Maghribi – Bazar Jama al-Fana, lima zon iklim, dan universiti tertua dunia : Pena Hijau

Maghribi – Bazar Jama al-Fana, lima zon iklim, dan universiti tertua dunia

Amalan solat di masjid
Amalan solat di masjid
13 Nov 2020
dreamstime_s_129319418
Bahagia hingga ke Syurga (1): hadiah tanda ingatan
16 Nov 2020
Amalan solat di masjid
Amalan solat di masjid
13 Nov 2020
dreamstime_s_129319418
Bahagia hingga ke Syurga (1): hadiah tanda ingatan
16 Nov 2020
dreamstime_s_18241537
icon follow us

Jika anda berkesempatan untuk berkunjung ke Maghribi atau Morocco, ada tiga perkara paling menarik yang anda mesti tahu. Pertama, anda perlu tahu bahawa Maghribi mempunyai sebuah universiti yang diiktiraf sebagai universiti tertua di dunia.

Kedua, ia mempunyai lima zon iklim yang berbeza. Ketiga, terdapat sebuah bazar yang sangat besar yang patut anda kunjungi jika ingin merasai suasana harian penduduk tempatan.

Ya, Maghribi mempunyai sebuah universiti yang dikatakan sebagai universiti pertama dan paling tua di dunia iaitu Universiti al-Qarawiyyin.

Pada waktu benua Eropah melalui zaman kegelapannya, kawasan-kawasan Timur Tengah dan juga Afrika Utara diterangi dengan sinar cahaya ilmu. Ketika itu, kegiatan keilmuan di dunia Islam berkembang dengan sangat pesat sehingga disebut sebagai Zaman Keemasan Islam.

Dalam era inilah, seorang wanita bernama Fatima Al-Fihri menubuhkan sebuah universiti yang dikenali oleh kita sebagai Universiti al-Qarawiyyin. Ya, universiti ini telah diwujudkan oleh seorang wanita Muslim pada tahun 859 Masihi.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga mengesahkan bahawa universiti ini adalah universiti tertua yang masih berfungsi sehingga ke hari ini. Untuk makluman anda, universiti berpengaruh lain seperti Universiti Oxford dan Cambridge diwujudkan dalam tempoh dua hingga lapan abad kemudian. Pastinya selepas Universiti al-Qarawiyyin diasaskan.

Jika anda berkesempatan ke universiti ini, anda boleh melihat diploma asal milik Fatima Al-Fihri yang ditulis pada papan kayu.

Disebabkan Maghribi mempunyai struktur muka bumi yang berbeza-beza, ia mempunyai pelbagai iklim dengan suhu berbeza. Bagi iklim Mediterranean iaitu panas, kering pada musim panas dan basah pada musim sejuk, ia boleh didapati di beberapa kawasan seperti Tangiers, Safi, Nador dan Tettouan.

Ada juga kawasan yang mempunyai iklim Sub-Mediterranean di mana kawasan seperti Casablanca dan Rabat mempunyai musim panas yang lebih sejuk. Manakala bagi kawasan seperti Taza dan Beni-Mellah, musim panasnya adalah lebih panas berbanding kawasan lain.

Ada juga kawasan yang mempunyai suhu seperti di kawasan pergunungan iaitu Ifrane dan Azrou. Kawasan-kawasan seperti ini mempunyai musim sejuk yang agak panjang dan bersalji.

Manakala bagi kawasan seperti Marrakesh dan Agadir, ia dikategorikan sebagai kawasan yang agak kering dan gersang seperti padang pasir. Menarik bukan?

Pada waktu siang, dataran Bazar Jama-al-Fana ini dipenuhi dengan penjual-penjual yang menjual jus oren asli. Anda juga boleh melihat persembahan tarian ular di sini.

Pada waktu malam pula, dataran bazar ini akan menjadi lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai penjaja dan juga pelawat yang datang berkunjung. Anda boleh mencuba sejenis hidangan sup siput yang biasa menjadi snek penduduk tempatan.

Selain itu, terdapat juga persembahan tarian, persembahan penceritaan dan juga persembahan silap mata. Pada tahun 2001, pihak UNESCO telah mengisytiharkan bahawa bazar Jama al-Fana ini sebagai ‘Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity’.

Pengiktirafan ini berikutan fungsi bazar ini yang masih lagi menghidupkan aktiviti-aktiviti tradisional dan kebudayaan melalui persembahan-persembahan pencerita, pemuzik dan artis budaya lain.

Sumber : Salam Web Today

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Maghribi – Bazar Jama al-Fana, lima zon iklim, dan universiti tertua dunia
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more