salam Web Today