Jaga Adab Elakkan Makan Bersama Suami Atau Isteri Orang Lain Satu Meja
11 Oct 2020Membesarkan anak remaja dengan kaedah Islam
12 Oct 2020Allah SWT telah menjadikan manusia berpasang-pasangan, lelaki dan wanita. Telah menjadi lumrah, kejadian berbeza lelaki dan wanita ini dari segi fitrah menjadikan lelaki dan wanita saling tertarik di antara satu sama lain.
Kehidupan dan keperluan hidup di dunia ini menyebabkan perlunya ada pergaulan sesama manusia. Dalam kehidupan pula sudah pastinya berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Tambahan pula pada zaman sekarang semakin ramai kaum wanita yang turut bekerja dan pastinya pergaulan antara jantina tidak dapat dielakkan.
Kebiasaan ini kadang-kala menyebabkan ramai yang terlupa tentang batas-batas pergaulan antara jantina sepertimana yang telah dilandaskan oleh syariat. Sebagaimana yang telah disyariatkan, batas-batas pergaulan sesama lelaki dan perempuan haruslah dijaga.
Firman Allah SWT dalam surah Al- Israa’, ayat 23 yang membawa maksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
Secara asasnya, pergaulan antara wanita ajnabi adalah diharamkan apabila ia boleh menjurus ke arah maksiat dan penzinaan. Pandangan ulama, Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengenai pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah seperti di bawah.
Pergaulan di antara lelaki dan wanita dibolehkan selagi mana bertujuan untuk kebaikan dan atas perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Pergaulan ini bagaimanpun wajib mengikut kehendak dan ajaran Islam serta menitikberatkan adab dan akidah yang telah diajar oleh Islam.
Pergaulan di antara perempuan dan lelaki ajnabi kerana keperluan syarie. Keperluan syarie ini merangkumi perkara-perkara berikut:
Pergaulan lelaki ajnabi dan wanita disebabkan urusan jual beli: Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak seperti menjaga dan menutup aurat, menundukkan pandangan dan bercakap perkara yang tidak menjurus ke arah maksiat.
Pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi kerana tuntutan kerja: Dalam zaman serba mencabar ini, semakin ramai wanita yang terpaksa bekerja bagi membantu tugas suami mencukupkan perbelanjaan seharian isi rumah. Namun batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam perlulah dipatuhi.
Pergaulan lelaki dan perempuan di dalam pengangkutan awam: Kepadatan penduduk dan ramainya pengguna yang menggunakan perkhidmatan awam menyebabkan kesukaran untuk menjaga batas pergaulan di antara wanita dan lelaki ajnabi ketika di dalam pengangkutan awam.
Ada masanya lelaki dan wanita terpaksa berhimpit-himpit atau duduk sebelah menyebelah tanpa boleh dielakkan. Usaha kerajaan menyediakan gerabak khas untuk kaum wanita adalah sesuatu yang harus dipuji.
Kebebasan yang diberikan tidak seharusnya disalahgunakan. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting mendidik anak-anak untuk menjaga batas pergaulan antara jantina sejak kecil lagi.
Jika tidak diterapkan dari kecil, maka akhirnya nanti semakin sukar memastikan pergaulan di antara jantina ini dapat dipatuhi sebagaimana yang telah dilandaskan oleh syariah. Bak kata pepatah, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Sumber : Salam Web Today