Kalau Ziarah Kubur, Jangan Cabut Rumput? Ini Sebabnya
6 Aug 2020Berapa Lama Daging Korban Boleh Disimpan?
7 Aug 2020Semua orang suka berhibur. Bagaimana bentuk hiburan itu bergantung pada kepada kecenderungan jiwa masing-masing. Dunia moden kini, terlalu banyak konsep lagu yang diperdengarkan dan menarik perhatian pendengar.
Dewasa ini, lagu yang berkonsepkan Islamik diperluaskan fungsinya apabila doa, selawat, wirid harian dan terjemahan surah pendek juga dilagukan. Lirik dan melodi lebih segar dan menyenangkan.
Tentu sekali kita pernah mendengar nyanyian doa di siaran radio, televisyan atau di media sosial. Jika difikirkan, terdapat kebaikan dan kelebihan lagu-lagu doa sebegini. Contohnya, lagu doa Duha, selawat, zikir, doa naik kenderaan, doa ibu bapa, doa Rabitah dan banyak lagi.
Antara kebaikannya, lagu doa yang dinyanyikan mudah dihafal oleh sesiapa sahaja. Bagi kita yang tidak pernah membaca mana-mana doa tertentu, boleh sahaja mendengar dan sambil mengikut alunan. Bait-bait doa dapat diingat apabila acapkali diputarkan.
Selain itu, doa yang dilagukan juga mampu menarik perhatian kanak-kanak mahupun orang dewasa. Boleh jadi, ada lagu doa yang kita sukai, bukan? Jika setakat untuk membaca atau menghafalnya sahaja, belum tentu tercapai dek kesibukan harian yang tiada henti.
Menariknya, ada doa yang dinyanyikan dan disertakan maksudnya. Antaranya doa duha nyanyian oleh penasyid kumpulan Inteam. Manakala surah al-Fatihah nyanyian adik Putri anak kepada penyanyi tanahair iaitu Nora, banyak membantu kita menghafal dan memahami maksud Ummul Kitab. Malahan, lagu doa seperti ini menjadi eleman bahan bantu mengajar bagi para guru di sekolah.
Ia cukup menarik dan sangat bermanfaat. Usaha seperti ini amat membantu kerja-kerja dakwah Islam dalam bentuk yang lebih santai dan mudah diterima. Meskipun cara mereka hanya dengan berkarya dan menghiburkan para pendengar.
Selain dua kebaikan yang disebut di atas, doa yang dihafal atau diingat secara tidak langsung tadi boleh dibaca sesuai dengan waktunya. Malahan ia bukanlah sesuatu yang merugikan. Hakikatnya, doa apapun perlu sentiasa dibaca. Bila doa sudah bertakhta di puncak ingatan, maka hati kita tentu berasa gembira dan tenang.
Menyanyikan doa hendaklah dilakukan dengan merendahkan hati dan menjiwainya. Selagi ia tidak merubah lafaz dan makna, meraikan tartil dan tajwidnya, maka ia diharuskan dalam Islam.
Apabila doa menjadi lagu, kita perlu posisikan ia pada sudut pandang bimbingan ke atas diri kita. Asalkan ia tidak melanggari syariat-Nya dan mengikut sunah Nabi Muhammad SAW, walau hanya secebis usaha tetapi tetap bermanfaat.
Sumber : Salam Web Today