Suami Isteri Nak Bahagia Bersama, Tolong Sama-Sama Jangan Buat 7 Perkara Ni.
17 Sep 2020Amalan Doa Pagi dan Petang
18 Sep 2020Setiap daripada kita mahu hidup tenang. Apabila kita tenang kita akan bahagia dan gembira. Kita lihat apa sahaja di sekeliling kita dengan penuh bahagia kerana yakin dengan kasih sayang Allah SWT. Kita yakin Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kita reda dan bersyukur dengan apa yang Allah berikan kepada kita.
Apabila kita bangun pagi kita niatkan untuk bersyukur kepada Allah SWT. Siapa yang hendak tenang dan bahagia, selalulah bersedekah. Lebih banyak kita memberi maka lebih banyak yang kita akan perolehi. Kita doakan orang lain bahagia, maka sudah tentu kita pun akan berasa bahagia.
Allah SWT Maha Tahu apa yang hamba-Nya perlukan dalam kehidupan ini. Sepertimana firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Rad, ayat 28)
Setiap mukmin pasti akan diuji untuk melihat sejauh mana keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT. Tindakan mempersoal atau menolak takdir-Nya perlu dihindari. Kita bersangka baik dengan setiap ujian Allah dan anggaplah ujian sebagai proses pembelajaran untuk meneguhkan keimanan diri serta membuang kegelisahan terhadap masa hadapan sekali gus membentuk ketenangan dalam hati.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang Allah SWT telah berfirman: “Aku Allah, menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada-Ku, maka baginya sangkaan buruknya kepada-Ku.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Jika benar hidup kita ini sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, maka jagalah solat lima waktu dan tambahlah dengan melakukan perkara kebaikan seperti berpuasa sunat dan bersedekah. Allah tidak akan mensia-siakan ganjaran kepada orang yang memiliki keyakinan kepada-Nya. Apatah lagi Allah tidak pernah memungkiri janji.
Usah kita bandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Ia hanya akan menimbulkan perasaan iri serta benci, dan mahu bersaing. Jika jiran atau rakan kita mempunyai kereta besar, emas berlian, beg berjenama, kita juga mahu memilikinya. Jika jiran kita bercuti ke luar negara, kita pun mahu melakukan perkara yang sama.
Tidak salah mempunyai impian besar, namun hendaklah selalu ukur baju di badan sendiri. Inilah salah satu punca kenapa hidup kita sentiasa tidak tenang. Kita terlalu memikirkan hal orang lain sedangkan apa yang dikurniakan Allah SWT itu adalah yang terbaik untuk kita ketika itu.
Sesungguhnya Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Talaq, ayat 2 & 3)
Percaya dan yakinlah dengan Allah SWT dan kita akan berasa dilindungi dan dikasihi serta hidup dengan lebih tenang.
Sumber : Salam Web Today