Amalan solat di masjid : Pena Hijau
Islam Itu Mudah
13 Nov 2020
dreamstime_s_18241537
Maghribi – Bazar Jama al-Fana, lima zon iklim, dan universiti tertua dunia
15 Nov 2020
Amalan solat di masjid

Solat merupakan tiang agama yang mengandungi hikmah tersendiri sebagai petunjuk Allah SWT untuk membimbing kita ke jalan yang lurus. Solat juga membezakan kita sebagai seorang muslim dengan orang kafir.

Amatlah malang sekiranya kita meninggalkan rukun Islam kedua ini dengan sengaja seolah-olah kita meruntuhkan agama. Alquran dan Hadis banyak menyebut tentang kewajipan mengerjakan solat.

Allah SWT berfirman di dalam Surah An-Nisa yang bermaksud :

“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah An-Nisa : 103)

Islam tidak membataskan solat hanya dilakukan di masjid atau surau, tetapi boleh dibuat di mana-mana sahaja di bumi Allah SWT apabila tiba waktunya. Kita sedar dengan kekangan waktu bekerja.

Keluar seawal Subuh dan pulang selepas matahari terbenam, banyak waktu solat terpaksa dilakukan di tempat kerja. Ada ketikanya terpaksa solat di mana-mana perhentian jika berlaku kesesakan lalu lintas sewaktu pulang kerja.

Walau bagaimanapun, solat di masjid amat dituntut di sisi syarak terutama kepada kaum lelaki. Sebagai tempat ibadah, masjid merupakan penghubung seorang hamba dengan pencipta-Nya dalam bentuk solat.

Allah SWT sangat memuliakan hamba-Nya yang rajin pergi ke masjid tidak kira pagi mahupun petang dengan nikmat yang besar dan istimewa daripada hamba-hamba-Nya yang lain. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang pergi ke masjid di waktu pagi atau petang, Allah SWT menyediakan untuknya sesuatu hidangan yang biasa diberikan kepada tetamu syurga bagi setiap kali ia pergi ke masjid sama ada pagi atau petang.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Banyak kelebihan melakukan solat di masjid yang tidak kita perolehi apabila melakukannya di rumah atau tempat lain. Biasanya sebelum ke masjid, kita akan bersiap-siap dengan berpakaian kemas dan menutup aurat serta menyembur wangi-wangian bagi lelaki.

Sebaik sahaja kaki kanan melangkah masuk ke dalam masjid, kita akan mulakan dengan doa yang bermaksud:  “Ya Allah bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu.”  Dan apabila keluar kita juga berdoa yang bermaksud:  “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon limpahan rahmat-Mu.”

Apabila berada dalam masjid, kita dahului dengan niat iktikaf dan solat tahiyyatul masjid dua rakaat sebelum duduk. Sekiranya belum masuk waktu, gunakan masa terluang dengan membaca al-Quran.

Sebaik sahaja azan berkumandang, kita hendaklah senyap dan menjawab azan. Elakkan diri daripada bercakap perkara yang tidak berfaedah. Sebelum solat fardu, kita boleh melakukan solat rawatib qabliyah, dan ba’diyah selepas solat fardu.

Sudah tentu apabila solat di masjid, kita dapat mengerjakan solat secara berjemaah berbanding di rumah.  Solat berjemaah adalah lebih baik daripada solat bersendirian yang mana Allah SWT akan mengangkat darjat kita sebanyak 27 darjat.

Solat berjemaah bersama isteri, ketika di R&R dan lain-lain juga mendapat pahala tersebut.  Walau bagaimanapun solat berjemaah di masjid adalah paling baik dan afdal kerana ia adalah antara amalan yang dijanjikan gandaan pahala yang banyak.

Semoga kita sama-sama istiqamah solat di masjid setiap hari.

Sumber : Salam Web Today

Share, Follow & Like :
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
close

Enjoy this blog? Please spread the word :) TQ