Mula sesuatu perkara! Segalanya itu dirancang Allah SWT : Pena Hijau

Mula sesuatu perkara! Segalanya itu dirancang Allah SWT

dreamstime_s_27671011
Ini petua untuk menjadi pelajar yang cemerlang
21 Sep 2020
dreamstime_s_196166230
Media sosial dan budaya sopan santun dalam masyarakat
22 Sep 2020
dreamstime_s_27671011
Ini petua untuk menjadi pelajar yang cemerlang
21 Sep 2020
dreamstime_s_196166230
Media sosial dan budaya sopan santun dalam masyarakat
22 Sep 2020
dreamstime_s_142327938
icon follow us

Pepatah Melayu ada berkata, ‘Sediakan payung sebelum hujan’. Pepatah ini menggunakan simbolik hujan, di mana ia seringkali datang tanpa diduga meskipun didahului oleh guruh yang hadir selaku petanda. Dengan hanya melihat hubung kait antara hujan yang selalunya hadir tanpa diduga dengan payung yang menyelamatkan pemiliknya daripada basah lencun dek hujan, maksud pepatah ini sudah pun boleh diketahui.

Pepatah ini mengajar manusia agar sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan, dengan persiapan yang rapi acap kali merencana sesuatu. Apabila apa yang dirancang tidak menjadi atau berdepan masalah, sudah ada penyelesaian atau contigency plan yang sudah diatur bagi memastikan kelancaran apa yang dirancang. Walaupun akan wujud ketidaksempurnaan dalam perkara yang dirancang, sekurang-kurangnya rancangan tersebut dapat dijalankan sehingga selesai. Sama juga seperti pepatah ini, meskipun terkena beberapa titik hujan, namun sekurang-kurangnya payung telah pun dibuka dan tidak basah sepanjang perjalanan.

Walau bagaimanapun, terlalu banyak berfikir mengenai sesuatu perkara yang belum terjadi mampu menghalang seseorang itu daripada melaksanakan apa yang dirancangnya. Sebagai contoh, seorang yang mahu menceburi perniagaan secara dalam talian terlalu memikirkan halangan atau cabaran yang bakal dihadapinya, sedangkan dirinya masih belum mula berniaga atau sekurang-kurangnya berpengalaman dalam perniagaan secara dalam talian. Sudah tentu, perkara ini mampu merosakkan keyakinan dirinya, malahan boleh menyebabkan apa yang dirancang terkubur begitu sahaja kerana terlalu takutkan perkara yang belum terjadi.

Begitu juga dengan seorang penulis yang tiba-tiba ketandusan idea, dan terlalu banyak berfikir sebab-sebab ketandusan yang tiba-tiba menyerang mindanya. Padahal dirinya belum mula memegang pena atau membiarkan jari jemari mula menari di atas papan kekunci komputernya. Bukankah sepatutnya seorang penulis itu merisaukan bilakah dirinya akan mula menulis, dan bukannya sebab mengapa dirinya tidak bisa menulis?

Dalam Al-Quran, Allah S.W.T mengajar hamba-Nya untuk bertawakal selepas berazam membuat sesuatu, sebagaimana dirakam dalam ayat 159 Surah Al-i ‘Imran yang bermaksud: “… Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Kamus Bahasa Arab Kontemperori (Mu’jam Al-Lughatul ‘Arobiah Al-Mu’asiroh) mendefinisikan tawakal sebagai ‘Pergantungan kepada Allah S.W.T dan menyerahkan segalanya kepada-Nya’. Oleh itu, jelas maksud tawakal ialah setelah seseorang melakukan sesuatu atau merancang untuk melakukan sesuatu, dirinya bergantung kepada Allah S.W.T dan menyerahkan apa jua keputusan yang ditetapkan oleh-Nya sama ada berhasil ataupun tidak.

Apabila mahu merancang sesuatu, tidak salah malahan sebenarnya adalah bijak untuk turut memikirkan implikasi atau permasalahan yang mungkin berlaku, di mana ia berpotensi menghalang atau menggagalkan apa yang dirancang, agar ada rancangan susulan yang boleh difikirkan. Namun, yang salah sebenarnya ialah terlalu banyak memikirkannya, padahal rancangan tersebut belum direalisasikan apatah lagi dimulakan.

Oleh itu, rancanglah sesuatu perkara dengan rapi, dengan mengambil kira segala implikasi atau permasalahan yang mungkin berlaku. Setelah itu, bertawakallah dan serahkanlah segalanya kepada Allah S.W.T, agar hadir bantuan-Nya dan dikurniakan kejayaan di akhirnya.

Sediakanlah payung sebelum hujan, kerana hujan itu datang secara tiba-tiba. Namun, bertawakallah kepada Allah S.W.T tatkala payung telah disediakan. Jika hujan tidak datang pada hari itu, sekurang-kurangnya ia boleh memayungi diri daripada terik mentari.

Sumber : Salam Web Today

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Mula sesuatu perkara! Segalanya itu dirancang Allah SWT
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more