Ibrah daripada kemusnahan Kota Pompeii
28 Nov 2020Ijab dan qabul dalam akad jual beli dalam talian? Ini penjelasannya
28 Nov 2020Bersangka baik sesama manusia | Husnuzon atau bersangka baik sesama manusia merupakan satu perkara besar dan penting untuk dijadikan amalan bagi setiap insan yang bergelar mukmin. Sangkaan biasanya berkait dengan kepercayaan.
Kepercayaan itu berkait rapat dengan tauhid dan iman. Sudah tentu siapa sahaja yang bersangka buruk sesama makhluk, maka tidak sempurnalah imannya.
Bersangka buruk dan mencari kesalahan orang lain adalah perbuatan yang sangat dimurkai Allah SWT. Sifat buruk sangka boleh membawa kepada perpecahan ummah. Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka sesama insan wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.
Kita bersangka baik dengan memberi andaian yang baik kepada seseorang walaupun ia tidak jelas baik atau buruknya. Sebagai contoh, mengandaikan sikap seseorang yang kelihatan sopan dan penyayang.
Tetapi dalam masa yang sama, ada tanda-tanda yang tidak menyenangkan dalam dirinya seperti jarang datang ke masjid, rasuah, menipu rakyat dan sebagainya. Dalam situasi ini, kita anggaplah dia seorang yang baik selagi tiada bukti jelas. Menuduh tanpa usul periksa akan mengundang fitnah.
Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 12 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٢
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Islam menganjurkan umatnya supaya bersangka baik kerana ia adalah sifat yang terpuji. Kelebihan sifat ini adalah ia mampu melapangkan dada dan menjernihkan minda dengan terhindarnya daripada perasaan sakit hati, dengki atau memikirkan sesuatu yang buruk.
Bersangka baik juga boleh mengukuh ikatan silaturahim dalam kalangan masyarakat, pemimpin, jiran tetangga, rakan sekerja, sahabat baik atau dalam kalangan adik-beradik. Sekiranya kita mengambil pendekatan yang negatif, apabila berhadapan dengan seseorang atau pihak yang diragui kebaikannya, kita akan mudah membuat andaian buruk kepadanya.
Lebih buruk lagi sekiranya tanggapan itu diiringi dengan tindakan menghukum tanpa tabayyun atau usul periksa. Sehingga berasa jijik sekali gus menghapuskan budi atau jasa baik pihak yang dipandang serong itu.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:
“Jauhilah kamu semua daripada buruk sangka. Sesungguhnya buruk sangka adalah percakapan yang paling dusta. Janganlah kamu saling berdengki, saling memulau dan saling membenci. Jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Begitulah peri pentingnya untuk kita bersangka baik. Ia boleh membawa kepada pengukuhan persaudaraan dalam Islam kerana bersangka buruk hanya akan membawa kepada perpecahan dan kebencian dalam diri.
Apabila kita menyebar fitnah dan menghukum seseorang yang belum terbukti akan kesalahannya, malah sudah tersebar di media-media sosial, kita sebenarnya tidak bersikap adil. Kita juga jangan mudah terpengaruh dengan sangkaan yang dibuat oleh orang lain sedangkan kita tidak kenal orang yang cuba diaibkan itu.
Justeru, marilah kita dahulukan bersangka baik daripada bersangka buruk. Semoga hidup kita dan seluruh umat Islam sentiasa dipulihara Allah SWT.